Thursday, November 19, 2009

Pemimpin rampasan kuasa Thailand jadi ketua parti baru




BANGKOK - Seorang bekas ketua tentera Thailand yang mengetuai rampasan kuasa menggulingkan perdana menteri, Thaksin Shinawatra pada 2006, Sonthi Boonyaratglin (gambar), 63, dinamakan sebagai pemimpin sebuah parti baru di sini semalam.

Sonthi bersetuju menerajui parti Matuphum atau ibu pertiwi yang berhaluan sederhana dengan matlamat mengembalikan kestabilan politik Thailand.

"Hala tuju parti Matuphum seiring dengan pendirian saya dan ia berdasarkan hasrat untuk mencapai keamanan kebangsaan," kata Sonthi yang kurang menonjol sejak pilihan raya 2008.

Beliau mengetuai Majlis Keselamatan Negara terdiri daripada semua ketua pasukan tentera dan polis sewaktu memimpin rampasan kuasa secara aman bagi menggulingkan Thaksin pada 2006.

"Masalah besar negara ialah perpecahan politik dan sosial yang memerlukan penyelesaian," kata Sonthi.

"Anggota-anggota parti Matuphum terdiri daripada beberapa pegawai tentera dan bekas ahli parlimen dari wilayah selatan yang sering bergolak.

Sonthi menyatakan beliau tidak mahu menyertai politik secara formal selepas rampasan kuasa yang berlaku semasa Thaksin berada di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 2006.

Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva mendapat sokongan besar daripada tentera tetapi kebanyakan pegawai yang bersara menyertai parti Puea Thai yang lebih pro-Thaksin.

Thaksin kini hidup dalam buangan selepas beliau melarikan diri daripada hukuman penjara selama dua tahun di Thailand kerana kesalahan rasuah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: