SEWAKTU kembali ke Malaysia sekitar penghujung tahun 1990-an, Selina Gan melalui saat yang begitu sukar. Wanita berusia awal 50-an itu sering mengalami masalah cirit-birit.
Ada sesuatu yang tidak kena dengan makanan-makanan yang diambilnya. Sehinggalah doktor menyarankan supaya dia berdiet dengan sayuran dan sandwic sahaja. Sepanjang tempoh itu, Selina cuba mencari punca sebenar kepada masalah kesihatannya. Beliau mendapati cirit-birit yang dihadapinya itu bersebab. Dia alah terhadap bahan kimia yang terdapat dalam semua makanan yang dimakannya.
Pada ketika itu, usaha Selina untuk mendapatkan makanan organik di sekitar Lembah Klang juga nyata menghampakan.
"Saya terpaksa mencari di merata-rata tempat dan perkataan organik pun belum begitu popular di Malaysia pada waktu itu," cerita anak kelahiran Kedah itu kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.
Bertitik-tolak daripada episod itu Selina membuat keputusan untuk terjun ke dalam dunia makanan organik. Malangnya, dia berdepan dengan satu cabaran besar.
Organik? Sedekad lalu, istilah itu belum pernah didengari oleh rata-rata rakyat Malaysia. Apa yang diterima adalah kata-kata sinis.
Keluarga dan rakan-rakan yang lebih awal menceburi bidang perniagaan menganggap itu satu tindakan kurang bijak. Sebabnya, Selina bukan sahaja pemegang ijazah sarjana malah memiliki kerjaya yang memberi pulangan lumayan sebelum kembali ke tanah air.
"Rakan-rakan kata saya terlalu awal (dalam dunia makanan organik) dan ada juga yang kata saya separuh gila. Keluarga sangat kecewa. Kata mereka, saya boleh memperoleh pendapatan dalam dolar Amerika dengan mudah.
"Kenapa perlu belajar tinggi-tinggi dan balik jual sawi RM10 sekilogram?" kata Selina yang pernah menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selama 18 tahun dan bekerja dalam industri hartanah di negara itu.
Lagipun, tidak ramai yang memahami konsep memiliki gaya hidup sihat menerusi pengambilan makanan organik. Membeli sayur sawi organik pada harga RM10 sekilogram juga kelihatan tidak masuk akal memandangkan sayur yang sama boleh didapati pada harga lebih murah.
Anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu tidak putus asa. Sebaliknya, dia optimis. Perniagaan yang akan diceburinya itu bakal menjadi satu industri besar pada masa hadapan.
Hakikatnya, ibu tunggal itu hanya mengenali makanan organik ketika menuntut di University of Southern California di AS sekitar tahun 1980-an.
Bermula dengan hanya satu kilang teres setingkat di Kuala Lumpur, syarikat Country Farms Organic Sdn. Bhd. miliknya beroperasi tanpa mengetahui sebarang selok-belok atau memiliki pengalaman asas tentang banyak perkara.
Sejujurnya Selina mengakui dirinya bermula daripada sifar. Tiada pengalaman tentang aspek penjenamaan, pemasaran mahupun pengagihan makanan. Segala-galanya bermula dari bawah.
Pada awal perniagaan, rutin harian Selina bermula seawal pukul 5 pagi, tujuh hari seminggu. Itu belum lagi termasuk hari-hari kehadiran stok.
"Kalau ada stok sampai pada pukul 12 tengah malam, saya akan mula bekerja dari pukul 2 pagi. Keadaan itu berlarutan dua hingga tiga tahun pada awal bisnes ini dibuka.
"Bayangkan pada mulanya saya langsung tiada pelanggan. Mujur ada ibu saudara. Seingat saya dia ialah pelanggan pertama saya. Dia telah membeli seekor ayam kampung bersama kawannya. Walaupun dia tidak cakap, saya tahu dia sekadar ingin membantu," ujar Selina tanpa berselindung.
Sekolah Inggeris
Sebagai usahawan, wanita berkulit putih melepak itu juga menekankan pentingnya seseorang peniaga untuk sentiasa melibatkan diri dalam setiap aspek perniagaan yang diceburi. Lantas, tidak hairanlah dengan hanya memegang sebiji sayur jenis buah, dia mampu memberitahu saiz dan berat sayuran tersebut.
Tidak lahir dalam keluarga berada jiwa berdikari sudah terpupuk dalam diri Selina sejak awal usia. Malah, jangan terkejut, wanita itu sudah bijak membuat apa juga keputusan sementah usia enam tahun.
Pada peringkat usia yang belum mengenali apa-apa, Selina sudah tahu menyatakan hasrat untuk memasuki sekolah Inggeris dan seterusnya menuntut di luar negara setelah tamat pengajian tingkatan lima.
Di universiti, Selina tidak mengambil masa yang lama untuk mendaftarkan diri sewaktu program usahawan ditawarkan di sekolah pengajiannya. Dari situ, dia memahami fakta kekukuhan setiap industri, baik yang besar mahupun kecil, yang kesemuanya bersebab.
Bagi mencapai kejayaan, omongan menggunakan jalan pintas harus disingkirkan sejauh mungkin. Sebaliknya resipi yang ada perlu terdiri daripada bahan-bahan asas seperti bekerja keras, keazaman, kecekalan dan juga kesabaran.
Bagi Selina, kehidupan akan menjadi sangat bosan tanpa cabaran. Menurutnya, dengan ada cabaran manusia belajar tentang erti berani menghadapi dan menyelesaikan sesuatu dugaan.
Namun, pesan Selina, formula itu belum memadai sekiranya seseorang usahawan itu tidak memiliki pelan dan strategi perniagaan. Lebih mustahak lagi, dia sendiri sering berpandangan dua hingga tiga langkah lebih jauh daripada perancangan hari ini. Alasannya mudah. Sebarang strategi yang dirancang sekarang sudah pun ketinggalan zaman.
Formula itu nyata berkesan bagi Selina. Buktinya, syarikat Country Farms miliknya selaku Pengarah Urusan itu kini merupakan peneraju dalam industri makanan organik di Malaysia. Dalam konteks negara-negara Asia Tenggara, Malaysia dilihat mengetuai pasaran makanan organik di rantau ini.
Awet muda
Hari ini, Country Farms tidak hanya tertumpu kepada perniagaan jualan runcit. Produk-produk di bawah jenama itu boleh diperoleh di rangkaian-rangkaian pasar raya utama di serata Lembah Klang dan turut dieksport ke negara luar seperti Indonesia dan Dubai.
Ibu kepada seorang anak remaja, John Marinelli, 16, itu juga melihat pertumbuhan mendadak industri makanan organik tempatan sejak lima tahun kebelakangan ini.
"Masyarakat hari ini semakin mementingkan kesihatan. Lebih-lebih lagi bagi keluarga muda. Mereka yang dilahirkan dalam era baby boomer antara tahun 1940-an hingga 1960-an kini berdepan dengan isu penuaan dan ada keperluan untuk kekal awet muda. Ia juga sebab kenapa orang hari ini lebih sanggup berbelanja untuk kekal sihat.
|
|
"Malah hampir di setiap bandar sekurang-kurangnya ada sebuah kedai organik," jelasnya yang sudah lama menjangka perkembangan pesat industri organik di Malaysia hari ini.
Dipuji kerana penampilannya yang jauh berbeza daripada usia sebenar, Selina mendedahkan, dia tidak mempunyai sebarang rahsia atau rejim penjagaan khas. Tidak begitu menggemari makanan berdaging, dia mengamalkan pengambilan makanan buah-buahan dan makanan laut.
Malah, katanya, set produk penjagaan kulitnya hanya terdiri daripada sampel-sampel produk yang diperoleh dan dia sememangnya tidak memiliki atau menggunakan rangkaian produk mahal untuk awet muda.
Hari ini, wanita itu belum mahu bersara. Sambil berseloroh beliau menyatakan bekerja itu satu nikmat, Selina juga berharap dapat melancong sekadar bersiar-siar.
Sepanjang menceburi perniagaan makanan organik sejak 11 tahun lalu, bilangan negara yang dijelajah sudah tidak mampu dikira. Tetapi kebanyakan masa 'lawatan' tersebut adalah demi tuntutan kerja yang sememangnya menjadi nadi kehidupannya hari ini.
Ironinya, kata Selina, biarpun kebanyakan produk makanan organik yang diimportnya berasal dari negara Amerika Selatan, dia belum pernah menjejakkan kaki ke negara tersebut dan Afrika.
Justeru, Selina mengimpikan masa untuk pergi bercuti di tempat-tempat itu selain melawat anaknya di Los Angeles dengan lebih kerap selepas ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: