![]() |
| Sekiranya Raihan berpecah, mana mungkin mereka dapat membuat persembahan di luar negara. |
Kumpulan Raihan yang melonjak dengan penjualan album melebihi 600,000 unit pada tahun 1996 menolak dakwaan dan desas desus mengatakan mereka akan berpecah.
Anggota asal kumpulan itu Che Amran Idris juga terkejut bagaimana berita sensasi itu disebarkan sedangkan sehingga hari ini Raihan masih lagi bertahan.
Berita mengenai masalah dalaman Raihan sebenarnya disampaikan kepada Pancaindera melalui satu kiriman e-mel daripada bekas penyanyi kumpulan tersebut iaitu Nordin Jaafar.
Kata Nordin, Raihan akan berpecah apabila salah seorang anggotanya iaitu Amran Ibrahim membuat pengumuman mengundurkan pada Ramadan lalu. Selain Amran dan Che Amran, Raihan dianggotai oleh Abu Bakar Mohd. Yatim dan Zulfadli Mustaza.
Menurut Nordin berdasarkan pertemuannya dengan salah seorang anggota kumpulan itu, individu tersebut mendedahkan bahawa Raihan dilanda ombak krisis sejak Ramadan lalu dan berkemungkinan besar akan berkubur.
“Raihan perlu berubah untuk terus berada di persada muzik nasyid tanah air. Jika tidak, kemelut umpama retak menanti belah yang mereka hadapi akan menjadi kenyataan,” kata Nordin bekas vokalis Raihan menggantikan tempat Nazrey Johani pada tahun 2006.
Malah tambah Nordin lagi dalam e-melnya, Raihan perlu mencari formula baru jika mereka mahu terus berada di persada muzik tempatan dan antarabangsa.
Kumpulan itu juga ulas Nordin perlu memulihkan reputasi mereka selain cuba mengelakkan daripada timbul masalah yang menyebabkan ahli kumpulan keluar masuk dan silih berganti.
“Saya bersetuju untuk memberi bantuan kepada mereka secara percuma bagi membantu mereka mencari formula kebangkitan semula selaku kumpulan nasyid berwibawa,” katanya.
Mengulas kenyataan itu Che Amran berkata Nordin sepatutnya tidak membuat kenyataan berkenaan kerana dia bukan lagi anggota kumpulan tersebut.
Malah Nordin juga tidak tahu perjalanan seni Raihan kerana dia tidak lagi terlibat secara langsung mengenai urusan Raihan sejak mengundur diri selepas menyertai Raihan pada tahun 2006 selama enam bulan.
“Saya sedih dengan berita tidak benar yang cuba disebarkan ini,” katanya.
Menurut Che Amran, pada bulan Ramadan lalu Amran ada meluahkan hasrat untuk keluar daripada Raihan dan bukan kerana berlaku krisis dalaman sebagaimana yang didakwa.
Langkah Amran itu adalah kerana dia ingin memberi perhatian terhadap bapa mertuanya yang terlantar sakit dan kini berada di Kedah.
“Selepas menerima alasan itu, Raihan bersetuju untuk menerima pengundurannya selain memikirkan keutamaan yang wajar diberikan Amran kepada keluarga,” katanya.
Ujar Che Amran lagi, pada peringkat awal Raihan cuma menghadapi masalah apabila kurang mendapat tajaan untuk mengadakan persembahan pentas di luar negara.
Bagaimanapun masalah itu dapat diatasi apabila ada individu tertentu yang sanggup melaburkan wang bagi membawa Raihan mengharumkan nama mereka di peringkat antarabangsa.
“Usaha kami sekarang untuk mengikis tanggapan orang yang Raihan perlu dibayar mahal setiap kali mahu membuat persembahan.
“Sebenarnya tidak sebegitu. Raihan sama seperti kumpulan nasyid lain yang boleh berunding soal bayaran,” katanya.
Setakat ini katanya, pengurusan Raihan berjalan lancar dan tidak mungkin mereka akan berpecah kerana kumpulan itu merupakan satu jenama besar yang sudah dikenali sehingga keluar negara.
Sebagai bukti Raihan berada dalam keadaan baik kata Che Amran, mereka baru sahaja pulang dari Amerika Selatan selama kira-kira seminggu bermula 24 Oktober lalu.
Di negara itu mereka membuat persembahan di Trinidamd and Tobacco yang disaksikan kira-kira 5,000 umat Islam. Persembahan selama sejam itu diadakan di Dewan Port of Spain dan Chaguana.
Lebih membanggakan lagu-lagu Raihan seperti Puji-Pujian, Syukur, Allahu turut dihafal oleh kebanyakan penonton negara itu.
“Kami bersyukur kerana lagu-lagu kami mendapat perhatian stesen radio sana dan lebih mengejutkan semasa membuat persembahan, penonton turut menyanyikan lagu-lagu kami,” katanya.
Malah pihak penganjur juga begitu berbangga kerana Malaysia dapat melahirkan sebuah kumpulan nasyid yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.
Tambahnya setiap kumpulan muzik yang ditubuhkan tentu akan berhadapan dengan masalah tetapi pergolakan yang didakwa berlaku itu tidak sehingga menyebabkan Raihan berpecah.
“Raihan adalah milik sesiapa saja. Selepas ini jika ada pertukaran anggota pun, nama Raihan itu tetap akan wujud,” katanya yang sedih berita perpecahan itu.
Menurut Che Amran hasrat mereka ialah untuk melakukan dakwah dengan cara hiburan dan berharap peminat dapat berdoa agar kumpulan tersebut terus bertahan selain menolak khabar angin yang belum terus benar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: