Tuesday, November 17, 2009

SPFC tidak gagal


Mohd. Mahyidin Mustakim


SEJAK Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) diperkenalkan lima tahun lalu, ia sedikit sebanyak telah membantu ramai penerbit filem dalam menghasilkan filem mereka.

Bermula dari tahun 2005, sebanyak 112 buah filem telah diterbitkan dan 18 daripadanya disiapkan hasil bantuan daripada SPFC.

27 buah filem lagi dari jumlah keseluruhan 45 buah filem yang mendapat dana ini masih dalam proses pembikinan.

Bagaimanapun satu laporan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini mengenai SPFC yang dikatakan gagal mencapai matlamatnya benar-benar memeranjatkan.

Menurut akhbar berkenaan, skim sebanyak RM50 juta yang disediakan oleh kerajaan bertujuan membantu meningkatkan pembangunan industri perfileman tempatan dengan memberi pinjaman kepada penerbit filem dikatakan gagal dan hampir habis.

Menurut laporan itu, kelemahan dalam perjanjian pinjaman itu membuatkan ramai penerbit mengambil jalan mudah dengan tidak membayar balik pinjaman mereka.

Mengikut perjanjian, pembayaran balik SPFC hanya dilakukan selepas filem itu ditayangkan melalui kaedah-kaedah yang dipersetujui.

Bagaimanapun, menurut laporan tersebut, ada beberapa penerbit filem yang tidak berjaya menghabiskan penggambaran mereka mengambil sikap lepas tangan dengan tidak melangsaikan pinjaman tersebut.

Menafikan kegagalan skim ini, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, SPFC sudah berjaya membantu banyak syarikat filem tempatan dalam menghasilkan filem sejak lima tahun yang lalu.

Malah ujarnya, dana skim itu masih ada dan semakin bertambah hasil daripada pembayaran balik oleh penerbit-penerbit yang mengambil dana tersebut.

“Berdasarkan statistik ini, SPFC tidak gagal seperti yang didakwa kerana ia menyumbang lebih kurang 17 peratus daripada jumlah filem di negara kita sepanjang lima tahun ini,” ujarnya pada satu sidang media yang menjelaskan mengenai SPFC di Finas, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Ujarnya, dana skim itu telah diberikan kepada 45 buah penerbit filem yang bernilai RM46.5 juta dan 18 buah filem telah siap dan ditayangkan.

Manakala yang selebihnya masih dalam proses pembikinan, menunggu tarikh tayangan dan ada juga yang tertangguh dan gagal disiapkan.

Walaupun jumlah dana itu hanya tinggal RM3.5 juta sahaja, namun sebanyak RM10.2 juta telah dibayar balik oleh penerbit-penerbit dan Finas menjangka jumlahnya akan bertambah dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pembayaran balik pinjaman adalah melalui bayaran terus daripada pengusaha pawagam hasil kutipan tayangan kepada Bank Pembangunan & Infrastruktur Malaysia Berhad (SME Bank) yang menguruskan dana itu.

Lain-lain sumber pendapatan filem berkenaan seperti hak penjualan VCD, hak siaran di televisyen dan duti hiburan daripada Finas juga disalurkan terus kepada SME Bank.

Bagi yang masih tidak membayar pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan perjanjian sehingga boleh menyebabkan syarikat gulung tikar.

“Setakat ini, lima buah syarikat gagal menyempurnakan bayaran balik dan kami dalam proses untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Bagi tiga buah filem yang terbengkalai pula, Finas akan mengambil alih projek itu dan memberikan kepada penerbit yang berpengalaman dan berminat untuk menyiapkannya," ujarnya.

Tambahnya, dia tidak menafikan ada yang menyalahgunakan dana yang diberikan di luar pengetahuan mereka namun jumlahnya tidak banyak kerana Finas dan pihak bank sentiasa memantau penggunaan dana itu.

Selain sentiasa turun padang melihat proses penggambaran yang dijalankan, pihak Finas dan SME Bank turut mengawal pinjaman yang diberikan.

Sebahagian daripada 60 peratus pengeluaran wang peringkat pertama akan dibayar terus kepada pembekal stok filem, penyewaan peralatan, khidmat pasca produksi dan proses makmal.

30 peratus lagi akan diberikan selepas selesai penggambaran bagi tujuan suntingan manakala selebihnya akan diberikan selepas mendapat Sijil Penapisan Lembaga Penapis Filem dan pengesahan tayangan di pawagam untuk tujuan promosi.

Usaha ini bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku dan penerbit tidak membazirkan dana itu kepada benda yang tidak perlu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: