| JIKA dihitung hayat pembabitannya di arena seni lakon, mungkin ramai terlupa si ayu 23 tahun ini sebenarnya masih hijau. Melihat publisiti yang membaluti juga curahan tawaran silih berganti, siapa menjangka empunya nama Lisa Surihani Mohamed mampu menempa nama dalam tempoh singkat. |
| |
Berbanding bintang baru seangkatannya, Lisa boleh menarik nafas lega hari ini dengan apa yang dicapainya. Mula mencipta nama menerusi I’m Not Single bersama Farid Kamil, Lisa terus meniti langkah membanggakan.
Dianugerahkan paras menawan berserta bekalan akademik, gadis berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Aberystwyth, Wales ini hadir ke persada seni dengan pakej lengkap.
Namun fakta ini bukan alasan buatnya untuk berpuas hati, jauh sekali mendabik dada dengan kelebihan dimiliki.
Sebaliknya jurucakap produk Lip Ice Lip Balm ini mempunyai impian dan visi lebih besar untuk hari mendatang. Berbicara lebih lanjut, Lisa mengakui kecenderungannya kini berjangkit kepada kerja belakang tabir.
Menurut Aktres Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 ini, ada di lokasi penggambaran kini padanya bukan setakat menghayati watak atau menghafal skrip, sebaliknya dia cuba mencuri ruang dan masa dengan mengintai peluang mempelajari selok-belok pembikinan dan kerja belakang tabir.
“Saya tidak berat mulut untuk bertanya kru produksi mengenai perkara asas berkenaan penerbitan sesebuah karya yang saya lakonkan. Malah hubungan baik dengan tenaga produksi menyebabkan mereka tidak lokek memberi tunjuk ajar.
“Saya banyak bertanya mengenai teknikal seperti penataan cahaya dan operasi kamera. Sifat ingin tahu ini sedikit sebanyak menarik minat saya untuk belajar lebih mendalam mengenai pembikinan sesebuah drama mahupun filem, terutama daripada aspek pengarahan, penyuntingan dan kesinambungan.
“Pengetahuan ini boleh dijadikan satu cabang kerjaya buat saya selain berlakon. Mungkin tiba masanya untuk saya mencuba yang baru dan mana tahu, saya boleh berlakon dalam drama arahan sendiri nanti,” selorohnya.
Tambahnya, cabang seni ini terlalu luas dan langkah mencuba di belakang tabir adalah sesuatu yang relevan dan sepatutnya dilakukan mana-mana anak seni untuk menjadi lebih versatil.
“Hari ini banyak rujukan yang mampu kita lihat apabila seorang pelakon itu beralih menjadi pengarah atau penerbit. Kerjaya mereka lebih kukuh dan konsisten. Lihat saja Ahmad Idham, Rosyam Nor, Sheila Rusly, A Aida, Ziela Jalil, Erma Fatima dan ramai lagi, yang mana kerjaya mereka masih mampu meraih perhatian dan membawa status karier ke tahap lebih membanggakan.
Mungkin laluannya yang lancar dengan dorongan keluarga dan teman selain kepercayaan diberi pihak pengurusannya, MIG, membuatkan segala yang dirancang mengikut landasan betul. Malah, setiap keputusan yang ingin dilakukan pasti mendapat pandangan daripada mereka yang dipercayainya.
Aktres yang bakal muncul sebagai Maya dalam siri Mertua vs Menantu musim kedua ini masih menanti tayangan beberapa filem lakonannya, antaranya Lagenda Budak Setan, Zoo, Kapoww, Semerah Cinta Stileto dan Rempit V3.
Melihat portfolionya, Lisa bersedia memikul tanggungjawab lebih mencabar dengan membawa jalur watak lebih berat. Menolak spekulasi dirinya sebagai pelakon stereotype, aktres yang mengagumi pelakon Hollywood, Kate Winslet ini sentiasa memastikan lakonannya memberi impak.
“Saya suka lakonan bersahaja dan tidak terikat dengan skrip. Malah seni lakon spontan dapat memberi kelainan di samping memperlihatkan bakat lakonan daripada perspektif berbeza.
“Itu yang saya tampilkan dalam setiap kerja, namun masih lagi mengikut perwatakan sebenar yang digambarkan penulis. Setakat ini saya bersyukur kerana respons sangat baik.
“Pelakon mana yang ingin tampil mengecewakan? Begitu juga saya. Sebagai pelakon yang masih dikategorikan baru setahun jagung, saya akan berusaha sebaik mungkin,” katanya.
Bagaimanapun, ketika dipilih Astro untuk menjadi wajah eksklusif, ada yang berpendapat Lisa seakan-akan membina tembok kerjayanya. Lebih menyedihkan, sebagai pelakon baru, senario itu membuatkan bakatnya terbatas.
“Sebelum membuat keputusan itu saya berbincang dengan MIG dan keluarga. Saya membuat pertimbangan daripada pelbagai aspek, tetapi saya melihat tawaran itu daripada sudut positif.
“Tawaran itu sesuatu yang munasabah untuk saya tolak memandangkan ia satu pengiktirafan kerana sebagai orang baru, saya diberi kepercayaan untuk sebaris dengan mereka yang berpengalaman seperti Erra Fazira, Aaron Aziz dan Farid Kamil.
“Ia platform baik buat saya kerana dapat terus mengasah bakat lakonan, selain peluang beraksi dalam drama atau telefilem Astro sentiasa mencurah.
“Bagaimanapun saya akui yang mungkin wujudnya terma terhad dan rugi apabila saya hanya muncul di sebuah stesen TV.
“Namun saya lihat kekurangan itu hanya pada skala kecil dan tidak menjejaskan kerjaya saya secara drastik atau menyeluruh,” katanya lagi yang kini sibuk mencuri masa untuk melengkapkan pengajian dalam bidang undang-undang sebelum membolehkannya berdiri sebagai peguam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: