TIGA bulan menimba ilmu di Kolej Penyampai Ikon 2009, ia boleh dikatakan bukan satu jangka masa yang panjang. Apa yang menyukarkan lagi tugas pengajar adalah rata-rata kesemua 17 peserta yang dipilih untuk menyertai program realiti, Penyampai Ikon itu rata-rata datang daripada latarbelakang pelbagai.
Namun, melihat enam calon akhir beraksi di pentas Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 November lalu, ramai yang bersetuju bahawa mereka sudah layak bergelar penyampai berita atau wartawan penyiaran seperti yang dicari oleh program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.
Mengangkat peserta kelahiran Kelantan, Aina Suzaily Mohd. Zailanny, 20, sebagai juara, dia yang merupakan bekas tentera laut tidak mempunyai sebarang asas kewartawanan. Hanya dengan latihan vokal, teknik pembacaan skrip, penghayatan, pemahaman dan penulisan selama tiga bulan, Aina mampu meyakinkan penonton terutamanya barisan juri.
Diberi dua tugasan akhir iaitu menyampaikan berita serta membuat laporan di lokasi kejadian, kesemua peserta final hanya diberi masa kurang seminggu untuk membuat persediaan.
"Tajuk telah diberikan oleh kolej tetapi kami menjalankan penyelidikan sendiri. Contohnya saya diberi tajuk gempa bumi untuk laporan di lokasi. Jadi banyak benda yang perlu saya kaji sebelum dapat menulis berita.
"Informasi yang disampaikan itu amat penting kerana penilaian juri dibuat atas idea serta kreativiti dan inti pati berita itu," kata Aina ketika ditemui selepas pertandingan yang disiarkan secara langsung di TV2.
Tidak seperti kebanyakan peserta lain, Aina tidak pernah menyimpan impian untuk menjadi penyampai berita atau menceburi dunia kewartawanan.
Namun, rezeki dan bakat telah menyebelahi anak sulung daripada tiga adik-beradik itu. "Sebenarnya idea menyertai pertandingan itu datang daripada ibu bapa saya. Mereka suruh saya cuba dan saya ikut.
"Walaupun saya hanya berada dalam kolej selama tiga bulan, banyak ilmu yang saya pelajari. Ini kerana semua benda yang saya belajar adalah perkara baru dalam hidup saya," tambahnya.
Menghadapi masalah untuk berdepan dengan kamera pada mulanya, Aina merasakan tugasan menyertai operasi polis di tempat pelacuran adalah cabaran paling sukar sepanjang berada dalam program itu. Namun, kini dengan kemenangannya, dia tidak akan patah balik.
"Jika pihak RTM meminta saya untuk membaca berita esok, saya sudah bersedia. Dengan pengiktirafan yang diberikan, saya patut bersedia dengan sebarang tugas. Diharap saya akan maju dalam bidang ini dan tidak mengecewakan mereka yang mempercayai saya terutama ibu bapa saya," ujarnya.
Tidak berdebar semasa pertandingan, Aina berharap jika dia diberi peluang untuk mengacarakan, dia mahukan program yang memaparkan aktiviti lasak kerana dirinya juga meminati sukan lasak.
Membawa pulang sebuah kereta Proton Saga BLM, wang tunai RM6,000, trofi Penyampai Ikon dan sijil penyertaan, Aina juga sudah bersedia tinggal berjauhan daripada keluarganya untuk membina kariernya.
"Kalau saya diberi peluang, saya ingin mengacarakan program sukan lasak. Saya sendiri suka menyelam dan mempunyai lesen menyelam. Ibu bapa saya tidak risau jika saya berpindah ke Kuala Lumpur. Dari dulu lagi saya tinggal di sekolah asrama. Jadi saya sudah biasa berdikari," kata gadis tinggi lampai itu.
Matlamat edisi pertama Penyampai Ikon yang mahu mendapatkan aset baru untuk mewarnai serta memberikan kesegaran kepada RTM akan memberikan peluang kepada kesemua 17 peserta untuk berkhidmat berdasarkan kebolehan dan minat masing-masing.
Ibu sakit di kampung
Pemenang tempat kedua, Siti Aiyshah Baslie, 24, tidak menyangka namanya akan disebut sebagai naib juara pertandingan itu memandangkan dia menerima kritikan pada tugasan pertama di tempat kejadian bencana tsunami, Acheh, Indonesia.
Tidak patah semangat, dia yang berasal dari Sarawak kembali meyakinkan juri pada segmen kedua. Aiyshah yang menerima wang tunai RM4,000, trofi Penyampai Ikon serta sijil penyertaan juga merasakan kesemua finalis pada malam itu mempunyai kelebihan masing-masing dan bersyukur atas kemenangannya.
"Keluarga saya tidak berada di sini malam ini kerana ibu saya sakit. Jadi saya berasa sedikit sedih terutama apabila ditambah dengan kritikan juri. Tapi saya tidak berputus asa. Saya akan teruskan karier dalam bidang ini kerana tujuan saya menyertai pertandingan ini adalah untuk mencari kerja," kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
Khairul Faizi Dalaiil yang dinamakan sebagai pemenang ketiga barangkali menjadi pilihan utama penonton. Namun, dia yang membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi Penyampai Ikon dan sijil penyertaan sedikit pun tidak berasa gusar kerana merasakan pihak juri lebih profesional untuk menilai.
Padanya, berada di tempat ketiga sudah cukup sebagai satu pengiktirafan lantaran tidak mempunyai asas dalam dunia kewartawanan.
"Dunia penyiaran memang baru bagi saya kerana saya merupakan pelajar kejuruteraan satelit. Tapi saya minat mengacarakan majlis sejak dari bangku sekolah lagi. Inilah masanya untuk saya merealisasikan minat saya," katanya yang sering berlatih bercakap di hadapan cermin.
Barisan juri terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.
"Juri kita amat berpengalaman dalam dunia kewartawanan serta penyiaran. Mereka merupakan tulang belakang kepada program ini. Mungkin anda lihat pada pusingan akhir ini, mereka lebih memberikan kritikan membina.
"Tapi sebelum ini, semua peserta berdebar kerana takut mendengar komen pedas yang menusuk kalbu. Para juri merupakan tokoh kewartawanan negara dan kami amat mempercayai keputusan mereka," tambah Pengetua Kolej Penyampai Ikon 2009, Yusanani Yushak yang tidak campur tangan dalam pemilihan juara.
Selain persembahan daripada Lan and the Typewriter dan Dayang Nurfaizah, Penyampai Ikon 2009 juga diserikan dengan kehadiran isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Masnah Rais; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: