Sunday, November 15, 2009

Semangat Sabhi


BUKAN mudah untuk jejaka ini mencipta nama di pentas seni suara. Mengimbau kembali detik permulaannya bertapak di dalam industri, Sabhi Saddi atau selesa disapa Boy sekadar penari latar persembahan Adam AF2.

Tidak lama selepas itu dia bersama Adam dan seorang lagi rakannya menubuhkan kumpulan Es’deco. Bagaimanapun, mungkin rezeki tidak memihak kepada kumpulan ini dan kemudian Adam kembali bergerak solo.

Memikirkan minat mendalam dalam bidang seni, Boy tidak mahu terus putus asa. Sekian lama mendiamkan diri, kini langkahnya kembali diteruskan untuk bergelar penyanyi solo.

“Sebenarnya saya teringin tubuhkan kumpulan nyanyian. Bagaimanapun impian kami bertiga tidak kesampaian.

“Jadi kami membuat keputusan untuk mengutamakan komitmen masing-masing, lebih-lebih lagi Adam perlu menjaga reputasinya sebagai penyanyi solo.

“Sebab itu atas dasar sokongan keluarga, rakan dan Adam sendiri, saya cuba bangkit dan turut bergerak sebagai penyanyi solo,” katanya.

Boy menambah, selepas impiannya melihat Es’deco berjaya tidak kesampaian, anak jati kelahiran Sabah ini membulatkan tekad untuk terus menyanyi meskipun bergerak sendirian.

“Saya mahu mencipta kelainan muzik. Lebih-lebih lagi Es’deco terkenal dengan genre muzik hip hop yang kasar, begitu juga Adam membawakan genre sama.

“Jadi saya mengambil keputusan membawa jalur R&B, balada dan jazz. Lagipun dari dulu lagi saya meminati genre muzik ini. Cuma bila bergerak secara berkumpulan, saya perlu akur dengan keputusan ahli anggota yang lain.

“Selain itu saya perlu ada material berbeza untuk mengelak masyarakat mengaitkan saya dengan Adam mahupun Es’deco,” katanya.

Menjadikan Hazami dan Anuar Zain sebagai idolanya, Boy tampil dengan single berjudul Bergemerlapan. Tambah menarik, lagu berkenaan turut mengiringi drama bersiri Tari Tirana menggantikan Pendeta dendangan Nizel.“Memasuki episod seterusnya, perjalanan cerita Tari Tirana mula memasuki babak cinta dan mengenai persoalan emosi. Jadi, lagu saya dipilih sebagai tema berkenaan.


“Selain itu single kedua saya Nadiku juga diterima produksi itu. Alhamdulillah semuanya rezeki, malah penerbit menyukai lagu berkenaan walaupun baru pertama kali mendengarnya.

“Harap-harap dua lagu ini akan membuka laluan untuk saya dikenali ramai. Pendek kata, ia menjadi kaedah perkenalan untuk saya dan pendengar muzik tanah air. Mungkin selepas itu saya akan merakam album penuh,” katanya.

Bagaimanapun, pemilihan genre muzik penyanyi ini dilihat bertentangan dengan minatnya yang sukakan tarian. Jelas Boy, meskipun lagu didendangkan tidak rancak, dia tetap akan menyelitkan unsur tarian dalam lagunya.

“Biar sedikit daripada tiada langsung. Saya juga akan mencari satu lagu rancak dan sesuai untuk diadunkan dengan tarian. Barangkali, ia tidak janggal jika menggabungkan tarian dengan genre pop mahupun jazz,” katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: