|
|
BENARKAH rock kapak sudah berkubur tanpa nisan? Kalau rock kapak masih hidup mengapakah sudah tidak banyak kumpulan-kumpulan muzik tempatan yang berani mempertaruhkan jalur keras itu dalam perjuangan mereka?
Cuba dengar sendiri lagu-lagu rock yang diputarkan di radio. Semuanya lagu-lagu lama yang sudah berusia. Kalau benar irama rock masih belum mati, mengapakah pemuzik hari ini sudah tidak menghasilkan lagu baru?
Sama ada kita bersetuju atau tidak, itulah hakikat yang sedang berlaku dalam industri muzik tempatan hari ini. Sudah tidak banyak penyanyi-penyanyi rock yang berani mempertaruhkan lagu rock baru memandangkan industri muzik meninggalkan lagu-lagu rock.
Kebangkitan kumpulan-kumpulan muzik indie antara faktor mengurangkan minat orang ramai terhadap lagu-lagu rock kapak yang satu ketika dahulu pernah menjadi fenomena.
Usah kita menyalahkan sesiapa memandangkan ini merupakan satu kitaran yang akan sentiasa berlaku. Siapa di atas atau siapa di bawah tidak begitu penting memandangkan teras perjuangan yang sama untuk memartabatkan industri muzik ke satu tahap yang boleh dibanggakan.
Hakikat ini turut diakui oleh kebanyakan kumpulan rock tanah air. Cuma yang pasti rock tidak pernah mati dan akan terus diminati sampai bila-bila.
Bagi kumpulan XPDC teras perjuangan mereka sejak dahulu tidak pernah berubah. Biar terbelah bumi sekalipun, rock tetap di hati mereka.
Dengan imej rockstar berambut panjang, XPDC kini boleh berbangga apabila menghasilkan album terbaru berjudul Rasopariso yang sudahpun memasuki pasaran.
Rasaporiso kesinambungan kepada perjuangan XPDC apabila mempertaruhkan sembilan lagu beserta empat lagu lama yang menjadi killer song mereka sejak dulu lagi. Jika diselak kembali sejarah awal mereka, XPDC bukanlah satu nama asing dalam dunia muzik tempatan. Malah sudah hampir 20 tahun nama XPDC terpahat sebagai kumpulan rock kapak yang begitu diminati ramai.
Berpecah, bersatu dan silih berganti ahli seakan-akan menjadi lumrah kepada mana-mana kumpulan. XPDC juga tidak terkecuali menerima nasib yang sama.
Setelah 12 tahun membawa haluan masing-masing, akhirnya semua anggota asal XPDC kembali bersatu dalam album Rasopariso. Kini XPDC dianggotai oleh Mael (vokalis), Izo (gitaris), Zuar (bass) dan Amy (drum) seperti mengembalikan kenangan lalu dengan buat tangan terbaru mereka.
Izo melahirkan rasa syukur kerana mereka masih lagi mampu menghasilkan yang terbaik untuk peminat dan rockstar yang lain.
“Untuk kembali bersatu bukan satu perkara yang mudah. Selepas 12 tahun berlalu barulah kami dapat bersatu kembali walaupun pelbagai perancangan sudah dilakukan sebelum ini.
“Saya yakin rock kapak masih lagi diterima dan tidak akan mati begitu sahaja. Aliran muzik tempatan bermusim. Memang benar sekarang bukanlah musim untuk muzik rock tetapi peminat lagu-lagu rock masih lagi mahukannya,” kata Izo.
Sebelum ini XPDC telah menghasilkan empat album termasuklah Darjah Satu, Timur Barat, Kita Peng Yu dan Brutal yang telah melonjakkan nama XPDC pada ketika itu.
Diam-diam ubi berisi. Begitulah hal yang berlaku terhadap mereka. Sepanjang menyepikan diri tanpa sebarang publisiti masih banyak undangan pentas yang sudah dipenuhi.
Izo menambah, memandangkan persaingan mereka semakin sengit pelbagai strategi yang telah mereka lakukan demi mengembalikan muzik rock ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita percaya dengan kualiti lagu yang baik mampu menarik minat orang ramai untuk membeli album. Walaupun album fizikal sudah tidak memberangsangkan tetapi kita yakin peminat rock di Malaysia akan menyokong XPDC.
“Industri kita sudah teruk. Jadi bila dah berpeluang menghasilkan album, lebih baik kita memberikan yang terbaik dan tak boleh tangkap muat sahaja.
“Kami ingin membuat satu persembahan mahupun konsert bagi menghargai sokongan peminat sejak dahulu lagi. Inilah impian kami.
“Tapi semua ini tak akan berjaya jika tanpa sokongan daripada pihak luar seperti syarikat korporat yang akan bertindak sebagai penaja,” kata Izo lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: