Sunday, November 8, 2009

Rumah Escobar jadi tarikan pelancong


SEORANG pengunjung melihat sejumlah kenderaan usang milik Peblo Escobar (gambar kecil) yang dipamerkan di Bogota, Colombia baru-baru ini.


RAJA Dadah Colombia, Peblo Escobar digeruni kerana sikap samsengnya namun ramai yang tidak mengetahui bahawa bekas individu ke-10 terkaya dunia itu memiliki taman tema peribadi di rumahya.

Rumah Escobar pernah menjadi pusat kawalan operasi empayar dadah yang menguasai 80 peratus pasaran kokain dunia suatu ketika dulu tetapi kini ia dijadikan sebuah lokasi tarikan pelancong oleh kerajaan Colombia.

Sejak Escobar ditembak mati oleh pasukan polis Colombia dengan bantuan Amerika Syarikat (AS) di Medelin pada 1993, mahligai milik raja dadah yang diberi nama Hacienda Napoles itu terbiar usang.

Sebagai mengingati Escobar, kerajaan Colombia mengambil inisiatif membaik pulih rumah tersebut menjadi sebuah taman tema barangan pelik milik peribadi dan mampu menarik 50,000 orang pelancong setahun.

Pelancong hanya perlu membayar 16,567 peso (RM28.26) untuk melawat kawasan sekitar seluas 20.72 kilometer persegi yang dihiasi dengan sebuah binaan konkrit patung dinosaur, sebuah gelanggang perlawanan lembu dan sebuah zoo mini.

Seorang pengunjung tempatan, Maria Munoz, 32, yang berasal dari Bogota dan terletak kira-kira 321 kilometer dari lokasi taman berkenaan menyifatkan taman itu sangat luar biasa.

“Anda boleh lihat berapa banyak wang yang beliau (Escobar) ada. Beliau merupakan seorang penjenayah namun bagi sesetengah orang menganggapnya sebagai seorang wira.

“Adalah sangat mengagumkan apabila dapat berjalan di dalam rumah seseorang yang sangat digeruni suatu ketika lalu,” ujarnya.

Sementara itu, di dalam rumah tersebut, pelancong dapat melihat sendiri koleksi kereta usang milik Escobar dan koleksi peribadi lain selain dapat memberi makan sekumpulan badak air dan beberapa haiwan liar peliharaan raja berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: