Tuesday, November 17, 2009

"Saya rasa seperti dikhianati" - Nora


NORA Danish terus bersabar dan tenang menghadapi ujian hidup.


BAGI mereka yang mengikuti perkembangan industri hiburan tanah air minggu lalu, tidak dinafikan kisah Nora Danish yang menarik diri saat akhir daripada membintangi drama bersiri SpaQistina antara yang cukup menarik perhatian.

Semuanya berpunca apabila perang dingin Nora dengan seorang pelakon kontroversi kembali hangat gara-gara dipertemukan di lokasi SpaQistina di ibu negara dua minggu lalu.

Kisahnya begini. Ketika di lokasi, waktu panggilan (call time) yang membabitkan adegan Nora adalah pada pukul 1 petang manakala pelakon kontroversi itu pula pada pukul 4 petang seperti mana yang ditetapkan.

Tetapi, beberapa insiden yang tidak dapat dielakkan telah terjadi dan menyebabkan jadual penggambaran telah dilewatkan sedikit.

Dalam tempoh menunggu itu, pelakon kontroversi itu tiba lebih awal daripada waktu yang ditetapkan dan dalam masa yang sama, mereka bertembung.

Tanpa ada apa yang berlaku, Nora memberitahu dia hanya keluar dari bilik berkenaan tanpa sepatah kata dan sempat melihat pelakon itu sedang duduk sambil memegang skrip di tangannya.

Kata Nora, antara faktor dia sanggup menerima tawaran Zaiton adalah kerana penerbit itu sanggup memenuhi syarat untuk tidak menemukan dirinya dengan pelakon itu di mana-mana lokasi sekali pun.

Merasakan seperti dirinya dikhianati, Nora mengambil tindakan drastik untuk menarik diri dan memulangkan kembali skrip serta cek yang masih lagi belum ditunaikan kepada pihak penerbit.

Ekoran daripada kejadian itu, Nora telah dianggap dan dilabelkan sebagai artis yang tidak profesional oleh penerbit drama bersiri berkenaan, Datin Zaiton Mohamad Jiwa.

Dan kini tempat Nora telah digantikan dengan pelakon yang semakin meningkat naik, Ummi Nazeera dengan memegang watak Maya.

Sewaktu bertemu dengan Nora pada majlis doa selamat penggambaran filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (JPBC2) di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, raut wajahnya terpancar jelas yang dia kini sedang berdepan dengan tekanan dan situasi yang cukup menyulitkan.

Sudah pasti, bebanan yang ditanggungnya kini tiada siapa yang tahu melainkan empunya diri dan Yang Maha Esa sahaja.

Berkali-kali dia menegaskan, bidang lakonan adalah mata pencariannya untuk terus menyara hidup dan sesekali dia tidak akan cuba untuk menabur pasir di dalam periuk nasinya sendiri.

Namun, dia reda apa yang berlaku sudah tertulis dan dia menganggap ada rahmat di sebalik duka yang ditanggungnya kini.

"Saya rasa seperti dikhianati apabila terjadinya perkara sebegini dan mereka bagaikan tidak memenuhi perjanjian yang telah ditetapkan.

"Terus terang saya katakan, memang saya menyesal menerima tawaran ini dari mula biarpun tahu pelakon itu akan turut berlakon dalam drama tersebut," kata Nora dalam nada tenang sewaktu dikerumuni pihak media yang mahu mendapatkan kenyataannya.

Tambah Nora, dia juga terbuka untuk menerima tawaran berlakon di bawah syarikat Zaiton iaitu Global Station itu adalah kerana begitu menghormati wanita itu selain sudah lama kepingin untuk berlakon di bawah produksi Zaiton.

Malah, dia juga tidak kisah untuk berlakon dalam SpaQistina biarpun tahu pelakon kontroversi itu juga akan berlakon dalam drama bersiri sensasi itu kerana Global Station bersetuju dengan syaratnya.

Malah Zaiton menyakinkan Nora bahawa drama bersiri itu tidak akan ada adegan bersama antara Nora dan pelakon itu meskipun pada awalnya, di dalam skrip ada menyelitkan adegan antara mereka berdua.

Kisah itu tidak berhenti setakat itu sahaja. Acara Minggu Fesyen Antarabangsa Kuala Lumpur (MIFA) minggu lalu ternyata membuat Zaiton bertambah kecewa apabila melihat Nora seolah-olah tiada masalah untuk berada di bawah satu bumbung bersama pelakon kontroversi itu.

Apatah lagi, Nora dan pelakon itu berkongsi pentas peragaan yang sama dalam memperagakan busana di dalam acara berprestij itu.

"Di sinilah terjadinya salah faham dan saya juga percaya ada pihak yang cuba melaga-lagakan Kak Ton (panggilan untuk Zaiton) serta mengeruhkan lagi keadaan.

"Perjanjian antara saya dengan Kak Ton sebenarnya hanyalah melibatkan penggambaran di lokasi sahaja. Jadi, antara apa yang berlaku di lokasi SpaQistina dan MIFA adalah dua perkara yang berbeza.

"Saya sudah bercerai hampir dua tahun sekarang dan banyak kali bertemu dengan pelakon itu di acara anugerah dan majlis hiburan. Tiada pula masalah yang timbul," katanya dalam nada yang sungguh kecewa.

Apabila terjadinya insiden pertembungan di antara dirinya dengan pelakon kontroversi itu di lokasi SpaQistina, Nora seboleh-bolehnya tidak mahu berfikiran negatif dengan mengandaikan ia sememangnya disengajakan.

Malah, Nora juga menjelaskan ketika itu Zaiton tidak berada di lokasi kejadian untuk melihat perkara yang sebenar dan bimbang apa yang disampaikan kepadanya adalah berbeza.

Dalam masa yang sama, Nora memberitahu dia sememangnya sudah terbuka dan sudi memaafkan pelakon itu tetapi hanya menunggu masa yang sesuai sahaja.

"Baru sekarang pintu hati saya terbuka untuk memaafkan dia tetapi biarlah perkara itu datang dari hati yang ikhlas dan bukannya sesuatu yang dibuat-buat untuk meraih publisiti.

"Saya juga tidak mahu ia dimanipulasi oleh mana-mana pihak dan apabila terjadinya perkara seperti ini, nampaknya ia akan mengambil masa yang lama sebelum hati saya benar-benar bersedia dan terbuka untuk memaafkan dia," ujar pemilik nama penuh Nora Mohd. Danish Hanif ini lagi.

Bukan itu sahaja, Nora sendiri meluahkan bahawa dia sudah penat dan letih dengan kontroversi yang melibatkannya dengan pelakon tersebut kerana dia ada karier yang perlu diteruskan.

"Nanti orang kata saya yang mahu mencari kontroversi sedangkan apa sahaja yang berlaku, saya lebih selesa untuk mendiamkan diri kerana tidak mahu kata-kata saya disalah ertikan," katanya dalam senyum yang sungguh tawar.

Saat ditanya adakah dia akan bertemu dengan Zaiton untuk menjelaskan perkara yang sebenar, tanpa berfikir panjang Nora akan bertemu Zaiton yang dianggapnya sebagai seorang wanita yang cukup baik itu.

Bahkan, Nora juga bersedia untuk berlakon di bawah produksi Zaiton di masa hadapan seandainya terus diberi peluang.

Sambil mengeluh dan termenung jauh, Nora sama sekali tidak pernah menyangka perkara sebegini akan terjadi pada dirinya selepas lebih lima tahun menceburi bidang seni.

"Selama saya berlakon, belum pernah saya menimbulkan masalah mana-mana pihak dan apa yang berlaku kini memang benar-benar memberikan impak yang negatif.

"Ia juga telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya dan juga karier. Selepas ini, saya akan pastikan perkara seperti ini tidak terjadi lagi," ujar ibu tunggal kepada Putera Rayqal Ramli yang sudah pun berusia setahun itu.

Di sebalik duka itu rupanya ada sinar cerah yang mengiringi perjalanan Nora apabila ditawarkan berlakon filem JPBC2 arahan Ahmad Idham.

Membawakan watak Seha, wanita berusia 28 tahun ini menyifatkan filem ini merupakan reunion antara dirinya dengan Ahmad Idham serta kumpulan Senario.

Pertama kali berlakon di bawah arahan pengarah itu sewaktu membintangi drama bersiri Ayah Kami bersama Lisa Surihani sekitar awal tahun 2000.

Bersama kumpulan Senario pula adalah pada tahun 2006 menerusi filem Senario Pemburu Emas Yamashita arahan Aziz M. Osman.

"Saya memang teruja untuk membintangi filem ini kerana saya sendiri sudah lama tidak berlakon filem. Hampir tiga tahun rasanya.

"Jadi saya rasa inilah peluang untuk saya kembali mewarnai dunia perfileman. Apatah lagi, saya juga sudah biasa berlakon dengan kumpulan Senario, jadi saya fikir tiada masalah untuk saya membintangi filem ini," ujarnya yang pertama kali berlakon filem pada tahun 2005 menerusi filem Gila-Gila Pengantin Popular.

Selain Nora dan kumpulan Senario, JPBC2 juga turut menampilkan Lisa Surihani, Cat Farish dan Bob Kuman.

Sementara itu, Nora juga sempat meluahkan kerinduannya terhadap sitkom Puteri yang benar-benar telah melonjakkan namanya sebagai pelakon popular.

Apatah lagi, dia ibaratkan krew produksi dan kesemua pelakonnya bagaikan keluarga keduanya.

"Khabarnya, abang Long (panggilan untuk Aziz M. Osman) ada memberitahu Puteri mahu dijadikan versi filem.

"Dia juga mengatakan saya sebenarnya sudah tidak sesuai untuk memegang watak itu kerana sudah menjadi ibu dan jika direalisasikan sekali pun, watak Puteri akan menjadi seorang yang matang," katanya yang membintangi sitkom berkenaan selama 10 musim.

Dalam masa yang sama, Nora juga sibuk dengan kerjayanya sebagai pengacara rancangan Bolly 10 yang akan disiarkan di saluran B4U (saluran 133, Astro) tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: