SEMASA anda menyaksikan filem A Christmas Carol di pawagam bermula hari ini, anda sebenarnya patut berbangga dengan hasil karya berteknologi tinggi itu. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa perlu berbangga dengan produksi Walt Disney Pictures itu?
Penulis bukannya mahu mengajak penonton mengagumi hasil kerja Walt Disney Pictures tetapi filem animasi 3D itu yang merupakan kerjasama dengan syarikat ImageMovers Digital turut disertai oleh dua anak jati Malaysia. Itu yang patut diraikan oleh kita sebagai rakyat Malaysia.
Walaupun hanya bertugas di sebalik tabir, filem A Christmas Carol yang menggunakan teknologi 3D tidak mungkin berjaya tanpa khidmat mereka. Kedua-dua figura yang dimaksudkan ialah Jax Lee Jing Yee dan Woei Lee.
Jax, 31, yang berasal dari Kuala Lumpur mula menyertai ImageMovers Digital pada tahun 2008 manakala Woei Lee, 35, yang berasal dari Pulau Pinang pula menyertai syarikat sama pada Februari lalu. Namun, bakat dalam bidang masing-masing telah menjanjikan tempat untuk mereka dalam merealisasikan filem arahan Robert Zemeckis itu.
Bertindak sebagai juruanimasi, Jax diberi tanggungjawab untuk menghidupkan hampir kesemua watak dalam filem itu dan Woei Lee pula menggalas tugas dalam bahagian penata cahaya.
Terbaru, sebilangan wartawan Malaysia diberi peluang untuk menemu bual mereka berdua menerusi telefon yang diaturkan oleh Buena Vista Columbia TriStar Films (M).
Kedua-dua mereka ketika itu berada di Walt Disney Studio California, Amerika Syarikat (AS).
Dalam perbualan singkat bersama mereka, banyak cerita menarik dikongsi. Daripada pengalaman bekerja dengan pengarah sehinggalah pelakon terkenal, Jim Carrey, Jax dan Woei tidak sabar untuk menanti kunjungan penonton Malaysia ke pawagam untuk menyaksikan filem tersebut.
|
|
Jax yang sebelum ini pernah bekerja di LucasArts memberitahu bekerjasama dengan produksi Robert bagaikan impian menjadi kenyataan.
"Kerjasama dengan pengarah yang pernah memenangi anugerah Academy seperti Robert (Forrest Gump, Cast Away dan The Polar Express) adalah pengalaman yang menakjubkan. Dia seorang pengarah yang hebat kerana dia mahukan rekaan melangkaui sempadan pemikiran manusia biasa.
"Walaupun hanya pada mesyuarat biasa, dia sudah boleh memberikan visual bagaimana filem itu mahu dihasilkan. Robert memberikan cabaran kepada semua dengan memberikan cadangan artistik tetapi masih memberikan kebebasan kepada kami untuk berkarya.
"Dia juga sukakan teknologi serta cerita baru. Jadi anda akan mendapat yang terbaik daripada filem itu. Anda bakal merasakan pengalaman baru di pawagam dengan menyaksikan cerita yang ditulis pada tahun 1843," katanya.
Kayakan ekspresi muka
Mendapat pendidikan dari Akademi Dasein, Setapak, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Watak Animasi di Academy of Art University, San Francisco, tugasan Jax lebih menjurus kepada memperkayakan lagi ekspresi muka serta pergerakan watak.
Teknologi 3D juga memberikan kebebasan kepada pembikin filem untuk mencipta persekitaran dan watak tanpa batasan. Maka, tidak hairanlah jika Jim berupaya menjayakan tujuh watak seorang diri. Selain membawa watak Ebenezer Scrooge semasa tua, Jim juga menggambarkan Scrooge berusia 7 tahun serta tiga hantu berlainan. Semua itu dilakukan dengan menggunakan teknologi rakaman pergerakan aktor secara digital menerusi kamera komputer 360 darjah.
"Jim seorang pelakon yang hebat seperti sumpah-sumpah. Badannya versatil, mukanya penuh ekspresi dan dia suka berimaginasi. Dia pandai mencipta perwatakan berbeza untuk setiap wataknya. Semua bakatnya sebagai pelakon, pelawak dan penghibur dicurahkan dalam filem itu.
"Disebabkan semua hantu di dalamnya mempunyai kaitan dengan Scrooge, maka ia hanya adil untuk dijayakan oleh Jim. Menggunakan teknologi tinggi setiap pergerakan unik Jim dirakamkan dan kemudian kami akan melakukan kesan khas ke atasnya. Jim dan pelakon lain sebenarnya perlu berlakon. Ramai orang yang berpendapat bahawa mereka hanya menyumbang suara," jelas Jax.
A Christmas Carol dikatakan menjadi salah sebuah cerita Krismas terbaik yang pernah ditulis dan dibaca oleh jutaan pembaca. Buku tulisan Charles Dickens itu sudah menjadi sebahagian daripada tradisi Krismas untuk bergenerasi lamanya. Ia merupakan cerita merentasi masa pertama di dunia dan mungkin cerita hantu yang paling digemari.
Maka, bagi menggambarkan apa yang ingin dipersembahkan Dickens, penggunaan warna penting dalam melahirkan mood yang dikehendaki. Ia akan membawa audiens ke masa dan tempat yang tidak pernah dikunjungi.
|
|
"Seramai lima hingga enam orang bekerja dalam bahagian penata cahaya. Kami bertanggungjawab untuk memastikan warna pada setiap babak konsisten dengan kehendak pengarah. Disebabkan animasi terutama 3D mempunyai lebih banyak lapisan, kami perlu memastikan lapisan itu bergabung baik supaya kelihatan seperti satu imej.
"Walaupun ini merupakan kali pertama saya bekerja dalam projek 3D, ia tidak memberikan banyak masalah. Apa yang penting adalah kefahaman terhadap warna," kata Woei Lee yang pernah bekerja dalam filem seperti Superman dan The Day After Tomorrow.
Mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan filem itu, Jax merupakan antara 40 juruanimasi yang menyempurnakan karya itu. Dia yang sudah biasa dengan animasi tradisional teruja dengan teknologi 3D.
"Cabaran yang dihadapi dengan 3D adalah kita perlu menganimasikan manusia sebenar. Maka, kita tidak boleh melakukannya dengan keterlaluan kerana ia akan kelihatan janggal. Prosesnya amat berbeza dengan animasi tradisional.
"Animasi tradisional perlu dilukis dari mula. Setiap pergerakan perlu dilukis satu demi satu manakala 3D pula merupakan rakaman pergerakan manusia yang kemudiannya dijadikan animasi atau lebih kelihatan seperti ilustrasi. Teknik 3D juga memerlukan lebih satu lapisan berbanding animasi tradisional," kata Jax yang sudah tujuh tahun meninggalkan Malaysia.
Gelap ikut mood filem
Menceritakan kisah lelaki tua bernama Scrooge yang tidak menyukai perayaan Krismas, dia yang mementingkan diri kemudian dilawati tiga hantu yang membawanya pulang ke zaman lampau serta masa akan datang. Pengembaraan itu membuatkan dia sedar dan perlu berubah sebelum terlambat.
Maka, hampir keseluruhan filem itu dibikin dengan warna gelap bagi melahirkan suasana serta mood yang dikehendaki.
"Memang kami menggunakan lebih banyak tona warna gelap dalam filem itu. Tapi warna itu dihasilkan mengikut kehendak perjalanan ceritanya.
"Scrooge merupakan seorang yang hidup dalam dunia 'gelap'. Pengembaraan dia bersama hantu juga agak malap memandangkan dia dikelilingi dengan cerita sedih. Hanya pada penghujung cerita sahaja anda akan melihat warna terang seiring dengan ceritanya," tambah Woei Lee yang pernah bekerja dengan The Orphange dan Dynacom Studios.
Woei Lee, graduan dari Academy of Arts College, San Francisco itu juga sangat merindui makanan Malaysia terutama masakan Pulau Pinang. Dia yang sudah berkahwin berharap audiens tempatan akan meluangkan masa untuk menonton filem itu yang memaparkan mesej mengenai kehidupan.
"Sebelum saya datang ke AS, saya tidak tahu cerita itu. Selepas membaca bukunya dan kini menonton filemnya, saya menyukai ceritanya. Walaupun kita tidak menyambut Krismas seperti di AS, filem ini boleh ditonton kerana ia mengajar kita maksud memberi serta berkongsi," ujar Woei Lee.
Bagi Jax yang akan pulang ke Malaysia pada Disember ini, dia juga sebelum ini tidak pernah membaca buku A Christmas Carol tetapi kini mula meminatinya.
"Sebenarnya di Malaysia, banyak juga cerita hikayat lama. Saya mempunyai impian untuk menghasilkan animasi berdasarkan cerita-cerita tempatan. Tapi industri Malaysia suka menerbitkan cerita-cerita hantu," katanya yang ingin menonton filem Geng: Pengembaraan Bermula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: