|
|
MALAPETAKA seringkali dikaitkan dengan perbuatan manusia merosakkan alam. Apabila dunia tidak mampu lagi menampung kekejaman mereka yang berpaksikan kemajuan teknologi. Natijahnya, bahagian isi perut Bumi semakin panas dan berlakulah bencana akibat ketidakseimbangan putaran ekosistem.
Gambaran situasi itu diuraikan menerusi filem 2012. Judul yang menggunakan bilangan tahun yang menyaksikan balasan kekejaman manusia terhadap alam menerusi kisah pengembaraan. Satu demi satu bencana alam yang menyumbang kepada pengakhiran dunia sekali gus menghapus tamadun, budaya, kemewahan dan kerajaan ciptaan manusia.
Pengarah 2012, Roland Emmerich mengupas ramalan kuno yang mengatakan dunia akan kiamat pada 21 Disember 2012. Bagaimanapun, tiada siapa yang mempedulikan tarikh itu sehingga ia benar-benar berlaku.
Sebagai orang yang berpengalaman selepas kejayaan dua filemnya iaitu Independence Day dan The Day After Tomorrow, Roland bertanggungjawab untuk membawa penonton kepada dua dimensi yang berbeza. Antara kecanggihan dunia dan situasi semasa kecelakaan itu berlaku.
“Apa yang kita tampilkan berkaitan rapat dengan kejadian semasa. Terdapat banyak percanggahan falsafah dan pergolakan politik tetapi tiada siapa yang mengambil berat tentang kesannya terhadap bumi. Elemen ini yang ditambah dalam kehancuran dunia,” katanya.
Filem 2012 dibuat penggambarannya di Vancouver, Kanada dengan mengambil masa lebih lima bulan. Pihak produksi menggunakan lebih 13 rekabentuk pentas di lima lokasi yang berbeza.
Tidak dilupakan adalah satu set lokasi yang menempatkan kawasan rekahan bumi yang lengkap dengan pokok palma dan skrin biru. Kawasan penggambaran pula dilakukan di bandar Kamloops, Kanada, Taman Negara Yellowstone, Amerika Syarikat (AS) dan Tibet, China.
Penyelia Kesan Khas, Mike Vezina menghidupkan 2012 dengan membina dek tinggi untuk merakam babak rumah bergoyang, gempa bumi, kawasan lapangan terbang, tsunami dan banjir.
“Keluasan setiap set kira-kira 8,000 kaki persegi. Jadi kita meletakkan kereta, lori, kapal terbang dan bangunan besar untuk memperlihatkan betapa dahsyatnya kejadian gempa bumi. Penonton juga tidak dapat membezakan antara set lokasi sebenar atau penggunaan grafik komputer,” katanya.
Sebenarnya, lebih separuh daripada babak yang ada dalam 2012 adalah kesan visual yang dibina. Contohnya, semasa bandar Los Angeles dilanda gempa bumi pada 10.5 skala Ricther, percikan lahar gunung berapi di Taman Negara Yellowstone, perpindahan binatang daripada zoo ke kapal ciptaan dizahirkan tanpa sebarang kecacatan.
Elemen kemanusiaan juga menjadi kekuatan dalam filem ini. Hubungan antara ayah yang berpisah dengan isteri kerana terlalu taksub dengan kerja menjadi perhatian. John Cusack adalah pilihan tepat untuk watak utama. Atas rasa tanggungjawab yang tinggi, dia menyelamatkan dua anaknya yang kemudian menyedari pentingnya ikatan kekeluargaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: