|
|
Orang kata sekali jatuh cinta terhadap sesuatu memang payah untuk dibuang. Tak kiranya walaupun dunia yang dicintai itu sering menjadi bahan kritikan. Demikian ibaratnya cinta Mohd. Hadi Mohd. Noh terhadap bola sepak. Sementelah beliau mula aktif dalam sukan bola sepak sejak di bangku sekolah rendah lagi. Bapanya, Mohd. Noh Jamal juga bekas pemain bola sepak semipro pada era 1970-an.
"Jiwa saya masih menyintai bola sepak walaupun sekarang bukan lagi bergelar pemain bola sepak profesional," kata Hadi kepada Pancaindera.
Hadi sekarang berstatus pemain bola sepak amatur sejak empat tahun lalu kerana sekarang bekerja di sebuah universiti di Johor.
"Selepas tamat kontrak bersama Persatuan Bolasepak Negeri Johor dan Kelab Johor FC, saya bekerja sebagai penjawat awam di Johor. Saya masih bermain bola sepak dengan pasukan amatur, Kelab Melody Jaya FC, Johor dalam liga Piala FAM.
"Tahun depan kelab baru ini akan mengharungi cabaran untuk saingan Piala FA 2010. Saya harap dapat menyerlah semula bersama pasukan ini dan menjadikan pasukan ini sebagai pasukan yang disegani.
"Saya nampak kelab ini tidak mempunyai masalah kewangan dan mempunyai banyak bekas pemain profesional. Komitmen yang diberikan selama dua musim memantangkan kelab untuk bersaing dalam Liga Super pada masa akan datang serta bersaing dengan kelab-kelab berprofil tinggi," katanya yang sudah dua tahun bersama kelab tersebut.
Hadi mengakui membuat keputusan berat apabila meninggalkan kerja sebagai pemain bola sepak profesional pada tahun 2005. Apatah lagi pada masa yang sama beliau terpaksa memikirkan tawaran bekerja tetap dan tawaran kontrak dengan pasukan Kuala Lumpur.
Sehingga sekarang masih ada tawaran menyertai pasukan profesional dalam Liga Malaysia, namun pemain pertahanan kanan itu masih belum memberi kata putus.
Kecemerlangan di padang sejak remaja membuatkan cinta Hadi terhadap bolasepak sangat menebal. Beliau pernah menerima anugerah pemain terbaik Piala Coke (bawah 16 tahun) FAM, anugerah pemain terbaik Majlis Sukan Sekolah Malaysia (bawah 18 tahun).
Hadi bermain bola sepak sejak di bangku sekolah rendah lagi. Beliau pernah bersama pasukan bawah 17 tahun Johor untuk Majlis Sukan Sekolah Malaysia. Pada usia 18 tahun beliau sudah bermain dalam pasukan liga simpanan Johor untuk Piala Presiden dan pada usia 20 tahun mewakili Johor untuk Liga Malaysia.
"Saya tak kisah bergelar pemain amatur kerana jiwa saya sangat tebal dengan bola sepak. Berstatus pemain amatur bukanlah bermakna kita turun status, sebaliknya sebagai memenuhi syarat," kata Hadi.
Dalam perkembangan lain, Hadi menasihati peminat mana-mana pasukan agar tidak bertindak liar apabila pasukan mereka kalah dalam sesebuah perlawanan besar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: