![]() |
| PARA pelakon My Spy bersama wakil-wakil Celcom dan Perodua selaku penaja filem tersebut. |
BUKAN mudah untuk menghasilkan filem yang menepati selera segenap lapisan usia, bangsa serta agama di negara ini. Apa lagi, jika filem yang hendak diterbitkan itu merupakan produk tempatan yang lazimnya akan dibandingkan dengan filem-filem antarabangsa.
Menyedari senario itu, syarikat produksi KRU Studios Sdn. Bhd., berusaha menghasilkan karya yang mampu ditonton masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Presidennya, Norman Abdul Halim berkata, My Spy merupakan filem terbaru terbitan syarikat itu yang mempunyai nilai-nilai Malaysia dan tidak terhad kepada penonton Melayu sahaja.
Katanya, usaha ini bakal menampilkan subjek 1Malaysia yang bersifat global selain judul 'My' dalam filem berkenaan merujuk kepada 'Malaysia'.
Menerusi My Spy juga, terjemahan gagasan 1Malaysia dilihat terpancar pada barisan pelakon yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Cina, Kadazan dan sebagainya.
Barisan pelakon yang sudah disahkan membintangi My Spy ialah Hannah Tan, Daphne Iking dan Carmen Soo.
Norman mengumumkan perkara itu pada sidang pelancaran My Spy di Menara Celcom, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Norman, konsep 1Malaysia yang ditampilkan menerusi filem arahan Afdlin Shauki itu bukan setakat memenuhi aspirasi dan gagasan yang kini sedang dilaung-laungkan oleh kerajaan.
Sebaliknya, menurut beliau, pendekatan itu merupakan salah satu formula dalam usaha menarik perhatian lebih ramai penonton selain menjadi filem tempatan bersifat global skopnya.
"Sebenarnya, filem ini menjalani penggambarannya pada tahun lalu. Malah, kami juga telah merancang pembikinannya sebelum itu lagi. Secara tidak langsung idea atau pendekatan kami itu ada persamaannya dengan konsep 1Malaysia.
"Dengan tema yang bersifat global dengan genre filem aksi komedi ini, kami harap segenap lapisan rakyat Malaysia akan terhibur menyaksikannya kelak," ujarnya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Afdlin Shauki dan para pelakon utama My Spy iaitu AC Mizal, Harun Salim Bachik, Ridzuan Hashim serta Stacy dan Adam selaku penyanyi lagu tema filem tersebut.
Turut serta ialah Naib Presiden Pemasaran Celcom (Malaysia) Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin.
Selain jalan cerita, konsep dan penampilan pelakon pelbagai kaum, KRU Studios Sdn. Bhd., pada masa yang sama katanya, turut merangka pelbagai strategi sebelum filem itu ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 3 Disember ini.
Jelas Norman, pihaknya dengan dibantu Perodua selaku penaja bersama Celcom (Malaysia) Berhad akan mengadakan promosi di seluruh negara dengan menggunakan sistem teknologi canggih yang sedia ada.
Sementara itu, selaku pengarah My Spy, Afdlin turut memperkuatkan filem dengan kos pembikinan mencecah RM2 juta itu menerusi gadingan pelakon utamanya iaitu AC Mizal dan Harun Salim Bachik.
"Bagi saya, filem ini banyak menampilkan hubungan kemanusiaan selain adegan-adegan lucu yang mudah mencetuskan gelak ketawa.
"Selain itu, keindahan Pulau Langkawi juga akan menyebabkan para penonton seperti menonton sebuah filem yang nampak mahal.
"Malah, saya tidak nafikan kekuatan lakonan AC Mizal dan Harun dalam filem ini. Saya anggap Harun seperti 'tangkal' saya dalam menyedapkan lagi jalan cerita filem ini," katanya.
Harun yang mendengar pujian Afdlin begitu ceria dan berpendapat, kepercayaan yang diberi oleh sutradara itu sebagai penghargaan buatnya.
Secara peribadi Harun menyifatkan, keserasian dan jalan cerita My Spy mampu menghiburkan penonton apabila ia ditayangkan kelak.
"Saya anggap pujian Afdlin itu sebagai satu penghargaan kerana selama bekerja dengannya saya sudah tahu akan kemampuan saya atau pun apa yang patut saya lakukan.
"Kami semua juga tahu akan kemampuan masing-masing dan seronok semasa menjalani penggambaran filem ini. Ini merupakan filem komedi terbaik yang pernah saya lakonkan setakat ini," jelasnya berterus terang.
Sementara itu, AC Mizal yang merupakan pelakon utama My Spy turut berpuas hati serta menyifatkan tawaran berlakon dalam filem itu umpama 'pucuk dicita ulam mendatang.
Malah, beliau mengakui bahawa filem itu benar-benar memberikan kepuasan kepadanya kerana dia bukan setakat berlakon tetapi turut melakonkan adegan-adegan yang membabitkan lakonan lagak ngeri.
"Saya memang sudah lama mahu berlakon dalam filem ini. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan bagi saya. Saya puas kerana bakat lakonan saya teruji kerana saya menggunakan seluruh tubuh saya untuk sama-sama melakonkan adegan stunt (lagak ngeri) bersama para pelakon dari Thailand.
"Sewaktu berlakon dalam filem ini, saya banyak ketawa melihatkan aksi spontan Harun.
"Biasanya saya buat orang gelak, tetapi kali ini saya pula yang terlebih ketawa," ceritanya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: