Sunday, November 15, 2009

Belum ada jodoh...Maria Farida


MEMILIKI raut wajah jelita dan tubuh menawan kadangkala mengundang cemburu dan rasa tergugat di lokasi penggambaran.

Meskipun bukan lagi di barisan depan bergelar heroin yang rata-ratanya dimonopoli aktres muda, Maria Farida mampu memberi saingan berbekalkan pengalaman dan kelebihan fizikal awet muda.

Yang pasti, keputusan pelakon berkulit putih mulus ini menjayakan siri Astana Idaman 3 beberapa tahun lalu membuka ruang kepadanya untuk kembali memahat nama di arena seni tempatan.

Tawaran demi tawaran menyusul membuktikan dia masih laris, malah bintang yang diperkenalkan menerusi filem Queen Control diikuti Hanny, Femina dan Bisikan Cinta ini diberi kepercayaan menggalas watak muda berbanding usia sebenarnya.

Bagi Maria, kemunculan semulanya dalam industri bukan mahu bersaing dengan pelakon baru atau melihat sejauh mana penerimaan orang ramai tetapi berlandaskan cinta mendalam terhadap dunia lakonan.

Dek kerana itu, ibu kepada Mizan Ashley, 12, ini tidak kisah membawa apa saja watak asalkan ada kelainan dan mencabar kemampuannya.

“Saya tidak kisah. Watak ibu, anak dara atau remaja, asalkan menarik, saya akan terima. Bagi saya, bila ditawarkan bermakna penerbit serta pengarah percaya saya mampu galas tanggungjawab itu.

“Kadangkala kelakar juga bila pelakon muda pandang saya semacam di lokasi, seolah-olah mereka rasa tergugat. Padahal saya senior dan sudah puas lalui zaman muda serta glamor. Sekarang masa mereka pula merasa apa yang saya nikmati.

“Namun itu tidak bermakna saya buat kerja sambil lewa. Bila beraksi depan kamera, saya lakukan yang terbaik,” katanya.

Cukup menyerlah dengan watak antagonis menerusi siri Sutera Maya, Maria berkata, dia selesa menghidupkan sisi gelap dalam sesebuah naskhah kerana ia lebih menonjol berbanding karektor protagonis.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna hanya watak gelap yang dipilih kerana Maria mahukan kepelbagaian dalam kanvas seninya.

“Kalau asyik bawa watak hampir sama, saya akan jadi malas tapi bila ada kelainan, secara automatik saya bersemangat dan teruja.


“Sebenarnya banyak juga watak baik yang saya lakonkan dalam drama dan filem belum ditayangkan lagi. Tahun ini saya berpuas hati kerana berpeluang mempelbagaikan karakter, termasuk wanita kejam, gadis malang, GRO serta usahawan berjaya.

“Lebih menggembirakan, tiga filem lakonan saya akan ditayangkan bulan ini iaitu My Spy, Jalang dan Senario,” katanya yang baru selesai penggambaran drama 20 episod, Rias Mutiara dan filem komedi romantik, Datin Ghairah.

Menyingkap kehidupan peribadinya, Maria berkata, fokusnya kini hanya kepada putera tunggalnya dan karier. Cinta? Lupakan buat sementara waktu kerana ada yang lebih penting perlu difikirkan.

Bukan takut berumah tangga sekali lagi, jauh sekali serik, namun belum bertemu yang berkenan di hati.

“Masa saya banyak di lokasi penggambaran dan jika tidak terikat dengan kerja, saya habiskan masa dengan anak.

“Saya tiada masa untuk fikirkan soal cinta. Senang cerita, belum ada jodoh,” kata pelakon drama Biru Cinta Laguna yang bersiaran di TV9, setiap Jumaat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: