Tuesday, November 3, 2009

Cabaran baru Raja Lawak


ANTARA peserta yang membuat persembahan pada sesi uji bakat Raja Lawak di Johor Bahru, baru-baru ini.


EMPAT tahun lalu sewaktu pihak Astro memperkenalkan program Raja Lawak iaitu sebuah rancangan realiti televisyen bagi mencari pelapis dalam bidang komedi ia kurang mendapat sambutan.

Namun, apabila program tersebut memasuki tahun kedua dengan menabalkan Nabil sebagai juara, senarionya berubah.

Program realiti itu berjaya menarik perhatian ramai yang ingin mencuba nasib.

Justeru, sebagai meneruskan kejayaan itu, Astro mengadakan uji bakat pertama di Plaza Kotaraya, Johor Bahru baru-baru ini dan kira-kira 250 peserta telah mencuba nasib.

Menurut Penerbit Eksekutif program tersebut, Mohd. Hanizam Abdul Hamid, kali ini para peserta dilihat lebih bersedia sebelum membuat persembahan di atas pentas.

"Kami mengadakan uji bakat selama dua hari. Pada hari pertama, ramai yang datang menonton persembahan peserta lain untuk dijadikan rujukan.

"Pada hari terakhir barulah mereka daftar nama sebagai peserta. Untuk uji bakat di Johor, Din Beramboi diberi tanggungjawab untuk memilih peserta," katanya kepada Hits sewaktu ditemui pada sesi uji bakat baru-baru ini.

Untuk musim ke empat ini, selain Din Beramboi, Afdlin Shauki dan pengacara popular, Bob Lokman disenaraikan sebagai juri tetap setiap minggu.

Katanya, pertandingan realiti bakat lawak, Raja Lawak ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

"Peserta haruslah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi selain perlu membuat persembahan pentas secara spontan dan menarik perhatian juri dalam tempoh tiga minit.

"Pertandingan ini terbuka kepada peserta solo mahupun berkumpulan tidak melebihi tiga orang tanpa mengira bangsa dan yang penting mesti berusia 18 tahun ke atas," ujarnya lagi.

Jelas Hanizam, para peserta dinilai berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan.

Menurutnya, selepas Johor Bahru pencarian para peserta Raja Lawak musim keempat telah diadakan di Pulau Pinang dan Kuantan Parade, Kuantan, Pahang pada 31 Oktober dan 1 November lalu.

Uji bakat seterusnya akan diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 6 dan 7 November serta di One Borneo, Sabah seminggu selepas itu.

Sementara itu, pemenang tempat kedua dan ketiga Raja Lawak musim pertama, Johan dan Zizan yang turut menceriakan peserta sewaktu uji bakat, sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai hos program ini untuk tiga tahun berturut-turut.

Raja Lawak musim keempat akan mula menemui para penonton pada 26 Disember depan bermula pukul 8.30 malam di saluran Prima (saluran 105, Astro).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: