Thursday, November 19, 2009

Sorok nikah?




Nurul janji akan umum kepada peminat jika benar dia sudah ada pengganti Ajai

SUDAH lumrah kehidupan insan bergelar selebriti, apa saja yang berlaku dalam kehidupan pasti menjadi perhatian orang ramai. Peristiwa suka, duka, tawa dan tangis, semuanya ingin diikuti peminat di luar sana.

Jika boleh, tentu saja mereka tidak mahu kisah peribadi turut dikongsi bersama orang lain. Namun apakan daya, sekali diri bergelar pelakon atau penyanyi popular, garis halus yang memisahkan karier dengan kehidupan peribadi jelas sekali menjadi nipis. Sering kali sempadan itu dilanggar dek status selebriti yang dimiliki.

Penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab (Nurul) tidak terkecuali. Pada ketika dia cuba untuk lebih menonjolkan kembali karier seninya, ketika itu jugalah pelbagai cerita peribadi melingkari kehidupan wanita ini. Cerita kononnya dia sudah mempunyai calon pengganti, bahkan selamat melangsungkan pernikahan, tersebar di sana sini.

Hidup bersendirian selepas mahligai yang dibina bersama komposer Ajai runtuh kira-kira tiga tahun lalu, tentunya mengundang pelbagai cerita buat artis dari Utara ini. Hendak ditepis bukan mudah, apatah lagi apabila peminat kini mempunyai pelbagai teknologi moden untuk berkongsi kisah sebegini.

Lalu, hanya doa dipanjatkan Nurul ke hadrat Yang Esa, memohon agar kekuatan tidak pernah pudar daripada dirinya. Cuma semangat itulah yang terus memanjangkan langkahnya dalam arus dunia yang bukan sedikit pancaroba serta godaan.



Ketika yang sama, Nurul tersenyum sendirian apabila peminat yang sama jugalah, yang tidak henti-henti mendoakan kebahagiaan untuknya. Tidak kurang mereka yang berdoa semoga Nurul akhirnya bertemu insan mulia yang mampu memberikannya kebahagiaan dicari-cari. Maka, apabila tersebar kononnya dia sudah pun berkahwin lagi, baru-baru ini, ramai yang tersenyum gembira dengan khabar angin terbabit.

Bekas suami sendiri menjadi orang pertama menghadiahkan dirinya ucapan tahniah, sebelum cerita itu kemudian mengembara ke sana sini. Dia yang tertanya-tanya sendiri, dari mana munculnya cerita mengenai perkahwinan itu, akhirnya terpaksa membuka mulut sebelum khabar angin itu bertiup dengan lebih kencang lagi.

'Gosip kahwin gugat kerjaya'

"Nurul terpaksa juga membuka mulut apabila cerita fasal perkahwinan itu sudah merebak. Kalau dibiarkan, Nurul bimbang ia membuatkan orang ramai bercakap bukan-bukan pula nanti.

"Nurul kan seorang penyanyi? Ramai peminat yang ingin berkongsi kegembiraan dengan diri kita ini. Lalu, takkan Nurul hendak menyembunyikan berita gembira sebegitu, sekiranya ia benar-benar terjadi. Apatah lagi, kalau diizinkan Tuhan, Nurul ingin mengadakan majlis besar-besaran pada perkahwinan kali ini. Berita gembira seperti itu tidak patut disembunyi.

"Lagipun, peminat jugalah yang banyak memberikan semangat kepada Nurul tatkala dihimpit duka. Jadi, seharusnya Nurul berkongsi cerita gembira itu bersama mereka," cerita Nurul yang baru saja muncul bersama album solo, Tika Cinta, bersama syarikat Metadome.

Harapan penyanyi ini, agar cerita yang tidak betul itu terhenti setakat itu saja kerana dia turut dibelenggu kebimbangan, berita seperti itu mampu menggugat karier seninya.

"Nasib baiklah, ramai peminat yang turut menghantar pesanan di laman sosial, meminta Nurul banyak bersabar dan tidak memikirkan sangat mengenai cerita bukan-bukan," kata wanita berusia 32 tahun ini.

Menyambung perbualan mengenai jodoh, akui Nurul, bukan sekadar keluarga sendiri, malah peminat juga ingin melihat dirinya menaiki pelamin bersama lelaki yang baik, seterusnya melayari kehidupan berumah tangga.

"Begitupun, Nurul sendiri tidaklah boleh berharap sangat ia berlaku dengan semudah itu. Kata orang, jika terlalu berharap, ia tidak akan terjadi. Lagipun, bukankah kita sedar, amat sukar untuk mencari lelaki yang benar-benar baik hari ini?

"Nurul sendiri jadi tertekan apabila berbicara soal jodoh ini. Memanglah doa rakan-rakan dan peminat supaya Nurul bertemu jodoh yang sempurna itu sangat dihargai. Namun pada masa yang sama, sakit kepala dan sesak nafas Nurul apabila dihimpit permasalahan sebegini," ujarnya.

Bukan mengalah, tetapi penyanyi yang juga ibu kepada seorang anak perempuan, Ayu Nazirah, 11, ini berasa lebih afdal untuknya menyerahkan kepada Yang Maha Kuasa dalam menentukan jodoh terbaik untuknya. Percaya wanita ini, jika masih ada jodoh untuk dirinya, maka berumah tangga jugalah dia suatu hari nanti.

Pada pertanyaan apakah dia mengharapkan jodohnya kali ini bukan lagi daripada bangsa sendiri, Nurul berasakan lebih baik dia tidak memberikan sebarang jawapan kepada soalan tadi. Malah, katanya, dia tidak mencari sesiapa pun pada waktu ini kerana tumpuannya sekarang lebih kepada membangunkan lagi karier seni.

"Nurul tidak mahu menyesakkan kepala dengan memikirkan perkara seperti ini," katanya sambil ketawa kecil.

Tika Cinta Nurul

MENYENTUH kemunculan album ketujuhnya di pasaran, Tika Cinta, penyanyi ini memberitahu, menerusi penghasilan terbaru itu, dia turut mencipta sebuah lagu berjudul Bukan Cermin Di Hati. Kiranya, lagu berkenaan melakar sejarah sebagai lagu pertama ciptaannya yang dimuatkan dalam album.

Selain Bukan Cermin Di Hati, album berkenaan juga memuatkan lagu Sepenuh Jiwa, Kala Hati, Tertutup Hati, Jadikan Aku Bintang dan Tangis Syukur.

Menceritakan kisah di sebalik lagu ciptaannya, Nurul memberitahu, dia mendapat idea menghasilkan lagu berkenaan ketika berdandan di salun. Tiba-tiba saja, melodinya bagai bermain di kepala, membuatkan penyanyi ini meminta pendandan rambutnya berhenti seketika, bagi membolehkan dia merakam irama berkenaan.

"Kemudian, Nurul memperdengarkan melodi itu kepada Tam Spider. Dia berasakan irama yang Nurul rakam itu sesuai untuk dijadikan sebuah lagu. Hampir dua minggu kemudian, Tam memperdengarkan kembali melodi itu kepada Nurul, setelah dia memperelokkan lagi bunyinya.

"Nurul juga menyiapkan lirik untuk lagu berkenaan, bagaimanapun apabila M Nasir melihat lirik terbabit, dia berasakan ia tidak berapa sesuai. Apabila disusun semula oleh sifu muzik itu, barulah liriknya diterima," cerita Nurul.

Walaupun sudah berpengalaman dalam penghasilan lirik, tetapi akui wanita ini, dia masih takut serta ragu-ragu untuk mengembangkan bakatnya kepada penciptaan lagu.

"Mencipta melodi, bagi Nurul, bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Kepala kita perlu berada dalam keadaan tenang pada ketika itu. Idea menghasilkan melodi bukannya datang selalu. Apabila minda kita tidak terganggu, barulah ilham senang untuk datang.

"Kini, Nurul memang mempunyai melodi yang lain lagi, tetapi belum diperdengarkan kepada Tam. Insya-Allah, apabila kami bertemu nanti, mungkin Nurul perdengar lagu itu kepadanya," kata penyanyi yang kini muncul bersama siri Kau Dan Aku, tayangan Astro Ria.

Dia juga kini dalam perbincangan untuk membintangi filem kedua, selepas menghiasi layar lebar dengan filem Sate, kira-kira 13 tahun yang lalu. Pada masa yang sama, Nurul turut menarik minat dua jenama, masing-masing produk kecantikan dan aksesori, yang kini dalam peringkat perbincangan bagi menjalinkan kerjasama bersamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: