Monday, November 16, 2009

Baru rasa ada anak... Shahira


Auddra (tengah) penambah seri kehidupan Shahira dan Ijoy.


MELAHIRKAN anak ketiga, Auddra, dua bulan, pada 9 September lalu, hasil perkongsian hidup dengan pelakon yang juga anak kepada pelakon veteran Maria Arshad, Ijoy Azari bukan halangan buat pelakon dan pelawak, Sharifah Shahira memulakan kerja walaupun masih dalam tempoh berpantang.

Bagi Shahira, 35, yang juga ibu kepada tiga lagi anak iaitu Allisya, 11, Airell, 5, dan Airra, 2, seboleh mungkin tidak mahu berehat lama kerana merasakan dirinya sudah cukup sihat untuk memulakan pelbagai aktiviti kerja.

Sepanjang tempoh berpantang anak keempatnya itu, dia menerima tiga tawaran kerja.

Namun, katanya, ia hanyalah untuk persembahan ataupun program yang tidak memakan masa yang lama kerana khuatir Auddra masih menyusu badan.

Shahira juga kini merupakan pengacara kepada rancangan berbentuk permainan, Spontan berpasangan bersama aktor dan pengarah Afdlin Shauki yang disiarkan di Astro Warna.

Shahira ditemui ketika sambutan majlis cukur jambul anaknya itu di kediamannya, di Taman Melawati, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Ketika itu, dia baru sahaja memasuki hari ke-27 berpantang.

Kelihatan sihat dan ceria, Shahira rancak bercerita perihal bayi kecilnya, Auddra.

Kata Shahira, anaknya itu tidak banyak ragamnya kerana jarang menangis dan berjaga malam.

"Alhamdulillah, Auddra paling baik dan tidak banyak ragam berbanding abang dan kakak-kakaknya.

"Malah, dia juga kurang berjaga malam dan waktu tidurnya bermula dari pukul 2 pagi hingga 7 pagi," katanya.

Diajak berbicara perihal pertambahan ahli keluarga, kata Shahira: "Sebenarnya Ijoy kasihan juga pada saya sebab penat jaga anak.

"Bagaimanapun, apabila sudah masuk empat orang anak ini, baru saya rasa betul-betul ada anak.

"Sebelum ini, dengan tiga orang anak, saya bebas nak ke mana-mana dan tak pernah rasa penat menjaga anak-anak.

"Tetapi sekarang saya dah tak ada masa nak telefon tanya khabar serta seronok-seronok keluar dengan kawan-kawan macam dulu," kata Shahira sambil ketawa kecil.

Melihat kepada atmosfera ruang dalaman rumahnya yang dihias cantik, menandakan ada keramaian yang sedang berlangsung.

Di satu sudut tersergam pelamin yang dihias buaian kecil tempat Auddra diletakkan cukup menarik dengan rekaan rama-rama berlatarkan warna merah jambu dan putih hasil kreativiti Ereka Creations.

Dihadiri hampir 100 orang tetamu termasuk kenalan artis antaranya, Sharifah Shahora, Rusdi Ramli dan isteri, Sharon Paul, Ziela Jalil serta Raja Norbaizura.

Cantik dengan busana merah jambu rekaan Sharifah Kirana, kata Shahira, majlis tersebut dirancang oleh ibu mertuanya, Maria Arshad, ketika Auddra masih dalam kandungan lagi.

"Majlis ini biasa sahaja, bersederhana buat cukur jambul untuk Auddra. Cuma ada pelamin sahaja.

"Mertua saya, apabila saya selamat sahaja melahirkan Auddra sudah mula buat persiapan termasuk cenderahati untuk majlis cukur jambul ini.

"Bukan sahaja meraikan anak saya, malah, cukur jambul anak kakak saya Lynn (Sharifah Norhaslinda) yang kini telahpun berusia empat bulan turut diadakan," katanya.

Mahu yang terbaik untuk anak

Seperti ibu-ibu yang lain, sudah pasti Shahira mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Biarpun si kecil Auddra, masih belum mengerti apa-apa, namun apa yang diharapkan oleh Shahira agar anaknya itu membesar dengan sihat serta sentiasa mendengar kata ibu bapa.

"Melihat kepada keadaan anak-anak muda sekarang memang saya risau.

"Nak membesarkan anak bukannya mudah. Ingatkan dulu nak sepuluh anak tapi nampaknya tak jadilah," katanya sambil berseloroh.

Berbicara perihal anak, kata Shahira, sehingga kini belum ada di kalangan anak-anaknya yang menunjukkan minat dalam bidang seni terutama berlakon.

Cuma, kata Shahira, anak lelakinya, Airell yang kini bersekolah di tadika Cina, mempunyai sifat sepertinya yang petah berkata-kata.

Duta produk susu, Anmum itu masih mempunyai kontrak setahun bersama produk tersebut.

Malah tambahnya, kini dia masih lagi dalam proses perbincangan sebagai duta sebuah produk pelangsingan badan, Glow And Glam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: