|
 |
| SELEPAS pelbagai spekulasi heboh diperkatakan orang berkaitan isu dia menarik diri daripada drama bersiri Spa Qistina terbitan Global Station Sdn Bhd, baru-baru ini, pelakon jelita Nora Danish akhirnya tampil memberi penjelasan cerita sebenar yang berlaku kepada pihak media. |
Menurut Nora, dia terpaksa menarik diri daripada berlakon dalam Spa Qistina kerana pihak Global Station sudah melanggar perjanjian yang dibuat antaranya dengan pihak produksi itu sebelum ini.
"Sebenarnya, saya berasa kecewa dan terkilan apabila pihak produksi melanggar perjanjian yang sudah dipersetujui bersama iaitu tiada sebarang babak yang membabitkan saya bersama pelakon Fasha Sandha dan kami juga tidak boleh berada di lokasi yang sama ketika penggambaran Spa Qistina.
"Saya juga sudah berulang kali mengingatkan kepada penerbit eksekutif drama itu, Zetty Adila Ramly mengenai syarat saya ini, tapi nampaknya pihak produksi memandang remeh perkara yang membabitkan prinsip dan ada kaitan dengan hidup saya ini," katanya.
Ditanya bagaimana perasaannya apabila Penerbit Global Station, Datin Zaiton Mohd Jiwa atau Kak Ton sendiri menganggap dirinya tidak profesional kerana menarik diri daripada Spa Qistina itu, Nora berkata, Kak Ton tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana dia tidak berada di tempat kejadian.
"Kak Ton dan Adila tidak melihat insiden yang berlaku. Saya memang bertembung dengan Fasha di lokasi penggambaran berkenaan. Ia hari pertama kami shot dengan team produksi baru. Saya juga mendapati ada babak saya bersama Fasha dalam jadual penggambaran pada hari berkenaan.
"Tapi, apabila bertanya kepada pihak produksi kenapa babak itu ada dalam jadual penggambaran, Adila pula memberitahu, pihak mereka tidak akan buat babak saya bersama Fasha itu.
"Saya juga mula berfikir macam-macam ketika itu dan tertanya-tanya adakah pihak produksi sengaja nak buat babak itu? Maklumlah, Spa Q yang kini dikenali sebagai Spa Qistina banyak kontroversi dan mungkin insiden seperti itu untuk memanaskan siri popular ini lagi. Tapi saya tahu Kak Ton bukan penerbit yang sedemikian," katanya.
Mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan, Nora berkata, semuanya bermula ketika dia sampai ke lokasi penggambaran Spa Qistina pada jam 1 tengah hari.
"Saya tidak boleh shot babak saya lagi ketika itu sehingga jam 3.30 petang kerana ada perkara berkaitan tenikal yang perlu diselesaikan kru produksi terlebih dulu. Tapi, saya dapat tahu Fasha ada di lokasi sama pada jam 3.30 petang apabila ada orang beritahu Fasha tengah make-up dan baca skrip sedangkan babak saya masih belum shot lagi.
"Pada mulanya saya tidak percaya, Fasha ada di situ tapi bila saya keluar dari bilik, saya terus bertembung dengannya di set. Ketika itu, saya berasa diri tidak dihargai dan seperti ada orang ambil kesempatan pada saya.
"Saya tidak bergaduh dengan Fasha seperti yang disebarkan orang, sebaliknya saya terus meninggalkan set penggambaran drama berkenaan apabila melihat Fasha di situ. Saya difahamkan babak Fasha dijadualkan bermula pada jam 4 petang hari yang sama dengan babak saya.
"Sebenarnya, saya tidak menyalahkan Fasha dalam hal ini kerana kes saya menarik diri daripada Spa Qistina ini antara saya dengan pihak Global Station dan ia memang tiada kaitan dengannya," katanya.
Nora berkata, dia juga berusaha menghubungi Kak Ton untuk memberitahu apa yang berlaku tapi Adila yang menggunakan telefon bimbitnya ketika itu.
"Saya ingin beritahu Adila tapi bimbang nanti dia berkecil hati pula," katanya.
Nora ditemui ketika menjayakan majlis doa selamat filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 terbitan MIG Production Sdn Bhd di pejabat MIG di Subang Jaya, baru-baru ini. Nora juga berlakon watak pembantu bernama Seha dalam filem arahan Ahmad Idham ini.
Mengenai cerita Kak Ton mempersoalkannya berkongsi pentas dengan Fasha sempena pertunjukan fesyen, Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (M-IFW) 2009 pula, Nora berkata, M-IFW dan Spa Qistina adalah dua acara berbeza.
"Sepanjang lebih setahun saya bercerai, saya sudah banyak kali terserempak dengan Fasha dalam pelbagai acara sebelum ini dan saya tidak ada masalah dalam soal itu.
"Tapi berlakon sama dalam drama itu lain kerana ia sudah melanggar prinsip saya dan ia juga perkara yang membabitkan periuk nasi saya.
"Saya percaya, Kak Ton faham apa yang saya lalui ini. Cuma, mungkin dia membuat kenyataan saya tidak profesional itu kerana sudah menanggung kerugian apabila babak Maya yang saya lakonkan itu terpaksa dibuat semula. Saya juga belum tandatangan kontrak berlakon dan sudah pulangkan cek bayaran pertama drama itu padanya," katanya.
Nora berkata, selepas dia membuat kenyataan menarik diri daripada Spa Qistina kerana ada pertindihan jadual sebelum ini, hubungannya dengan Kak Ton masih baik.
"Hubungan kami menjadi keruh apabila Kak Ton tidak dapat terima apabila ada orang menyampaikan cerita saya menjayakan pertunjukan fesyen yang turut disertai Fasha itu," katanya.
Apapun, kata Nora, dia berasa menyesal kerana menerima tawaran berlakon drama Spa Qistina itu.
"Ia adalah kesilapan terbesar yang saya lakukan. Masalah ini tidak akan timbul jika saya tidak terima tawaran daripada Global Station.
"Terus terang, saya menerima tawaran berlakon dalam drama ini kerana Kak Ton. Saya memang mengaguminya dan sudah lama ingin bekerjasama dalam produksinya," katanya.
Nora berkata, dia serik dengan insiden yang menimpanya itu.
"Saya juga tidak akan sesekali menerima tawaran daripada mana-mana produksi pun yang ingin menawarkan saya berlakon bersama Fasha lagi selepas ini, sekalipun tiada babak membabitkan kami berdua.
"Sebelum ini, saya pernah beritahu orang , saya boleh berlakon dalam drama yang sama dengan Fasha kerana saya pelakon yang profesional. Tapi, selepas insiden ini berlaku, saya mula berfikir, perasaan itu melebihi daripada segalanya kerana ia membabitkan cerita peribadi saya," katanya.
Pada masa sama, kata Nora, dia juga berharap dapat bersemuka dengan Kak Ton untuk menjernihkan keadaan dalam tempoh terdekat ini.
"Apa yang berlaku ini kerana salah faham saja. Saya juga ingin memulihkan semula hubungan baik saya dan Kak Ton seperti sebelum ini. Malah, saya juga tidak ada masalah untuk bekerjasama lagi dalam produksinya selepas ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: