Sunday, November 8, 2009

Banglo ala resort idaman LINDA ONN


Pemandangan dari tingkat atas kolam renang yang menghadap lereng bukit.


Tidak pernah menyangka akan mempunyai mahligai seindah ini. Itu kata-kata Linda Onn,32, tatkala bercerita banglo mewahnya yang terletak di Setia Hills, kawasan perumahan elit di Bukit Indah, Ampang.

Linda baru menduduki rumah baru yang dibelinya itu selepas Syawal lalu. Harga rumah itu, tentulah jutaan ringgit. Ketika ditanya kepada Linda, dia enggan menjelaskan berapa harganya kerana takut nanti dikatakan mahu menunjuk-nunjuk.

Tetapi berdasarkan kepada harga jualan, banglo itu dianggarkan bernilai melebihi RM2.6 juta.

Itulah dinamakan rezeki yang datang melimpah ruah kerana Linda sendiri tidak pernah membayangkan mempunyai kediaman seindah itu.


Bilik tidur Linda lebih nyaman jika pintu gelongsor dibuka bagi menikmati udara nyaman lereng bukit.


Sebelum ini Linda tinggal di sebuah rumah teres di Beverley Heights, Ampang, Selangor yang bernilai hampir RM1 juta. Apabila siap kediaman barunya ini, Linda berulang alik ke rumah tersebut terutama pada hujung minggu.

Rumah dua tingkat ini keseluruhannya mempunyai enam bilik. Terdapat tiga bilik pada bahagian atas termasuk satu ruang berehat manakala bahagian bawah mempunyai dua buah bilik termasuk sebuah bilik pembantu rumah.

Bilik utama tingkat atas lebih damai apabila Linda membina kolam ikan kecil pada ruang beranda yang terletak bersebelahan bilik air.

Kolam renang pada tingkat bawah yang luas juga membuatkan hati wanita ini memperoleh suasana nyaman tatkala berendam menikmati udara segar sambil mendengar kicauan burung di lereng bukit.

"Saya suka rumah ini. Udaranya segar dan ia amat tenang. Kalau ada tekanan kerja, saya akan datang untuk berehat. Tak payah pergi ke Bali," ujarnya.

Menggambarkan rumah seperti sebuah resort, Linda menggunakan konsep merah hitam pada katil bilik utama, ruang makan dan dapur.


Bilik mandi yang eksklusif. Tapi awas takut ada orang mengintai!


Kata Linda, warna merah menggambarkan dirinya yang berani manakala hitam adalah sesuatu yang misteri. Tidak semua barang di dalam rumahnya mahal, sebaliknya langsir pada tingkat atas dibelinya dengan harga RM30 untuk dua pasang.

Sementara tempayan dan pasu bunga hiasan pula diperoleh di pusat pasu dan bunga terkenal di Sungai Buloh, Selangor dan di Nilai Tiga, Negeri Sembilan.

Hiasan landskap pokok-pokok hidup pula adalah hasil inisiatif ibu dan bapanya yang gemar bercucuk tanam. Secara keseluruhan kata Linda, banglo mewahnya ini masih belum lengkap sepenuhnya kerana terdapat banyak lagi ruang yang perlu diisi dengan barang-barang hiasan.

Sambil mengusik Linda adakah kerana kedudukannya yang dilihat mewah itu menyebabkan lelaki sukar untuk mendekati, wanita ini menganggukkan kepala.

"Mungkin juga! Orang takut nak kawan dengan Linda sebab benda ni semua. Tapi Linda sebenarnya tak kisah," katanya.

Untung jika ada lelaki yang berjaya memikat hati wanita ini. Sudahlah ada empat buah restoran dengan 100 orang pekerja, Linda juga mempunyai dua rumah besar dan kerjaya yang hebat. Lelaki bertuah boleh "cuci kaki" jika bertemu jodoh dengan si puteri ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: