KUALA LUMPUR - Transformasi dan pencapaian luar biasa negara dalam memperkembangkan industri bioteknologi mampu menjadikan Malaysia sebagai hab dalam industri itu di peringkat Asia.
Demikian konklusi yang dicapai oleh sembilan Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Bioteknologi pada sidang akhbar sempena mesyuarat yang berlangsung semalam.
Terdahulu, kesemua mereka mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Salah seorang ahlinya, Prof. Emeritus Dr. Kein-Chi Arai dari Universiti Tokyo berkata, beliau dapat melihat dengan jelas inisiatif kerajaan Malaysia yang komited dalam membangunkan industri bioteknologi di negara ini.
"Hanya dalam tempoh lima tahun, saya secara peribadi melihat Malaysia telah berjaya mencapai standard antarabangsa dalam industri ini," kata seorang lagi ahli, Scott Morisson yang juga Pengarah Ernst & Young.
Pendapat itu turut dipersetujui sebulat suara oleh ahli IAP yang lain iaitu Datuk Dr. Eric Tan yang merupakan Canselor Universiti Curtin, Dr. Roger Wyse (Pengarah Urusan Burril & Company), Dr. Young Hoon Park (Presiden Korea Research Institute of Bioscience & Biotechnology) dan Prof. Anthony J. Sinskey (Pensyarah Biology Massachusetts Institute of Technology).
Ahli panel lain ialah Alexandre F. Jetzer Chung (Pengarah Novartis International), Dr. Regis Kelly (Penasihat, The California Institute of Quantative BioMedical Research) dan Prof. Anne Glover dari United Kingdom.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Pengerusi Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: