Tuesday, November 17, 2009

Proton sasar jual 150,000 kereta

KOTA BHARU - Proton Holdings Berhad menetapkan sasaran menjual 150,000 kereta keluaran syarikat itu dalam pasaran tempatan dan 25,000 unit lagi untuk eksport bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, peningkatan itu dapat dicapai berdasarkan sambutan pengguna dan tarikan terhadap mutu kereta keluaran tempatan yang semakin baik.

"Kita mempertingkatkan mutu pengeluaran dengan model-model terbaru yang mendapat sambutan di kalangan pengguna bagi memberi saingan lebih terhadap kereta import," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Terima Kasih Pintar Proton di sini semalam.

Majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Mohd. Ghazali Abdul Rahman itu diadakan bagi meraikan para pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang yang cemerlang dalam pelajaran.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk peralatan persekolahan dan wang tunai kepada pelajar terpilih yang cemerlang dalam pelajaran.

Syed Zainal Abidin berkata, Proton tidak menghadapi masalah pasaran walaupun menghadapi saingan daripada kereta import khususnya dari China yang dipasarkan pada harga yang rendah.

Beliau berkata, Proton mengutamakan peningkatan mutu pengeluaran selain memperkenalkan model baru kereta tempatan kepada pengguna pada setiap peringkat di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: