Ia mungkin berfungsi sebagai tangkal, untuk tujuan magik atau bagi menggambarkan status sosial.
DI Muzium Arkeologi Tyrol Selatan di Bolzano, utara Itali, dipaparkan satu mumia yang digelar Ötzi the Iceman atau Similaun Man. Ia dilaporkan ditemui di dalam glasier Schnalstal di Pergunungan Ötztal, berdekatan Hauslabjoch di sempadan Austria dan Itali pada September 1991.
Mumia manusia tertua Eropah yang terawet secara semula jadi itu dipercayai berusia 5,300 tahun.
Pada tubuhnya ditemui 57 tatu karbon yang terdiri daripada titik dan garisan ringkas pada bahagian bawah belakang badan, di belakang lutut kiri dan pada buku lali kanan.
Bagaimanapun, selepas diimbas dengan sinaran X, pengkaji mendapati lelaki itu menghidap artritis pada bahagian-bahagian itu. Tatu itu kemudiannya disimpulkan sebagai mempunyai kaitan dengan rawatan akupuntur.
Kepuasan peribadi
Profesor Konrad Spindler dari Universiti Innsbruck bagaimanapun mengatakan ia mungkin berfungsi sebagai tangkal, untuk tujuan magik atau bagi menggambarkan status sosialnya.
Mumia popular lain yang turut ditemui dengan tatu ialah mumia Amunet, dewi udara dari Mesir Kuno dan mumia sekumpulan penduduk Pazyryk di Ukok Platea, di sempadan antara China dan Rusia, yang diyakini merupakan golongan pahlawan.
Berbeza pada era 1960-an, amalan mencacah tatu menjadi begitu sinonim dengan pejuang muzik rock dan pengambilan dadah.
Susulan daripada itu, penyanyi genre rap seperti Tupac pula menggunakan tatu untuk mewakili gaya hidup ‘gangsta’ dengan mencacah tatu yang menggalakkan kehidupan yang ganas.
Namun, sejak akhir-akhir ini, pemandangan seorang lelaki berkulit putih berseluar jean dan berkemeja putih dengan potongan rambut yang kemas melintas jalan bukan lagi satu pemandangan yang menggerunkan.
Memiliki tatu, kata pelukis tatu, Gunner Einarsson, 42, tidak melambangkan sisi ganas atau hitam seseorang. Sebaliknya, jelas artis yang datang dari Iceland itu, ia hanyalah tentang kepuasan peribadi.
‘Pakaian’ samseng
“Dahulu memang tatu sangat sinonim dengan keganasan kerana ia sering menjadi ‘pakaian’ samseng dan gengster.
“Atau sekurang-kurangnya begitulah mereka sering ditampilkan dalam filem dan sebagainya,” ujarnya yang merupakan pemilik bersama Two Thumb Tattoo Studio di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
“Tidak ada pula yang datang ke sini mengatakan mereka dari kumpulan samseng.
“Pelanggan yang berkunjung ke kedai ini rata-ratanya mempunyai latar belakang yang berbeza. Daripada pelajar, penunggang motosikal sehinggalah kepada peguam, juruterbang, ahli perniagaan dan sebagainya.
“Boleh dikatakan tatu bukan lagi simbol kuasa seperti yang digunakan pahlawan dahulukala. Sebaliknya, sekarang ia lebih kepada satu lagi aktiviti yang mahu dilakukan. Sama seperti hobi,” katanya yang turut memiliki tatu pada lengan, bahu dan belakang badan.
Sudah 11 tahun studio itu beroperasi, bilangan pelanggan yang datang berkunjung juga tidak pernah berkurangan.
Penerimaan yang semakin baik terhadap amalan bertatu, ulas Einarsson, disumbangkan oleh perkembangan alatan yang digunakan untuk mencacah tatu.
“Kami menggunakan mesin penstrilan autoclave yang amat selamat. Malah setiap peralatan yang sudah disteril akan disimpan di dalam pembungkus berasingan.
“Bahkan jarum dan pewarna yang digunakan tidak akan diulang pakai pada pelanggan yang lain,” kongsi Einarsson. Tambah beliau, kesedaran pelukis tatu hari ini tentang risiko jangkitan penyakit berjangkit seperti AIDS adalah tinggi.
Orang tempatan, kata Einarsson, masih malu-malu untuk melukis tatu berunsur kreatif.
“Mereka lebih cenderung memilih tatu bermotif tradisional atau ringkas seperti bunga-bungaan, pari-pari, tarikh lahir dan sebagainya,” ujarnya.
“Paling lama saya mampu bertahan untuk menyudahkan satu-satu tatu ialah 11 jam. Ada juga tatu yang terpaksa mengambil masa berhari-hari lamanya, bergantung kepada darjah kesukaran satu-satu rekaan,” dedah Einarsson.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: