Friday, November 20, 2009

Melegakan gigi sensitif


WANITA lebih kerap mengalami gigi sensitif kerana tabiat pembersih mereka.


LAYANAN di tempat tugasan kali ini sedikit berbeza. Jam baru pukul 10.30 pagi tetapi penganjur acara sudah sibuk mempelawa setiap yang hadir untuk menikmati aiskrim.

Selain aiskrim, rakan-rakan media juga diharuskan mengambil gula-gula masam dan minuman panas. Semua hidangan ini ada sebabnya.

Pihak penganjur sebenarnya berniat untuk mengesan siapa antara kami yang mengalami masalah gigi sensitif. Lagipun, makanan-makanan manis, masam, panas dan sejuk adalah rangsangan utama kepada gigi sensitif.

"Mereka yang sukakan makanan berasid, mengunyah kekacang selama tiga hingga empat jam atau minum air bersoda mudah terdedah kepada masalah enamel terhakis," kata Dr. Lee Soon Boon, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia dalam sebuah bengkel pengurusan gigi sensitif bersama Sensodyne di ibu negara baru-baru ini.

Menyifatkan masalah gigi sensitif sebagai satu masalah klinikal, Soon Boon berkata, ramai yang sekadar membiarkan situasi tersebut biarpun ia sudah menampakkan simptom-simptom awal.

Petanda awal masalah gigi sensitif boleh berlaku sewaktu proses memberus gigi mahupun ketika mengunyah makanan keras seperti kekacang.

Rasa sakit yang tajam dan seakan-akan menusuk pada kadar kepantasan singkat boleh dirasai. Lebih-lebih lagi ketika gigi terkena sesuatu yang teramat sejuk atau panas. Masalah gigi sensitif dilihat lebih kerap berlaku dalam kalangan orang muda berumur antara 20 hingga 30 tahun atau 50 tahun ke bawah. Gaya hidup kumpulan itu yang lebih aktif dan suka bersosial banyak mendedahkan mereka kepada pengambilan minuman sukan bersoda dan makanan berasid.

Hakikatnya, satu dalam setiap tiga orang dewasa akan mengalami pengalaman gigi sensitif sepanjang hayat mereka. Berbanding golongan lelaki, wanita didapati lebih cenderung terdedah kepada masalah ini.

Sesetengah kajian menunjukkan ia berlaku atas faktor perubahan hormon.

"Tetapi daripada pengalaman peribadi saya dapati wanita lebih pembersih, oleh itu mereka cenderung memberus gigi secara berlebihan. Ini menyebabkan lapisan enamel gigi menipis lebih pantas sekali gus mendedahkan lapisan dentin.

"Harus diingatkan di sini bahawa memberus gigi juga perlu menggunakan teknik yang betul," jelasnya sambil memberitahu perokok pula lebih mudah terdedah kepada masalah gigi hipersensitif.

Dentin

Di dalam gigi yang normal, dentin dilindungi oleh satu lapisan enamel. Apabila dentin terdedah kepada sesuatu yang sejuk, misalnya, hujung saraf pada gigi akan terangsang sekali gus meningkatkan rasa sakit pada gigi sensitif.

Malangnya, tambah Soon Boon, enamel gigi yang sudah terhakis tidak akan tumbuh semula. Ini kerana ia bukan organ hidup dan situasi tersebut tidak mungkin dipulihkan.

Atas faktor itu juga, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. How Kim Chuan menekankan kepentingan teknik pemberusan gigi.

Memberus gigi merupakan antara perkara pertama yang kita pelajari dalam kehidupan. Ironinya, kata Kim Chuan, tidak ramai yang menjalankan tugasan itu dengan baik.

"Jika anda ingat boleh sental gigi macam anda sental lantai, anda silap. Enamel gigi tidak mungkin dapat menampung tekanan sekuat itu.

"Memberus gigi secara agresif dan kasar hanya akan mengakibatkan retakan dan penipisan enamel pada sisi gusi," katanya sambil memberitahu tiada penawar untuk masalah gigi sensitif.


AISKRIM antara makanan yang dapat menentukan seseorang itu mengalami masalah gigi sensitif.


Memberus gigi secara kerap dan tergesa-gesa boleh mengakibatkan penyakit periondontal (kemerosotan tisu gusi). Keadaan itu akan meningkatkan kecenderungan berlakunya gigi sensitif. Selain itu, ia juga menyingkirkan tisu yang mengelilingi gusi gigi, mendedahkan akar gigi.

Kurang kerap memberus gigi pula mengundang pembiakan bakteria di celah-celah gigi di samping masalah penghakisan gusi.

Walaupun begitu, pemilihan berus dan ubat gigi yang betul boleh mengurangkan kesan kesakitan daripada rangsangan sensitiviti pada gigi.

Berus gigi

Penggunaan berus gigi yang tekstur berusnya lembut dapat memastikan 'layanan' lebih mesra ke atas gigi. Pemilihan ubat gigi yang salah juga boleh memburukkan lagi keadaan gigi.

Gigi yang hipersensitif yang dialami oleh perokok ialah contoh terbaik. Keengganan si perokok untuk mendapatkan rawatan yang difikirkan mahal telah mendorong mereka membeli ubat gigi dari farmasi.

"Ubat gigi biasa tidak mengandungi formulasi khas untuk melegakan gigi sensitif. Malah, sesetengahnya juga mempunyai kandungan bahan kasar kononnya untuk menggilap gigi atau menyingkirkan plak.

"Mungkin tidak ramai yang tahu, penggunaan ubat pemutih gigi juga boleh menjurus kepada masalah gigi sensitif," tambahnya.

Namun kedua-dua pakar itu berpendapat, belum terlambat untuk pesakit mengambil inisiatif bagi mengurangkan kadar sensitiviti gigi. Malah kaedahnya juga tidak melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

Pertama, pengambilan minuman yang bersifat asidik harus dikurangkan selain tidak menggunakan cecair pencuci mulut yang mengandungi alkohol.

Tabiat mencungkil gigi selepas setiap kali makan juga perlu dihentikan serta-merta. Sebabnya, kekerapan mencungkil gigi hanya akan menyebabkan kemerosotan tisu gusi yang seterusnya mengundang masalah sensitiviti.

Pesannya, lawatan ke klinik doktor gigi harus dijadikan satu rutin sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Lebih penting, penjagaan gigi sensitif di rumah harus disertakan dengan penggunaan ubat gigi khas untuk masalah gigi ini.

"Kandungan fluorida dalam ubat gigi ini boleh mengeraskan lapisan enamel sebagai cara untuk melindungi dentin yang terdedah," terangnya sambil memberitahu salah satu tip dalam memilih ubat gigi khas ialah mengambil kira komitmen pengeluar dalam menjalankan kajian terhadap keberkesanan produknya.

Langkah itu mustahak bagi memastikan kesakitan akibat gigi sensitif dapat ditangani atau dicegah daripada kembali menghantui pesakit.

Pelbagai kajian klinikal telah menunjukkan kandungan garam potasium (klorida atau nitrat) serta garam strontium (klorida atau asetat) dalam ubat gigi sensitif seperti Sensodyne berkesan melindungi seseorang daripada kesakitan gigi sensitif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: