![]() |
| antara babak-babak menarik dalam filem Pisau Cukur. |
WANITA mana yang tidak mahu kahwin dengan lelaki yang kaya? Ini adalah impian banyak wanita dalam menghadapi keadaan ekonomi dunia hari. Salahkah impian tersebut? Tetapi apabila wanita mempunyai impian tersebut mereka mendapat label yang lain pula, iaitu "Pisau Cukur".
Dan label ini memberi implikasi negatif terhadap maruah wanita.
Pisau Cukur adalah peribahasa yang memberikan makna tentang wanita yang berkawan atau berkahwin dengan seseorang lelaki bertujuan cuba membolot wang ringgit dan harta lelaki tersebut. Apabila filem ini menggunakan peribahasa ini sebagai judulnya apakah ia cuba menonjolkan imej negatif wanita tersebut? Tetapi bukan sifat negatif itu yang hendak ditonjolkan oleh filem ini. Sebaliknya filem ini cuba menghujahkan tujuan wanita mengimpikan lelaki kaya dan bagaimana impian tersebut boleh dicapai.
Disebabkan lakonlayarnya ditulis oleh seorang wanita, maka sudah pasti filem ini cuba mengupas isu tersebut dari sudut wanita dan pasti pula cuba memberikan justifikasinya. Rafidah Abdullah yang menulis lakonlayar filem ini (juga menulis lakonlayar filem Gol & Gincu) adalah salah seorang peneraju program 3R, sebuah program televisyen yang memfokuskan tentang isu-isu wanita.
Adegan awal filem ini dibuka dengan dua rancangan televisyen iaitu sebuah rancangan majalah TV, Dari Fail Polis yang membicarakan tentang pelacur dan dihoskan oleh Intan Mastura (Nur Fazura), dan sebuah rancangan realiti Siapa Nak Kahwin Jutawan yang mana salah seorang peserta peringkat akhirnya adalah Bella (Maya Karin) yang juga teman serumah Intan.
Kedua-dua program ini penting kerana ia bukan sahaja bercakap tentang nasib wanita tetapi ia juga memberi bayangan awal kepada naratif selanjut dalam filem ini. Bella yang gagal terpilih kemudian bercuti bersama Intan menaiki sebuah kapal persiaran, rancangan awalnya merupakan percutian antara Intan dan teman lelakinya Datuk Salleh (Radhi Khaled).
Tidak real
Di kapal persiaran mewah itu yang sebahagian besar penumpangnya adalah terdiri daripada orang-orang kaya, maka Bella merancang untuk memikat lelaki kaya untuk berkahwin dengan cara itu akan dapat menjamin masa depan anak-anaknya.
Mereka dipertemukan dengan tiga lelaki, Datuk Zakaria (Rahim Razali) yang bercuti dengan tiga isteri dan dua anaknya, Datuk Hisham (Eizlan Yusuf) seorang ahli perniagaan duda dan Faqir (Shahredza Minhat) seorang anak muda yang mengenali Bella dari program realiti televisyen. Manakala Intan bertemu dengan Ari (Aaron Aziz) seorang penyiasat persendirian yang tahu hubungan antara Intan dan Datuk Salleh.
Datuk Zakaria cuba memikat Bella walaupun telah mempunyai tiga isteri, tetapi Bella sebenarnya cuba memikat Datuk Hisham. Sepanjang proses Bella cuba memikat Datuk Hisham dia dibantu oleh Faqir. Keadaan berubah apabila Datuk Zakaria ditemui mati mengejut. Intan dan Ari cuba menyiasat kemungkinan konspirasi di sebalik kematian Datuk Zakaria.
Di awal filem ditunjukkan Bella gagal dalam rancangan realiti TV, tetapi program tersebut "diulang semula" oleh penulisnya dengan setnya kali ini dalam kapal persiaran Putri Duyung. Bella sekali lagi memainkan peranannya tetapi kali ini memastikan yang dia tidak akan gagal. Begitu juga Intan mengulang peranannya sebagai hos program jenayah di TV tetapi kali ini sebagai penyiasat yang cuba menyiasat konspirasi kematian Datuk Zakaria. Bagaimanapun jika dalam dua program TV itu latar belakang setnya cuba diberikan gambaran serealistik mungkin, sebaliknya gambaran dalam kapal Putri Duyung ini kelihatan artificial. Kapal yang belayar hanya ditunjukkan dari syot jauh (yang tidak memperlihatkan detail kapal tersebut) dan kemudian gambaran dalam kabin menggunakan syot rapat (kita seakan melihat sebuah drama televisyen).
Dari gerak lakon para pelakonnya, terutama godaan Bella dan Intan hingga ke set dalam kapal kelihatan tidak real (apatah lagi Bernard tidak membuat penggambaran dalam kapal sebaliknya menggunakan studio). Begitu juga Datuk Zakaria diperlihatkan lumpuh dan tiga isterinya kelihatan berhadapan dengan masalah mental. Dua anak Datuk Zakaria iaitu Suri (Liyana Jasmay) membenci ayahnya lalu berkomplot cuba meracun ayahnya sendiri dan Johan (Nas-T) yang pendiam menentang sikap ayahnya dengan menjadi lelaki gay.
Rafidah sebagai penulis yang banyak menyelami isu-isu wanita dalam 3R tidak memperlihatkan sikap anti-poligami secara terang sebaliknya memperlihatkan elemen dysfunctionality keluarga Datuk Zakaria. Malah Rafidah sebaliknya cuba memberi kewajaran matlamat Bella untuk berkahwin lelaki kaya dengan tujuan memastikan masa depan anak-anaknya terjamin. Jika begitu mengapa anak-anak Datuk Zakaria tidak merasa masa depannya terjamin?
Elemen artificiality filem ini sengaja ditonjolkan dari kapal hinggalah kepada watak-wataknya samalah dengan impian yang hendak digapai oleh Bella. Seperti dalam program realiti TV, apa yang berlaku dalam kapal persiaran itu semua watak cuba menyembunyi realiti diri mereka, semuanya berpura-pura dalam pelayaran sebuah dunia impian. Realiti setiap watak hanya menyerlah semasa mereka berada di daratan. Bella menemui siapa Faqir yang sebenar dan Intan menyedari apa yang dimahukan dengan mengikut Ari menjadi penyiasat.
Pisau Cukur bergerak secara mendatar dan kematian Datuk Zakaria gagal menjadi titik dramatik plot filem ini dan kerana tiadanya ketegangan dan suspens dalam adegan-adegan penyiasatan tentang komplot kematian Datuk Zakaria. Apatah lagi cara siasatan yang dilakukan oleh Intan dan Ari kelihatan begitu mudah. Begitu juga plot selari usaha Bella memikat Datuk Hisham kelihatan mendatar tanpa satu adegan yang benar-benar menarik. Struktur plot, set dan watak-watak dalam filem ini digerakkan seperti filem-filem tahun 70-an (kalau anda masih ingat siri Love Boat) kecuali watak-wataknya menggunakan telefon bimbit yang menyedarkan kita kepada realiti masa kini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: