
SINGAPURA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di sini semalam mencetuskan persoalan mengenai kod pakaian pemimpin yang hadir pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hawaii pada 2011.
Mesyuarat itu lazimnya mempunyai acara bergambar kesemua 21 pemimpin rantau tersebut dengan berpakaian tradisional negara tuan rumah yang disediakan.
Namun dengan Hawaii bakal menjadi tuan rumah APEC 2011, bentuk pakaian masyarakat pribumi Hawaii yang popular iaitu skirt rumput pasti menjadi tumpuan persidangan tersebut.
"Saya sudah menjangka untuk melihat kehadiran anda semua (ketua negara dan kerajaan anggota APEC) yang dihiasi dengan pakaian rasmi kemeja berbunga dan skirt berumput.
"Ini kerana hari ini (semalam) saya mengumumkan untuk membawa forum ini ke negeri kelahiran saya, Hawaii, pada 2011," kata Obama semasa majlis penutup APEC 2009 di sini semalam.
Pakaian rasmi sidang APEC pertama di Seattle, AS pada 1993 ialah jaket kulit manakala pada sidang berikutnya, para pemimpin pernah memakai baju tradisional Korea, Vietnam dan batik.
Malam kelmarin, pemimpin APEC memakai kemeja linen dengan kolar Mandarin, simbolik pakaian peneroka awal China diadunkan dengan kebudayaan masyarakat Melayu tempatan.
Obama ketika tiba di sini pada Jumaat lalu turut membayangkan akan melawat Indonesia tahun depan untuk melihat kembali beberapa tempat yang pernah beliau tinggal semasa kecil.
Beliau berkata demikian ketika bertemu Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: