Thursday, November 19, 2009

Israel berdegil bina penempatan haram


BEBERAPA aktivis keamanan Israel melakukan tunjuk perasaan membantah operasi pecah tanah di penempatan haram Yahudi di Nof Tzion, timur Baitulmaqdis.


BAITULMAQDIS - Israel semalam mempertahankan tindakan membina ratusan buah kediaman baru dengan merampas secara haram tanah penduduk Arab di timur Baitulmaqdis.

Penempatan Yahudi terbaru itu sekali gus menolak gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang memberi amaran langkah rejim itu berbahaya kepada usaha pelan damai.

Pembinaan penempatan haram itu, kata Obama dalam wawancara bersama dengan stesen televisyen AS, Fox News, akan mencetuskan perasaan marah di kalangan penduduk Palestin.

"Saya fikir pembinaan penempatan tambahan tidak menyumbang kepada keselamatan Israel.

"Saya berpendapat ia menyukarkan jalan perdamaian dengan jiran mereka," katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Israel, Eli Yishai mempertahankan keputusan kementerian itu membina 900 buah rumah baru untuk pendatang Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Kedegilan Israel mencetuskan kritikan meluas masyarakat antarabangsa namun rejim itu menganggap wilayah timur Baitulmaqdis itu bakal menjadi sebahagian daripada ibu negara baru Israel.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Palestin turut mahu menjadikan wilayah itu sebagai ibu negara.

"Membekukan penempatan di Gilo seperti cuba membekukan kawasan penempatan penduduk Yahudi lain di Baitulmaqdis.

"Ia tidak boleh ditangguh kerana Gilo terletak di dalam Baitulmaqdis," kata Yishai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: