Monday, November 16, 2009

Rancangan besar Sheila Majid


SHEILA MAJID (tiga dari kanan) dan Tiara Jacquelina (tengah) bersama pemenang-pemenang lain pada malam penganugerahan yang dianjurkan oleh Federation For Asian Cultural Promotion, baru-baru ini.


BIARPUN sudah suku abad melayari bahtera seni, tetapi aura dan karisma penghibur tersohor ini tetap utuh. Keunggulan Datuk Sheila Majid tidak perlu dipertikaikan lagi kerana untuk mencari seorang lagi bintang sepertinya, rasanya itu adalah cukup mustahil.

Dia genit namun cukup lincah di atas pentas. Tidak cukup dengan itu, lagu-lagunya yang malar segar serta muzik yang dibawanya itu telah meletakkan dirinya sebagai seorang penghibur yang cukup disegani.

Pengaruh Sheila juga cukup besar apabila berjaya merentasi sempadan bangsa, budaya dan bahasa sekali gus membuktikan kehebatan Sheila tiada galang gantinya.

Maka dengan itu, tidak hairanlah apabila Sheila dinobatkan dengan gelaran Outstanding Female Vocalist (Penyanyi Wanita Terbaik) oleh Federation For Asian Cultural Promotion (FCAP) baru-baru ini.

Bukan sahaja Sheila tetapi enam penerima lain juga menerima pengiktirafan menerusi lapangan seni masing-masing antaranya Datin Seri Tiara Jacquelina, Ramli Ibrahim serta komposer muda Malaysia yang semakin menempa nama di Taiwan, Yi Jie Qi.

Apa yang membanggakan, pemilihan mereka itu dibuat berdasarkan hasil kerja dan kejayaan yang ditempa oleh anak-anak seni ini dalam bidang masing-masing.

Sewaktu menghubungi Hits baru-baru ini, Sheila tidak menyangka bahawa ada pihak luar yang selama ini memerhatikan kerjaya seninya selama hampir 25 tahun menjadi penghibur.

Kata Sheila, dia menyifatkan kejayaannya itu sebagai pengiktirafan di atas sumbangannya selama suku abad menjadi anak seni.

"Ini adalah hadiah awal buat saya sebelum saya menyambut ulang tahun ke-25 pembabitan saya dalam bidang seni tahun depan.

"Saya memang tidak menyangka apabila dianugerahkan dengan pengiktirafan ini dan sepanjang 25 tahun ini, kejayaan yang saya miliki bukan datang dari diri saya seorang sahaja.

"Sebaliknya, ia adalah kerjasama daripada semua pihak yang telah menaikkan nama dan muzik yang saya bawakan dari hari pertama saya menjejakkan kaki ke dunia seni," kata Sheila dalam nada terharu sambil menyifatkan semua pihak yang terlibat bertanggungjawab menjadikannya seperti mana hari ini.

FCAP sudah ditubuhkan selama 30 tahun dan buat pertama kalinya, Malaysia menyertai badan itu tahun ini yang mengiktiraf bakat-bakat yang terlibat dalam pelbagai lapangan seni seperti teater, muzik, tarian, lakonan dan sebagainya.

Menyambung bicara, anugerah yang baru diterimanya itu dilihat sebagai pembakar semangat buat dirinya untuk terus berjuang dalam bidang seni selagi untuk selama-lamanya.

Sheila yang memang terkenal dengan sikap ramah dan bijak serta petah berkata-kata ini rupanya mempunyai perancangan yang cukup besar tahun depan.

Semuanya adalah untuk meraikan ulang tahun pembabitannya dalam bidang seni selama 25 tahun dan pastinya, salah satu daripadanya ialah sebuah konsert besar-besaran yang dijadualkan pada penghujung tahun depan.

"Buat masa ini, semuanya sedang dirancang dengan teliti dan kami sedang menyiapkan kertas kerja untuk mencari penaja.

"Bukan sekadar konsert tetapi ada projek lain untuk meraikan ulang tahun saya itu sebelum acara kemuncaknya ditutup dengan sebuah konsert besar," ujar penghibur berusia 44 tahun ini yang sedang meneliti lokasi strategik untuk konsertnya itu.

kepuasan

Tambahnya, dia mahu konsert itu direalisasikan dan memberi kepuasan kepada diri serta peminat setianya yang sekian lama mendambakan sebuah konsert besar darinya.

Bukan hanya di Malaysia, tetapi konsert itu juga akan diadakan di Jakarta, Indonesia yang sudah dikenali sebagai 'rumah kedua' Sheila.

"Sekiranya semua berjalan lancar dan ia menjadi kenyataan, siapa tahu mungkin ia akan menjadi konsert terakhir saya," kata ibu kepada empat cahaya mata ini sambil ketawa kecil.

Dalam masa yang sama, pemilik vokal lagu Kerinduan dan Di Dalam Emosi ini menjelaskan dia juga sedang merancang untuk melahirkan sebuah single.

Menyedari penjualan album kebelakangan ini begitu menyedihkan, Sheila sudah bersedia untuk mengikut trend dan sampai waktunya, dia akan muncul dengan sebuah album baru.

"Saya bersedia bekerja dengan semua komposer baik yang lama mahupun yang baru asalkan muziknya mampu memikat pendengar," kata penyandang anugerah Vokal Wanita Terbaik AIM 1997 ini lagi yang kini sedang popular dengan lagu Cinta Ada yang dinyanyikannya bersama Jaclyn Victor dan Karen Kong.

Dalam perkembangan lain, Sheila memberitahu tentang produk kecantikannya, Jerneh yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan terutama di Kelantan.

Hasil daripada kejayaan itu, Sheila mahu terus mengembangkan lagi produknya ke serata negara terutama di bandar-bandar lain selain Kuala Lumpur.

Sementara itu, sewaktu ditanya bilakah dia akan bersara, sambil berseloroh, Sheila berkata: "Tunggulah nanti kalau mereka di sekeliling saya mula memanggil saya dengan gelaran 'auntie', mungkin ketika itu saya akan mengundurkan diri."

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: