Merentasi sempadan geografi, gadis kelahiran Malaysia, Ng Li Yen, 24, dan teman baiknya dari Singapura, Erin Tan, 24, membuka butik siber yang menjual barangan eksklusif.
MEREKA muda, jelita dan trendy. Namun, disebabkan memiliki elemen-elemen tersebut pada diri masing-masing, Ng Li Yen dan teman baiknya, Erin Tan dicemuh.
Apa yang tidak kena dengan dua gadis Cina yang baru mencecah usia 24 tahun itu? Sebenarnya itulah 'padah' yang mereka terima gara-gara mahu bergelar ahli perniagaan.
|
|
Lari daripada ciri tipikal ahli bisnes, Li Yen dan Erin membuka butik yang dinamakan Kaitlin & Summer (K&S), yang ternyata bukan sebuah butik di alam realiti sebaliknya di dunia maya.
Merupakan sebuah butik siber yang mengetengahkan fesyen terkini untuk golongan muda-mudi dengan menawarkan pakaian, beg tangan dan aksesori yang diimport khas dari New York, Hong Kong dan Thailand, K&S bagaimanapun berbeza berbanding kira-kira 28,400,000 butik dalam talian yang lain yang dapat ditemui dari seluruh dunia.
Merentasi sempadan geografi sudah tentu merupakan ciri yang dikongsi semua laman maya, namun K&S turut merangkumkan realitinya apabila dibentuk di atas sempadan dua negara berjiran iaitu Malaysia dan Singapura.
Warga Malaysia, Li Yen dan Erin, kelahiran Singapura, sudah sembilan tahun menjalinkan persahabatan yang bertambah kukuh dengan kemunculan K&S sejak empat bulan lepas.
"Ia (membuka butik) adalah impian saya sejak di bangku sekolah menengah.
"Tetapi pada waktu itu saya masih bersekolah, jadi tumpuan, seperti orang Malaysia yang lain, hanyalah kepada pelajaran," jelas Li Yen yang merupakan graduan jurusan Pengurusan dari Universiti Nottingham, United Kingdom.
Pakej rupa
Lantaran jenuh memikirkan masa depan dan kepuasan dalam kerjaya, Li Yen, yang juga seorang pegawai perhubungan awam (PR) kemudiannya 'menyapa' teman baiknya dengan ideanya itu.
"Memulakan perniagaan dengan sahabat baik banyak membantu dalam merealisasikan sesebuah impian. Lebih mudah untuk impian itu difahami," akui anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.
Menegaskan mereka berdua berasal daripada keluarga yang berlatar belakang serba sederhana, Erin juga mengakui mereka sudah lali dengan cemuhan dan sindiran.
"Umur kami yang masih muda dan pakej rupa yang ada memang menjadi satu masalah dalam perniagaan kerana ia membuatkan orang ramai di luar sana tidak percaya kepada keupayaan kami.
"Sudah beberapa kali juga kami mendengar kata-kata: 'Anak orang kaya yang sudah tidak ada apa hendak dilakukan, jadi bukalah butik'.
"Hakikatnya, kami anak orang biasa-biasa saja dan kami menggunakan wang simpanan peribadi untuk merealisasikannya," ujar Erin.
Dek kerana tidak memiliki modal yang besar, jauh sekali ada kesudian penaja untuk membantu mereka membuka butik di alam realiti, maka mereka memilih untuk membuka butik siber.
"Tambahan pula pasaran dalam talian amat besar kalau dibandingkan dengan pasaran setempat. Saya pula di Singapura dan Li Yen di Malaysia.
"Jadi perniagaan ini tepat untuk kami," jelas Erin, graduan jurusan Komunikasi dan Pengajian Antarabangsa Universiti Monash cawangan Malaysia.
|
|
Dibatasi faktor jarak secara geografi juga menyebabkan mereka sentiasa berada di dalam talian.
"Kami banyak berhubung secara dalam talian.
"Disebabkan itu, selain beg duit dan set kunci rumah dan sebagainya, kami wajib ada Blackberry dalam beg tangan kami pada setiap masa," ujar Li Yen tertawa.
Li Yen dan Erin juga memastikan sehelai skarf diisi ke dalam beg tangan itu untuk sebarang 'kecemasan' dalam berfesyen. "Skarf boleh mencipta keajaiban!," tambah Li Yen.
Kaitlin
Biarpun memfokus kepada pasaran Malaysia dan Singapura, mereka tidak menafikan sudah mendapat permintaan dari Australia, England, New Zealand dan Hong Kong.
Kalau dijengah laman web K&S, ternyata impian mereka bukan sekadar mainan. Memaparkan imej yang sofistikated, lembaran antaramuka berisi produk juga disusun kemas dengan gambar produk yang dirakam menggunakan khidmat jurugambar profesional.
"Untuk rekaan laman web, rakaman gambar produk dan sebagainya kami gunakan perkhidmatan anak-anak muda yang berbakat kerana kami sedar, pada usia mudalah mereka melakukan sesuatu dengan bersemangat," kata Li Yen.
Nama pilihan yang menghiasi butik mereka juga menyimpan kisah menarik di sebaliknya.
"Kaitlin menyimpulkan peribadi yang lemah-lembut dan feminin. Summer pula seorang periang dan gemar bersuka ria," jelas Li Yen. Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, krew Jurnal sebaliknya terus mendesak.
"Memandangkan ini projek besar kami yang pertama, kami tidak mahu meletakkan nama yang tidak mendatangkan sebarang makna atau tidak berkaitan dengan kami.
"Sebenarnya, kami berharap dapat menamakan anak-anak perempuan kami dengan nama itu suatu hari nanti," jawab Li Yen yang sememangnya sudah lama gemarkan nama Kaitlin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: