Tuesday, November 17, 2009

Piket bantah penutupan jalan di Bandar Utama


PENDUDUK mengadakan piket membantah penutupan Jalan Tanjung Bandar Utama, Petaling Jaya.


PETALING JAYA - Hampir 100 orang termasuk wakil penduduk dari 19 kawasan Zon Empat Petaling Jaya mengadakan piket secara aman di simpang empat Jalan Tanjung Bandar Utama di sini yang ditutup oleh pemiliknya, Bandar Utama City Corporation Sdn. Bhd. (BUCC) semalam.

Piket berkenaan diadakan ekoran petisyen bantahan yang ditandatangani oleh 11,000 orang penduduk dan dihantar kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 10 November lalu berhubung penutupan kekal jalan susur keluar/masuk ke Lebuh Bandar Utama, Jalan Tropicana Utara mulai Jumaat ini tidak mendapat maklum balas positif daripada MBPJ.

Walaupun penutupan jalan itu hanya akan dibuat selepas enam bulan ia dijadikan jalan sehala namun ia telah mula ditutup pada pukul 1 pagi semalam menggunakan penghadang konkrit.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Menentang Penutupan Jalan Tanjung Bandar Utama, Mohamed Shukri Mohamed Zain berkata, penutupan jalan itu akan menyebabkan penduduk dan pengguna jalan raya terpaksa membuang masa melalui jalan alternatif iaitu Jalan Persiaran Tropicana, Persiaran Damansara Indah dan Persiaran Surian untuk ke Bandar Utama.

"Kami sudah menggunakan jalan ini sejak 13 tahun lalu dan jika ditutup, perjalanan yang biasanya mengambil masa 15 minit akan menjadi satu jam kerana terpaksa meredah kesesakan jalan yang sudah sedia sesak," katanya pada sidang akhbar di Tropicana Golf and Country Club di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: