Friday, November 20, 2009

Sudah lali...Sazzy Falak


SAZZY Falak beraksi.

Sazzy Falak tidak tertekan apabila sering ditanya mengenai kehadiran cahaya mata walaupun sudah tiga tahun bergelar isteri

TANGGAL 8 November lalu, Sazzy Falak, 28, dan suaminya, Nazril Idrus, 35, baru saja menyambut ulang tahun ketiga perkahwinan mereka. Ternyata kebahagiaan begitu erat mendakap sisi hidup mereka cuma yang sering menjadi pertanyaan dan semestinya berbunyi klise ialah mengenai cahaya mata.

Barangkali, kehidupan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-19 akan lebih indah dan bermakna andai hadir bayi kecil yang comel mengisi ruang kosong yang ada. Tapi bagi pengacara Galaksi di TV9 itu, persoalan anak sudah lali untuk diperdebatkan.

"Bukan kami tak mahu menimang anak tetapi kalau belum rezeki lagi, apalah daya kami untuk berkata apa-apa. Ini semua di luar bidang kuasa kita untuk menentukan. Bagi saya, kalau ada tanda ke arah itu, semestinya saya bersedia untuk menerima khabar baik itu.

"Sejujurnya saya tidak tertekan dengan pertanyaan orang mengenai soal anak biarpun sudah tiga tahun kami membina mahligai hidup. Kalau orang tanya soalan anak, selalunya saya akan jawab balik bahawasanya saya belum puas lagi menikmati hidup bersama suami," katanya sambil memberitahu teman baiknya, Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari turut menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada 8 November.

Ketika ini, umum tahu, Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak sedang rancak meneruskan perjuangan bersama suaminya di dalam pertandingan Sehati Berdansa musim ketiga. Malah, tidak keterlaluan sudah ada yang meramalkan mereka bakal bergelar juara mengikuti jejak juara terdahulu, Vanidah Imran dan Lisdawati serta suami.

BERSAMA suami, Nazril Idrus.

Mengakui akan tekanan hal terbabit, Sazzy dan Nazril cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Apa yang penting ialah untuk terus mempamerkan persembahan yang mampu mengikat hati juri profesional dan awam. Demi program tarian yang bersiaran di Astro Ria itu, memang banyak masa dikorbankan Sazzy.

"Untuk menjayakan program ini, memang terlalu banyak pengorbanan yang harus dilakukan. Bagaimanapun, saya masih mencuri peluang untuk melakukan kerja pengacaraan. Cuma kalau nak ambil tawaran berlakon memang saya harus mengalah lebih awal kerana berlakon memakan durasi masa yang lama.

"Bayangkan untuk program ini, kami perlu memperuntukkan masa selama tiga hari dari Isnin hingga Rabu untuk berlatih dalam tempoh lima jam sehari. Hari Khamis pula perlu memberi tumpuan penuh untuk melunaskan rakaman Malam Sehati Berdansa yang disiarkan pada hari Sabtu.

"Seboleh-bolehnya kami cuba melakukan sehabis baik dalam setiap persaingan dan cabaran yang diamanahkan. Peminat pun sudah bijak untuk menilai peserta yang mana terbaik di mata mereka. Lalu, untuk mencuri tumpuan dan undian mereka, semuanya disalurkan menerusi prestasi tarian yang sedaya mungkin dapat dipersembahkan kami," katanya yang turut terbabit dalam filem 4 Madu arahan Prof A Razak Mohaideen.


Ironinya pertandingan membabitkan ahli keluarga ini mampu mengeratkan dan mengukuhkan jalinan ukhuwah. Namun, turut jelas kelihatan ialah mengenai badi perceraian yang dikaitkan kononnya berpunca menerusi pertandingan ini. Beberapa pasangan yang pernah menyertai pertandingan ini berakhir dengan perpisahan.

Kata Sazzy, dia percaya kepada soal ketentuan dan takdir Tuhan. Malah paling penting, kerjasama dan kepercayaan antaranya dan Nazril terus menjadi nadi kebahagiaan rumah tangga mereka. Katanya lagi, ia terus menjadi rukun apatah lagi mereka sudah lama mengenali di antara satu sama lain.

"Sebolehnya saya tidak mahu bercakap soal yang di luar bidang kuasa kita. Ajal, maut, takdir dan jodoh semuanya bukan di tangan kita. Kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan pada akhirnya. Apa yang boleh dikatakan, saya sangat seronok menyertai pertandingan tarian ini.

"Sebenarnya, sejak musim pertama lagi, kami ditawarkan untuk menyertainya. Namun dek kesibukan serta komitmen masing-masing, kami beberapa kali terpaksa menghampakan permintaan pihak produksi. Akhirnya, kami akur dengan ajakan mereka dan beraksi untuk musim ini.

"Saya pun seronok bersaing dengan rakan artis lain seperti Didie Alias yang sering membuat kecoh di set latihan. Setiap minggu apabila ada penyingkiran, baru saya sedar apa yang dirasai peserta program Oo La La yang pernah dihoskan saya di TV9 sebelum ini apabila diundi keluar," katanya yang mengendalikan perniagaan syarikat SinclairFalak bersama Ashraf Sinclair dan Aishah Sinclair.

Hafal langkah tarian lagu Thriller

SERING dilabel sebagai artis urban yang jarang mendapat perhatian orang Melayu, program ini ternyata membuka lembaran dan dimensi baru buat Sazzy apabila sering mendapat undian tertinggi. Ia sedikit sebanyak menangkis tanggapan urban yang dilabelkan kepadanya itu.

Lenggok tarian mereka kini sering menarik minat pengundi untuk terus mengundi mereka sekali gus memastikan mereka terus kekal dalam persaingan mendatang. Kata Sazzy, dia mahu pun suaminya bukan penari profesional biarpun ada yang menganggap mereka adalah sebaliknya.

"Tak sangka, kami masih menerima undian peminat di luar sana. Malah di laman peminat saya menerusi Facebook, ada yang terus tidak putus-putus memberikan sokongan. Malah lucunya, ada di antara mereka yang agak urban bertanyakan di saluran manakah Sehati Berdansa disiarkan.

"Sebenarnya, memang kami tidak pernah menyertai pertandingan tarian secara khusus sebelum ini. Apa yang disaksikan sekarang adalah kemahiran yang diasah menerusi latihan dan bimbingan koreografer kami iaitu Papa J. Tapi tak saya nafikan memang saya suka menari.

"Alah, setakat menari suka-suka. Cuma saya boleh katakan, saya sering menonton klip video artis untuk memerhatikan langkah tarian yang dihayunkan. Kalau nak tahu, saya juga antara yang memuja muzik dan tarian Michael Jackson. Malah saya boleh mengingati langkah tarian lagu Thriller dengan jayanya," katanya.

INFO: Sazzy Falak
Nama sebenar: Sazlini Falak
Tarikh lahir: 10 Mac 1980
Asal: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak sulung daripada tiga beradik
Status: Berkahwin
Suami: Nazril Idrus
Kerjaya: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan
Program: Beat TV, Ria Sentral, Galaksi, Oo La La
Pembabitan seni: Sejak 1999
Filem: 4 Madu adalah filem keempat lakonan Sazzy selepas Gol & Gincu, Tipu Kanan Tipu Kiri dan Jin Notti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: