Daripada berniaga kain dari rumah ke rumah, sesetengah masyarakat Kemboja di negara ini kini sudah bergelar orang kaya.
TIDAK begitu sukar untuk mencari gerai pembikin sosej tradisi Kemboja milik Hassan Mohamad, sementelah hanya itu satu-satunya gerai menjual daging segar di Pasar Borong Kanchong Darat, Banting, Selangor.
Biarpun tidak mempunyai sebarang penunjuk arah, tanda nama mahupun kain rentang, haruman yang terbit daripada sosej panggang dan daging lembu segar mampu membawa krew Jurnal terus kepada usahawan daging berusia 50 tahun itu.
"Sosej ini sedap dimakan panas-panas, seeloknya selepas diangkat daripada panggangan. Rasanya tidak akan sebaik itu apabila ia sudah sejuk," jemput Hassan sebaik sahaja penulis memperkenalkan diri.
Aroma daging cincang yang disumbat ke dalam usus lembu nipis itu seperti menusuk-nusuk saraf rasa.
Dengan ukur lilit lapan sentimeter dan 13 sentimeter panjang, ia sungguh puas dinikmati.
Sebaik saja gigitan yang pertama, anda sudah boleh merasai jus dan tekstur daging cincang yang kualitinya sama seperti sosej berjenama antarabangsa.
Namun, di sebalik kisah sosej tradisi Kemboja yang dihasilkan Hassan, ada cerita yang tersirat.
Asalnya, anak kelahiran Praek Pra, kawasan berdekatan Phnom Penh, Kemboja ini hanya bersekolah sehingga darjah empat dan terpaksa menghabiskan usia remaja dengan menjadi buruh paksa sebelum nekad melarikan diri ke Thailand pada tahun 1980.
"Ibu selalu menangis apabila melihat saya terpaksa membanting tulang bekerja pada usia muda. Untuk mendapat wang, ia adalah sesuatu yang mustahil.
"Sebagai galakan, ibu akan membuatkan sosej daging lembu yang sedap untuk saya. Itulah ganjaran istimewa yang saya terima selepas berbulan-bulan makan kangkung rebus," imbasnya.
Tidak hairanlah pada tahun 1985, setahun selepas Hassan tiba di Malaysia di bawah program Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), nostalgia itu memberikannya satu azam untuk menjadikan sosej warisan itu sebagai punca rezekinya.
"Berbekalkan simpanan RM250, saya datang ke negara ini. Selepas beberapa tahun menjual barangan keperluan di pasar malam di sekitar Selangor, hanya pada tahun 1990 saya mampu tunaikan impian itu.
"Alhamdulillah, daripada perusahaan kecil-kecilan di rumah, saya kini sudah pun memiliki kilang pemprosesan daging tidak jauh dari rumah.
Sosej usus lembu
"Dengan bantuan suntikan modal daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Jabatan Veterinar, saya dapat mengembangkan perniagaan ini," katanya yang mampu menjual makanan itu lebih 70 kilogram sehari dan memperoleh pendapatan bersih sekitar RM7,000 seminggu.
"Menyediakan sosej juga bukan perkara mudah. Usus lembu sepanjang 1.5 meter perlu dibersihkan untuk dijadikan kulit sosej.
"Bahagian dalam usus perlu diterbalikkan ke luar. Kemudian, ia akan dibersihkan dengan cara mengerik menggunakan pisau secara lembut dan berhati-hati supaya tidak terkoyak dan terputus.
Selepas usus menipis dan dibersihkan, barulah daging cincang disumbat dan dijadikan sosej.
"Selepas itu ia akan dikeringkan selama dua hari sebelum sedia dijual. Ia sama seperti sosej yang ada di pasar raya cuma sosej kami tidak menggunakan tepung," jelasnya yang mempunyai tiga orang pembantu di kilang pemprosesan.
Selain sosej yang juga dikenali sebagai 'tong mo', Hassan dan isterinya Sharifah Abdullah, 42, turut menjual makanan tradisi Kemboja seperti 'lol mak dom' iaitu daging lembu salai bawang putih dan 'kan pedam' atau ikan patin salai.
Bagi yang mahu mencari sosej yang enak ini, pada setiap Ahad, datanglah ke Kampung Kanchong Darat.
Selain popular sebagai kampung yang melahirkan jaguh badminton negara daripada keluarga Datuk Haji Sidek, ia juga dikenali kerana pasar Kemboja.
|
|
Enggan pulang
Pasar yang terkenal sebagai syurga pakaian itu bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian produk malah harga yang ditawarkan sangat berpatutan.
Dimonopoli oleh peniaga Kemboja beragama Islam yang telah menetap di kampung itu sejak tahun 1980-an, ia dibuka sejak sembilan tahun lalu oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kanchong Darat.
Kini pasar tersebut itu mempunyai lebih 60 peniaga dan 80 peratus daripadanya adalah orang Kemboja.
Menurut Ketua Masyarakat Kemboja di kampung itu, Idris Yusuf, 57, perniagaan pakaian adalah tradisi dari negaranya, maka tidak hairan orang Kemboja cenderung menjadikannya sebagai punca pendapatan mereka.
"Di sini terdapat lebih kurang 300 petak gerai dan setiap petak disewa pada harga RM3. Biasanya setiap peniaga akan menyewa tiga hingga lima petak atau lebih.
"Kebanyakannya menjual kemeja T, seluar jean, skirt, telekung, blaus, tudung, kain ela, barangan keperluan, makanan dan pelbagai barangan pada harga murah," ujarnya yang turut berniaga kain.
Bagi sebahagian besar orang Kemboja yang menetap di Kampung Kanchong Darat, mereka dahulunya adalah pelarian yang terpaksa meninggalkan negara akibat polisi perang Pol Pot dan keganasan Gerakan Komunis Kemboja yang juga dikenali sebagai Khmer Rouge pada tahun 1975 hingga 1979.
Menceritakan pahit maung tinggal di negara kelahirannya, seorang peniaga kain, Mukaini Ismail, 51, menggambarkan kehidupannya dulu tidak ubah seperti binatang.
"Apabila komunis memerintah, kami semua dipaksa menjadi buruh, kebanyakannya mengerjakan sawah padi.
"Kami bekerja dari pagi sampai ke malam dan cuma diberi makan sekali sehari. Tiada makanan enak apatah lagi duit gaji. Makanan kami cuma kangkung atau bayam rebus yang dimasak di dalam kawah besar.
"Tin susu menjadi penyukat makanan. Selepas seharian di ladang, kami cuma diberi makan satu tin kangkung rebus. Ia tidak ubah seperti babi," cerita Mukaini yang telah menetap di negara ini selama 28 tahun.
Kini, dianggarkan terdapat 60,000 masyarakat Kemboja di negara ini. Biasanya mereka membina koloni sendiri. Di Kampung Kanchong Darat sahaja terdapat 700 penduduk Kemboja.
Pasar Kemboja adalah salah satu identiti mereka. Malah sesetengah peniaga akan menjelajah ke beberapa pasar Kemboja dalam seminggu.
Salah seorang daripada mereka ialah Saudi Idris, 46, yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut peniaga Kemboja ini, beliau akan berniaga di beberapa pasar pagi Kemboja termasuk di Sungai Tiram, Ayer Hitam dan Kluang di Johor, Bandar Jengka dan Pekan di Pahang, serta Sungai Buloh dan Kampung Kanchong Darat di Selangor.
Beliau membawa muatan pakaian seperti kain ela, tudung, kain pelekat dan batik menggunakan van.
Harga murah
Menurutnya, kain tudung yang dijualnya berharga di antara RM5 hingga RM15 sehelai, manakala kain ela berharga RM15 hingga RM35.
"Harga tersebut lebih murah 20 peratus daripada kedai biasa," katanya yang ditemui di Pasar Pagi Sungai Tiram, Johor Bahru.
Pasar tersebut dibuka pada setiap hari Khamis dari 7 pagi hingga 12 tengah hari dan menghimpunkan lebih 200 peniaga kain dan pakaian.
Kehadiran masyarakat Kemboja di sini sejak tahun 1975 telah sinonim dalam kehidupan penduduk tempatan. Penempatan tumpuan mereka ialah di Taman Muhibbah, Ulu Tiram yang menempatkan 300 keluarga.
Ketua Masyarakat Kemboja Ulu Tiram, Ghazali Musa, 50, berkata, pada peringkat awal penghijrahan, warga Kemboja masih tercari-cari peluang pekerjaan di negara ini.
Pelbagai kerja dilakukan termasuk menjaja kain dari rumah ke rumah sebelum berniaga di pasar tani atau pasar malam.
"Di Ulu Tiram ini sahaja sekarang sebanyak 20 peratus adalah golongan yang berjaya dalam peniagaan masing-masing.
"Bagaimanapun, bilangan keluarga susah masih ramai iaitu merangkumi 40 peratus manakala selebihnya berpendapatan sederhana," katanya.
Seorang peniaga berjaya, Zakaria Ahmad, 46, berkata, beliau memulakan perniagaan ketika berusia 20 tahun dengan menjaja kain dari rumah ke rumah sejak tahun 1980.
Hasil jualan daripada menjaja pakaian itu, katanya, sedikit demi sedikit dia memajukan perniagaan hingga mampu membuka sebuah kedai di bandar Kota Tinggi.
Akhirnya, pada tahun 1988, Zakaria dapat membina rumah sendiri dengan kos RM350,000. Namun, beliau enggan gambar rumahnya dirakam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: