Monday, November 16, 2009

Saintis akui pernah jadi pelacur


DR. MAGNANTI


LONDON - Identiti seorang penulis buku mengenai kisah kehidupannya sebagai pelacur telah menjadi misteri sejak satu dekad lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, penulis buku Belle de Jour itu yang laris jualannya di Britain kini mendedahkan identitinya yang pernah menjadi pelacur.

Kisahnya itu dijadikan drama siri popular televisyen yang berjudul Secret Diary Of A Call Girl dibintangi pelakon Billie Piper.

Penulis itu kini mendedahkan identitinya yang merupakan seorang saintis penyelidikan di Bristol.

Saintis yang menjadi pelacur itu, Dr. Brooke Magnanti berumur 34 tahun merupakan pakar yang melakukan kajian berhubung kesan racun serangga terhadap kanak-kanak.

Wanita itu dikatakan pernah mengalami masalah kekurangan wang menyebabkan dia menjadi wanita teman sosial di London dengan bayaran £300 (RM1,691.32) semalam.

Dr. Magnanti mula menulis di laman blog dengan menggunakan nama samaran Belle de Jour mengenai aktiviti pelacurnya di Internet.

Tulisannya berjaya menarik minat jutaan pembaca di seluruh dunia dan kualiti tulisannya menyebabkan tercetus khabar angin bahawa dia merupakan seorang penulis terkenal.

Cuma enam orang yang mengetahui rahsia Dr. Magnanti dan dia dilaporkan memberitahu kisah itu kepada keluarganya buat kali pertama baru-baru ini.

Dalam satu temu ramah dengan akhbar Sunday Times semalam, Dr. Magnanti mendakwa dia menjadi pelacur pada 2003 semasa melakukan kajian kedoktoran di Jabatan Patologi Forensik di Universiti Sheffield.

"Saya tidak dapat mencari satu pekerjaan profesional kerana saya tidak mempunyai doktor falsafah lagi semasa itu," katanya

Dia kemudiannya bekerja dengan agensi teman sosial Barbarella dan melalui kehidupannya sebagai pelacur.

Saintis itu menemui pelanggan dua atau tiga kali seminggu.

Dr. Magnanti menyatakan beberapa kejadian yang dialaminya mungkin dianggap bahaya dalam kehidupan.

"Anda perlu peka dengan situasi di sekeliling anda. Jika anda silap, bagaimanakah saya boleh keluar dari bilik ini (pelacuran)?" katanya.

Kini Dr. Magnanti mendakwa dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjayanya sebagai seorang saintis tetapi memberi jaminan kepada pembaca bahawa blog mengenai kisah pelacurannya akan diteruskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: