Thursday, November 19, 2009

Cabaran cerita makhluk halus


KRU dan pelakon drama Nenek Kebaya di lokasi penggambaran.

Kru dan pelakon alami perkara pelik di lokasi Nenek Kebaya di Hulu Langat

ELEMEN tahyul dan syirik sehingga boleh menyekutukan Tuhan antara perkara yang cuba dielakkan di dalam sesebuah produksi televisyen kerana sesuatu yang berkaitan dengan alam makhluk halus mampu mencetuskan ketidakselesaan penonton.

Biarpun masyarakat dulu mempercayai akan kewujudan kejadian mistik seperti nenek kebayan yang boleh menyerupai perempuan cantik dan orang tua yang hodoh, namun kepercayaan itu mudah disalahertikan sehingga menimbulkan isu kontroversi oleh alim ulama.

Perkara ini dipandang serius di dalam pembikinan drama bersiri yang menghiasi slot Lagenda di TV3 berjudul Nenek Kebaya agar aspek yang boleh memesongkan akidah masyarakat kita tidak dipaparkan.

Pengarahnya, Ismail Yacob berkata, hubungan manusia dengan alam jin tidak boleh dipisahkan memandangkan kedua-dua mempunyai hubungan yang tidak nyata.

“Saya harus memastikan keseluruhan cerita yang ditulis oleh penulis skripnya tidak bercanggah dengan agama dan boleh mewujudkan perasaan tahyul kepada penonton.


“Memang benar ada kalanya skrip boleh tersasar kerana apa yang ditulis tidak semuanya mampu digambarkan oleh pemikiran penulis dan sebagai pengarah saya harus peka dengan persekitaran itu. Pengetahuan dan kajian harus dibuat untuk mengelakkan prasangka tahyul itu. Inilah yang menjadi cabaran buat saya apabila cerita yang membabitkan makhluk halus.

“Saya harus memastikan keseluruhan cerita tidak bercanggah dengan kepercayaan agama Islam memandangkan majoriti yang menonton drama Melayu adalah orang Melayu yang beragama Islam,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran drama Nenek Kebaya di Hulu Langat baru-baru ini.

Sepanjang penggambaran drama ini, produksi turut tidak terlepas daripada gangguan yang dilihat secara kebetulan menimpa kru dan pelakon utamanya.

“Memang benar kejadian pelik itu turut berlaku dan saya tidak menganggap ini sebagai gangguan yang disebabkan drama ini tetapi secara kebetulan.

“Baru-baru ini enam kenderaan kru kita mengalami kerosakan sekali gus semasa hendak pergi ke lokasi. Perkara ini tidak pernah berlaku kepada kru saya selama ini tetapi ia secara kebetulan.

“Begitu juga dengan pelakon utama kita Diana Rafar yang sepatutnya membawakan watak nenek kebayan yang mengalami sakit mata. Ketika hendak memulakan babak itu, secara kebetulan Diana mengalami sakit mata sehingga matanya membengkak dan babaknya terpaksa dihentikan,” katanya.

Mata bengkak gara-gara nenek kebayan

KATA Diana, kejadian yang menimpanya turut dianggap sebagai kebetulan dan tidak mahu mempercayai gangguan makhluk halus.

“Ia sebenarnya bermula sejak menerima tawaran membintangi drama ini. Selepas menerima skrip saya ada membaca sedikit apakah peranan saya di dalam drama ini. Melihat tajuknya seperti cerita komedi tetapi sebenarnya tidak.

“Saya tidak membaca habis tetapi Zamarul yang lebih teruja untuk mengetahui jalan cerita yang dianggap cukup berlainan daripada cerita seram sedia ada. Tidak pernah dia membaca skrip yang dihabiskan dalam satu malam tetapi skrip Nenek Kebaya ini menarik minatnya untuk membaca sehingga habis.

“Katanya amatlah rugi jika saya menolak untuk membintangi drama ini kerana ia cukup istimewa dan berlainan sekali,” katanya.

Diana juga berkata berlaku kejadian pelik apabila anak saudaranya tiba-tiba bertanya soalan yang sama seperti apa yang ada dalam skrip itu.

“Semasa saya sedang membaca dialog itu, anak saudara saya juga bertanya serentak dan tiba-tiba lampu bilik meletup. Saya dan Zamarul berpandangan seperti mahukan penjelasan,” katanya yang turut mengalami beberapa kejadian pelik yang lain.

Biarpun buat pertama kalinya Diana menerima lima watak di dalam sebuah drama yang dibintanginya, namun bukan halangan buatnya untuk mempelbagaikan watak itu cuma ada juga beberapa kejadian pelik yang berlaku sewaktu mahu menjiwai lakonan.

“Saya memegang lima watak iaitu Samsiah, Nenek Kebaya, Intan Sari, Mak Inang Sari dan Nenek Kebayan, kesemua watak ini berbeza-beza. Biasanya saya akan menghabiskan satu-satu watak dulu sebelum memulakan watak yang lain.

“Ada watak yang saya bawa tidak langsung menghadapi masalah dan ada watak yang menghadapi masalah buat saya. Semasa membawa watak Mak Inang Sari saya mendapat penghayatan yang sangat luar biasa dan sukar untuk memberhentikan sehingga pengarah terpaksa menjerit untuk memberhentikan.

“Apabila kesemua empat watak sudah siap dan hanya menunggu untuk membawakan watak Nenek Kebayan, mata saya mula sakit dan membengkak sehingga terpaksa dibatalkan.

“Saya sudah pergi berjumpa tiga doktor tetapi tetap tidak baik. Sudah lapan hari saya tidak dapat menjalani penggambaran tetapi tetap bersemangat datang ke lokasi untuk mengetahui jalan cerita ini.

“Yang peliknya, apabila di rumah keadaan tu nampak semakin baik tetapi apabila berada di lokasi dia bengkak semula,” katanya yang akan menjalani penggambaran berseorangan sebaik matanya pulih nanti.

Nenek Kebaya adalah cetusan idea penulis skripnya iaitu Sharifah Abu Salem yang mendapat ilham daripada pengalaman mendengar cerita orang tua sejak kecil.

“Tercetusnya idea untuk menghasilkan skrip ini apabila saya diberikan slot lagenda untuk mengarang skrip. Seperti yang ramai mengetahuinya slot ini harus menceritakan mengenai kisah lagenda baik yang benar mahupun mitos.

“Terfikir pula saya mengenai kisah Nenek Kebayan yang ramai masyarakat sudah mengetahuinya tetapi tidak pernah terfikir apakah kesudahan kisah Nenek Kebayan. Sebelum ini kisah Nenek Kebayan dianggap sebagai inang di istana, seorang permaisuri yang disumpah atau seorang tua yang tinggal di puncak gunung,” katanya.

Bagi mengelakkan cerita yang dihasilkan ini tidak menyimpang, Sharifah menitikberatkan mengenai fakta dan panduan agama di dalamnya.

“Saya cuba menghasilkan dengan cara yang logik saja dan selebihnya akan digarap sebaik mungkin oleh pengarah. Apa yang digarap oleh pengarah adalah sesuatu yang kreatif dihasilkan mengikut nalurinya. Memang pengarah juga amat bimbang sekiranya ada elemen tahyul di dalam drama ini.

“Jadi secara keseluruhannya saya cukup berpuashati dengan hasil kerja yang dihasilkan,” katanya.

INFO: Nenek Kebaya

  • Mengungkap cerita di sebalik mitos nenek kebayan sudah menemui penonton mulai 3 November lalu setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang.

  • Drama 20 episod ini diterbitkan oleh Suhan Movies Sdn Bhd dan menampilkan pelakon seperti Diana Rafar (Samsiah), Raisuddin Hamzah (Tuan Adam), Amyza Adnan (Mastura), Zed Zaidi (Shafie) Pekin Ibrahim (Hazami), Ghazali Abu Noh (Pak Salleh), Nadia Kesuma (Umairah), Izreen Aminda (Marini) dan Mariani (Nek Putih).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: