
IA bukanlah konsert maha karya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Berlangsung atas dasar menyambut ulang tahun ke-17 syarikat Hai-O Marketing Sdn. Bhd., maka itu adalah tidak adil untuk membanding taraf konsert Seribu Warna yang berlangsung Sabtu lalu dengan konsert mega Siti yang lain seperti konsert di Royal Albert Hall, London atau konsert Eksklusif Satu di Istana Budaya.
Kerana itu, menyaksikan konsert yang berdurasi 90 minit di Stadium Malawati Shah Alam aura dan visual berbeza dipentaskan Siti sesuai dengan konsep dan tema konsertnya.
Apa yang pasti, walaupun tanpa gimik gah atau pun koreografi luar biasa, namun 90 minit itu berlalu dengan suasana menghiburkan lantaran susunan lagu rancak banyak menguasai pentas konsert.
Sememangnya merancang konsert tersebut berlangsung seperti itu, diva nombor satu negara tersebut mengakui visualnya tentang konsert itu adalah santai dan funky.
"Konsert Seribu Warna tidak seperti konsert Eksklusif Satu di Istana Budaya kerana sasaran penontonnya lain. Konsert Eksklusif Satu punya jalan cerita sendiri selain banyak menggunakan props yang memerlukan Siti fokus kerana banyak pergerakan yang perlu diingati.
"Namun, konsert Seribu Warna memang Siti sudah visualkan sejak awal-awal lagi mahu ia menjadi satu konsert yang santai dan funky," katanya sewaktu ditemui media selepas persembahan.
Tambah Siti, untuk konsert kali ini sememangnya beliau sendiri memilih susunan lagu kerana sudah dapat menggambarkan bagaimana perjalanan Seribu Warna.

"Sejak sebulan lalu lagi, memang Siti dah visualkan konsert ini. Dari satu lagu ke satu lagu memang Siti pilih agar sesuai dengan konsep santai dan funky. Siti berlatih tarian hanya seminggu sebelum konsert," katanya yang mengakui Seribu Warna adalah konsert penutup dirinya tahun ini.
Dalam konsert Seribu Warna yang menyaksikan kehadiran lebih 10,000 penonton, tema konsert bukan sahaja menggambarkan pelbagai warna dan suka duka ahli-ahli Hai-O menjalankan perniagaan, tetapi Siti juga menyesuaikan tema tersebut dengan perjalanan hidupnya.
Memulakan konsert dengan lagu Ku Mahu, penyanyi berusia 30 tahun itu tampil jelita dengan dres tona warna ungu terang, ungu cair dan biru laut rekaan Hatta Dolmat.
Walaupun dres itu tampak sarat kerana kelihatan agak berlebihan apabila disatukan dengan seluar hitam yang berkilauan, namun pesona Siti begitu menyerlah apabila membuka panggung dengan tarian rancak.
Sememangnya mahu menghangatkan stadium dengan emosi gembira, Siti kemudian mendendangkan lagu yang pernah menobatkan dia selaku persembahan terbaik Juara Lagu 2003, Ku Milikmu.
Bijak mengatur setiap butir bicara saat berinteraksi dengan penonton, Siti kemudian mengajak peminatnya mengenang kembali saat kegemilangannya dengan lagu-lagu tradisional.
Visual di skrin layar stadium kemudian memaparkan kenangan Siti saat menyanyikan lagu-lagu seperti Cindai, Balqis dan Ya Maulai di beberapa program baik di RTM mahupun di TV3.
Siti kemudian berdiri di atas sebuah kotak sambil melontar kemerduaan suaranya saat mengalunkan lagu Nirmala yang turut menjadi salah satu lagu tradisional hit beliau. Sebuah lagi lagu berentak etnik kreatif, Di Taman Teman menjadi dendangan Siti, cukup untuk menggambarkan metamorfosis karier penyanyi itu dengan lagu irama tersebut.
![]() |
| SITI sendiri kelihatan kurang selesa sewaktu beraksi kononnya dia bermain gitar meniru gaya Faizal. |
Kemudian bahagian ketiga konsert didedikasikan Siti kepada dua lelaki yang berjaya menambat hatinya.
Ini bukanlah bermakna Siti menduakan suami kesayangannya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, sebaliknya dua lelaki yang dimaksudkan Siti adalah penyanyi yang sangat berbakat besar.
Saat bergurau menyatakan lelaki pertama pernah 'terjerat cinta' dengannya, layar skrin stadium memaparkan visual nostalgia Siti sewaktu bersaing di pentas Juara Lagu 1996 sewaktu mendendangkan lagu Jerat Percintaan sambil Anuar Zain menjadi penari latarnya.
Siti dengan penuh emosi kemudian melantunkan suara untuk lagu Lelaki Ini dengan susunan muzik lebih segar sentuhan komposer terkenal Aubrey Suwito yang mengetuai pemuzik konsert malam itu.
Seorang lagi penyanyi muda yang sejak kebelakangan ini semakin kerap terlibat dengan persembahan Siti, Faizal Tahir sememangnya sudah diramalkan menjadi pilihan penyanyi kelahiran Kampung Awah, Pahang itu.
Sambil menggayakan sebuah gitar yang dipinjamkan Faizal untuk konsert tersebut, Siti mendendangkan lagu yang pernah diakuinya sangat mencabar iaitu Mahakarya Cinta.
Walaupun percubaan Siti bermain dengan gitar adalah baik, namun ia kelihatan agak kelakar kerana jelas sekali aksi itu tidak asli.
Visual Saida, Siti dan Saerah dalam satu program TV sebelum Saida dan Saerah bergelar penyanyi kemudian dimainkan di skrin di dalam stadium. Ketiga-tiga mereka menceritakan serba sedikit kisah lampau sewaktu tinggal di berek polis selain kenangan zaman kanak-kanak mereka.
Tiga kotak di tengah pentas kemudian menyaksikan Saida terlebih dahulu muncul di kotak pertama sambil berdansa menyanyikan lagu Hey Ladies.
![]() |
| SITI bakal menyambut ulang tahun ke-15 beliau di gelanggang seni tahun depan. |
Ternyata lagu tersebut seperti sesuai dengan suara, gaya manja dan saiz badan comel Saida. Kotak kedua kemudian diisi oleh Saerah yang melontarkan suara untuk lagu Buaya Darat sebelum Siti menamatkan bahagian itu dengan lagu Pudar.
Siti yang kembali solo di pentas sambil mengenakan gaun anggun berwarna kelabu kemudian meneruskan persembahannya dengan lima lagi lagu iaitu Biarlah Rahsia, Bukan Cinta Biasa, Pendirianku, Seindah Biasa dan lagu terbaru daripada album Tahajjud Cinta, Ku Percaya Ada Cinta.
Kemunculan peniup seruling terkenal Mohram sewaktu Siti mengalunkan lagu Bukan Cinta Biasa kedengaran sangat indah. Ia satu kombinasi yang sangat diingati malam itu.
Sudah menjadi seperti satu kebiasaan dalam kebanyakan konsert peminat tidak akan berganjak tanpa lagu ekstra daripada penyanyi kesayangan mereka.
Seperti sudah mengerti dengan tradisi itu, Siti tanpa teragak-agak melabuhkan tirai Seribu Warna dengan lagu Destinasi Cinta.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: