Thursday, November 19, 2009

Taliban lancar banyak perang


GAMBAR menunjukkan askar-askar Pakistan bergerak ke kawasan berbukit di Waziristan Selatan dekat sempadan Afghanistan kelmarin.


MIRANSHAH - Kumpulan Taliban semalam menyelar dakwaan kejayaan Pakistan dalam operasi menghapuskan pergerakan itu dan berikrar untuk melancarkan lebih banyak perang gerila bagi mengusir askar pemerintah dari kawasan sempadan Afghanistan.

"Kami tidak kalah tetapi secara sukarela berundur dari kawasan pergunungan kerana itu merupakan strategi untuk memerangkap tentera Pakistan," kata jurucakap Taliban, Azam Tariq kepada pemberita.

Tentera Pakistan sebelum ini menyatakan kubu kuat Taliban di Waziristan Selatan kini hampir ditawan sepenuhnya berikutan serangan bertalu-talu sejak lima minggu lalu.

Sebelum ini pihak tentera memberitahu pemberita bahawa askar-askar melakukan serangan darat dan udara besar-besaran selama lima minggu.

Dalam serangan itu, beberapa pekan yang pernah berada dalam kawalan Taliban berjaya diperoleh semula di Waziristan Selatan yang merupakan kubu kuat pasukan gerila.

Pemberita-pemberita dari Waziristan Utara dibawa ke sempadan Waziristan Selatan dengan mata mereka ditutup dan dipindahkan ke sebuah kenderaan.

Menurut seorang pemberita AFP, mereka bertemu dengan jurucakap Taliban itu yang duduk di sebuah kawasan lapang semasa ditemu ramah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: