KUALA LUMPUR - Pelakon, Nor Fazura Sharifudin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia gagal mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta ekoran tersiarnya satu artikel dalam sebuah akhbar tabloid yang didakwa memburuk-burukkan dirinya.
Nor Fazura, 26, yang lebih dikenali sebagai Fazura, berkata, ketika artikel bertajuk Fazura Rela Dipenjara tersiar pada 29 Mei 2005, dia sedang dalam proses perbincangan dengan syarikat Maybelline, Loreal, Bonia, Clarins, Biotherm, Brands, Celcom dan Hotlink.
Pada masa sama, dakwa Fazura, dia turut kehilangan kontrak bernilai lebih RM100,000 yang telah ditandatangani dengan syarikat kosmetik, Olay.
Bagaimanapun, Fazura tidak mempunyai sebarang bukti bagi kesemua kontrak dengan lapan syarikat tersebut manakala dengan syarikat Olay, katanya, dia ada menandatangani kontrak tetapi tidak menyimpan dokumennya.
Fazura berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap syarikat Perdana Production House Sdn. Bhd., yang menerbitkan akhbar tabloid Mingguan Warta Perdana, yang dinamakan sebagai defendan pertama dan pemberita Haslinda Hashim sebagai defendan kedua.
Artikel itu didakwa berkaitan dengan kesnya yang dituduh menyerang suri rumah Geraldine Mariana Wong. Dalam kes itu, Fazura dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 22 September 2008.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: