
DARIPADA seorang yang pemalu dan tidak fasih berbahasa Melayu, seorang wanita Cina membuktikan bahawa dia mampu hidup dalam komuniti yang majoritinya adalah kaum Melayu.
Bahkan, Wong Lian Hwa, 42, juga berjaya mempengaruhi mereka.
Biarpun jurang bahasa dan budaya menjadi halangan serta kurang keyakinan diri, namun ibu kepada seorang anak lelaki yang berumur tujuh tahun itu berjaya mengatasinya.
Selepas hampir 18 tahun menjadi wakil jualan produk Avon, Lian Hwa mampu berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya.
Anak jati Kuala Terengganu itu kini bukan saja mampu menguasai bahasa Melayu, malah dia merupakan salah seorang wakil jualan terbaik Avon di negara ini.
Sebelum ini jika tersesat jalan, Lian Hwa sanggup berusaha mencari jalan sendiri tanpa bertanya orang kerana perasaan malu yang menebal.
Sebaliknya, hari ini jika anda terserempak dengan wanita yang lebih dikenali sebagai Miss Wong, jangan terkejut jika dia menyapa anda.
Bahkan, dia tidak malu untuk memperkenalkan diri sebagai wakil jualan Avon sambil menawarkan beberapa produk terbaru syarikat tersebut.
Atas semangat itu jugalah membolehkan Lian Hwa menjadi individu pertama yang memiliki kereta idamannya Toyota Rush. Kereta itu diperoleh melalui program elaun kereta Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd. selepas seseorang berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh syarikat tersebut.
Program yang diperkenalkan itu bertujuan memberi dorongan kepada Senior Executive Sales Leader (SESL) yang berjaya mengekalkan status sebagai SESL selama tiga bulan berturut-turut.
Dorongan
Avon akan membayar deposit maksimum sebanyak RM10,000 atau sepuluh peratus nilai kereta (mana-mana lebih rendah) dan RM1,000 bayaran bulanan kepada wakil jualan yang layak.

Menurut Lian Hwa, dia tidak kenal erti putus asa dan kesal kerana lambat menyertai bidang itu secara sepenuh masa.
"Pada tahun 2003, syarikat tempat saya bekerja berpindah ke Kota Bharu, Kelantan. Oleh kerana saya enggan berpindah ke sana, saya berhenti kerja.
"Sejak itu saya memberikan tumpuan sepenuh masa kepada Avon dan ternyata ia tidak sia-sia kerana banyak faedah saya peroleh," katanya ketika ditemui di salah sebuah stokis Avon di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menyentuh rahsia kejayaannya, Lian Hwa memberitahu, dia tidak pernah kenal putus asa dan sentiasa mahu mencuba.
Rahsia kejayaan
Selain itu, katanya, sokongan keluarga yang tidak berbelah-bahagi juga menjadi faktor utama yang mendorongnya untuk bekerja lebih kuat.
Bagi memastikan dia sering mendapat pelanggan, Lian Hwa akan memastikan risalah Avon sentiasa bersamanya.
Selain itu kereta baru yang baru diperoleh itu juga kini menjadi pejabat bergerak yang lebih selesa menggantikan kereta lamanya.
Jelasnya, menjual barangan Avon tidak sukar sebab jenama itu sudah dikenali dan sebab itulah dia boleh terus mengembangkan jualannya pada awal pembabitannya walaupun dia kurang fasih berbahasa Melayu ketika itu.
"Risalah banyak membantu. Pelanggan hanya tunjuk produk yang mereka inginkan dan saya akan menghantarnya kepada mereka," katanya yang tidak lokek dengan senyuman.
Jelas Lian Hwa, walaupun dia boleh menjual produk tersebut tanpa komunikasi lisan yang banyak tetapi memandangkan kira-kira 90 peratus pelanggannya adalah kaum Melayu, maka secara perlahan-lahan dia meningkatkan penguasaannya dalam bahasa tersebut.
Namun, masih banyak yang ingin dikecapi dan sehingga hari ini, Lian Hwa tidak bosan untuk meneruskan usahanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: