Tuesday, November 3, 2009

Tiga bulan yang indah


KHUSYUK Akhil Hayy dan Waheeda berdoa memohon kepada Allah agar memberikan kesejahteraan pada kehidupan mereka.


SEJAK mendirikan rumah tangga pada 16 Ogos lalu, pasangan sensasi ini mengakui, sedang melalui fasa hidup yang penuh indah dan berbunga harum.

Biarpun dikecam, dikritik dan dihentam oleh kebanyakan pihak, namun bagi Akhil Hayy dan Waheeda, tidak melihatnya sebagai satu halangan untuk terus mengukuhkan istana cinta mereka.

Malah, sinar bahagia juga terpancar jelas di wajah mereka sewaktu melihat mereka di pelaminan pada majlis resepsi mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor petang Sabtu lalu.

Ketawa, bercanda dan saling usik-mengusik sudah cukup membuktikan Akhil dan Waheeda sedang melewati hari-hari bahagia sebagai suami isteri.

Malah, seri di wajah mereka juga terpancar jelas dengan senyuman yang tidak putus terukir di wajah masing-masing.

Ternyata, apa sahaja kenangan pahit yang pernah terpalit dalam diari mereka berdua sudah disimpan rapi.

Apa yang penting bagi kedua-dua anak seni ini adalah untuk meneruskan kehidupan dan melayari bahtera rumah tangga tanpa menghiraukan badai yang mendatang.

Yang pasti Akhil mahupun Waheeda sepakat mengakui, kehidupan mereka kini lebih terisi dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Apatah lagi dengan kehadiran dua orang anak Akhil iaitu Siti Numaisarah, 12 , dan Muhammad Sharif Hidayatulloh, 11 (hasil perkahwinan Akhil sebelum ini) menyerikan lagi rumah tangga mereka.

Seperti mana lazimnya yang selalu dikatakan Akhil, semua yang berlaku adalah kerana Allah SWT dan kebahagiaan yang dimilikinya kini juga datang dari Yang Maha Esa.

Malah, kata Akhil setiap hari yang dilaluinya bersama Waheeda adalah hari untuk berbulan madu dan bersyukur kerana dikurniakan dengan seorang isteri yang baik.

"Kehidupan kami semuanya berjalan dengan lancar dan hubungan kami bertambah erat biarpun ada pihak di luar sana yang masih lagi tidak henti memburuk-burukkan kami.

"Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku. Saya pun dah tutup buku lama dan kini, buka buku baru. "Kalau ditanya perbezaan kehidupan saya, sudah pasti ada kerana sekarang kami sudah boleh berpegangan tangan di khalayak (ketawa).

"Alhamdulillah. Saya bersyukur kerana ahli keluarga kami tetap berada di belakang kami memberikan sokongan yang tiada henti buat kami," kata Akhil dalam nada yang penuh gembira.

Malah, Akhil juga sempat memohon kepada semua pihak untuk tidak lagi mengaitkan dirinya dengan bekas isterinya, Maizawati Zainal kerana masing-masing sudah memiliki kehidupan sendiri.

Namun, satu yang pasti jelas Akhil dia bukanlah seorang bapa yang tidak bertanggungjawab seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.

"Takdir hanya memisahkan saya dan ibu mereka tetapi hubungan antara kami anak-beranak masih lagi berjalan dengan baik.

"Mana ada bapa yang tidak sayangkan anak-anaknya sedangkan haiwan pun begitu melindungi serta menjaga anak-anaknya," ujar Akhil atau nama sebenarnya, Abdul Akhil Hai, 40, dalam nada tegas.

Selain Siti Numaisarah dan Muhammad Sharif Hidayatulloh, Akhil dan Maizawati juga dikurniakan dengan dua orang cahaya mata lain iaitu Muhammad Shakir Hidayatulloh, 8 dan Muhammad Syathiri Hidayatulloh, dua setengah tahun.

Waheeda yang cukup berseri dan ceria di sisi suaminya kemudian ditanya tentang kesediaannya untuk menimang cahaya mata.

Sambil merenung dan berfikir sejenak sebelum memberikan jawapan, Waheeda menjelaskan, dia sememangnya sudah bersedia untuk memiliki zuriatnya sendiri.

Cuma, buat masa ini dia masih lagi selesa untuk berdampingan dua orang anak tirinya yang benar-benar menceriakan hari-harinya.

"Jika sampai waktunya nanti, Insya-Allah, kami akan ada anak sendiri. Saya memang sukakan kanak-kanak.

"Menjadi ibu segera juga bukanlah satu masalah dan saya fikir tidak jauh beza seandainya saya memiliki anak sendiri kelak," ujar penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Wassini berusia 30 tahun ini lagi.

Pemilik nama sebenar Nor Wahidah Abdul Wahab ini turut mengulangi kenyataannya yang sememangnya dirinya sudah bersara sepenuhnya daripada dunia seni.

Katanya, dia tekad untuk melupakan bidang yang telah melonjakkan namanya di puncak populariti dan mahu memberikan fokus kepada keluarganya. Bahkan, dia juga tidak mahu terlibat lagi dalam sebarang aktiviti seni biarpun mengakui tetap menerima tawaran nyanyian serta lakonan.

Tidak cukup dengan itu, Waheeda turut menolak sekeras-kerasnya jika ada pihak yang mahu membuat sesi fotografi bersama suaminya.

"Jadual hidup saya kini makin terisi dengan kerja-kerja harian saya yang cukup padat dan dulu kalau bekerja, semuanya adalah untuk ibu bapa tetapi sekarang lain.

"Meluangkan masa bersama anak-anak dan suami sudah cukup membahagiakan saya kerana ia merupakan satu pengalaman yang baru buat saya.

"Jika waktu bujang dulu, semuanya adalah tentang diri kita tetapi kini mentaliti saya sudah berubah kerana saya ada tanggungjawab lain," ujarnya yang mengakui cukup rapat dengan anak-anak tirinya.

Selain itu, Waheeda juga memberitahu, selepas bergelar isteri, hidupnya makin terkawal baik dari segi aspek termasuk emosi.

Mendengarkan jawapan isteri tercintanya itu, Akhil sempat memuji apabila melihat hubungan mesra antara Waheeda dan anak-anaknya itu.

Katanya, Waheeda memiliki naluri keibuan yang cukup kuat dan kerana itu, dia dilihat tidak mempunyai masalah untuk rapat dengan anak-anaknya.

"Kalau bicara tentang soal seni Waheeda, memang itu adalah keputusannya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

"Saya fikir bakat seni yang ada dalam dirinya itu lebih indah jika digunakan untuk menyerikan lagi alam rumah tangga bagi tatapan suami dan anak-anak.

"Dia adalah juga menolong saya sikit-sikit dalam soal lagu dan hal-hal berkaitan. Cuma, tidak secara menyeluruh," katanya yang akan kembali memenuhi undangan berceramah dan terlibat dengan projek terbaru untuk Astro.

Menyentuh tentang majlis resepsi mereka pula, konsep ala Morocco yang menghiasi Dewan Guthrie itu merupakan cetusan idea daripada kawan baik Waheeda iaitu Aim menerusi syarikat Magical Touch.

Dihadiri lebih daripada 2,000 orang tetamu, sememangnya majlis persandingan Akhil dan Waheeda dilihat cukup meriah dengan kehadiran ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat-handai dan juga rakan artis.

Antara kelibat artis yang kelihatan ialah kumpulan Rabbani, Yusmal Ghazali serta pasangan bahagia, Mawi dan Ekin. Bercerita lanjut, kata Akhil dan Waheeda majlis mereka itu bukanlah majlis persandingan seperti mana yang diuar-uarkan sebelum ini tetapi lebih kepada majlis untuk menyatukan semua keluarga, saudara dan sahabat.

"Semua ini adalah bagi memenuhi permintaan keluarga Waheeda dan kami menyifatkan hari ini sebagai hari keluarga untuk bertemu serta merapatkan silaturrahim.

"Malah, apa yang anda semua lihat hari ini adalah daripada perbelanjaan kami sendiri dan bukan penajaan daripada mana-mana pihak," kata Akhil yang turut menganjurkan majlis resepsi di kampung halamannya di Gopeng, Perak pada 7 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: