
DILANTIK menjadi individu terpenting meneruskan perjuangan dan legasi bekas Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin untuk mengangkat jenama stesen radio Suria pada tahap yang lebih baik, ia bukanlah satu tugas mudah.
Hakikatnya, bukan calang-calang orang dapat menyambung apa yang sudah terbentang di depan mata kerana banyak lagi cabaran dan dugaan berat yang menanti.
Barangkali itulah perasaan yang dialami oleh pengganti Engku Emran iaitu Yusry Abu Samah. Selaku Ketua Pegawai Penyiaran merangkap Ketua Pegawai Operasi Suria FM pada waktu ini, ia tentunya satu tanggungjawab besar kepada empunya diri.
Dengan Suria FM yang baru hendak bernafas di ruang udara sekali gus punya impian untuk bersaing dengan stesen radio swasta gergasi lain di negara ini, sedikit sebanyak ia menguji kekuatan fizikal dan mental Yusry.
Kesempatan bertemu mata dengan Yusry pada sidang media Stompin' Sabah di Borneo Baruk Club, Kuala Lumpur Selasa lalu tidak terbiar begitu sahaja.
Banyak yang ingin ditanyakan oleh pihak media setelah dia disuakan amanah untuk melestarikan nama Suria FM selepas peninggalan Engku Emran. Ketika ditemui, Yusry baru dua hari memulakan tanggungjawab sebagai nakhoda Suria FM.
Tenang menjawab segala persoalan daripada wartawan, individu yang sudah serasi dengan stesen radio tersebut sejak awal pembukaannya pada tahun 2005 itu mula mengatur bicara tentang hala tuju dan perancangannya selepas ini.
"Dengan pengurusan yang ada sekarang ditambah mendapat sokongan padu daripada Pengarah Rancangan baru kami, Hawa Abdul Hamid, Suria FM sudah mengatur beberapa strategi untuk memantapkan operasi stesen radio ini.
"Kita akan buat sedikit perubahan berkaitan program setelah Suria FM melakukan kajian dan penilaian baru-baru ini. Salah satunya kami akan mengadakan siri jelajah di kawasan Lembah Klang untuk mempromosikan perubahan yang kami tonjolkan di Suria FM.
"Relevan siri jelajah ini diadakan walaupun Suria FM sudah dikenali peminat kerana kami bukan hanya mahu menampilkan pengisian program radio semata-mata tetapi hendak bersaing secara sihat dengan stesen radio swasta lain.
Pada waktu yang sama, Yusry masih berahsia lalu terus berteka-teki untuk mendedahkan tentang rencana selanjutnya dalam usaha menaikkan taraf Suria FM selepas ini.
Bibirnya dikunci rapat daripada berkongsi cerita tentang rancangan Suria FM pada tahun 2010 yang akan menjengah tidak lama lagi.
"Saya tidak mahu komen lebih lanjut tentang perancangan dan idea untuk tahun depan. Tetapi saya akui memang wujud perubahan terutama dari segi segmen yang bersesuaian sambil melakukan lebih banyak kaji selidik dengan pendengar selepas ini.
"Contohnya, macam kami melantik organisasi atau badan bertauliah tertentu seperti AC Nielson yang tahu apa yang dimahukan oleh pendengar serta mencari kumpulan fokus untuk Suria FM. Secara tidak langsung, kami tahu jenis lagu yang disukai oleh peminat di luar sana.
"Kita buat rancangan di radio tidak boleh sewenang-wenangnya ikut cita rasa sendiri. Sebaliknya kena tahu pandangan daripada orang ramai yang selama ini menjadi pendengar Suria FM.
Sementara itu, Yusry sempat mengulas tentang pemergian Engku Emran ke Bernama TV sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 9 November lalu.
![]() |
| YUSRY ABU SAMAH |
Biarpun sedih dengan keputusan suami kepada primadona filem Melayu, Erra Fazira itu, Yusry bagaimanapun menerima perkara itu dengan hati terbuka.
"Kalau boleh Suria FM tidak mahu melepaskan Engku Emran pergi. Tetapi hendak buat macam mana, kami tidak boleh menghalang keputusannya untuk berhijrah ke tempat lain yang menawarkan peluang lebih baik dan besar," jelasnya.
Yusry sebelum ini bekerja di bawah Engku Emran yang dilantik oleh Star Publications (M) Berhad sebagai Ketua Pegawai Operasi selama empat tahun manakala Yusry pula memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM.
Sebelum melibatkan diri dengan tenaga kerja Suria FM, Yusry pernah berkhidmat selama enam tahun di Radio Televisyen Malaysia (RTM), kemudian dia bertugas di Red FM dan Radio IKIM FM.
Radio rasmi Stompin' Sabah
Bercakap tentang kerjasama Suria FM sebagai radio rasmi dengan penganjur Stomping Sabah iaitu Contagious Concepts, Yusry memberitahu pihaknya gembira dapat menjalankan kolaborasi untuk acara yang diadakan bagi menyambut ketibaan tahun 2010.
"Satu peraduan Stompin' Sabah dianjurkan kepada pendengar Suria FM dan mereka yang bertuah bakal menerima hadiah berupa dua tiket percuma menyaksikan acara itu di Jesselton Point, Kota Kinabalu, Sabah.
"Pemenang bakal mendapat tiket penerbangan pergi dan balik serta penginapan ditaja sepenuhnya.
"Selain itu, pendengar Suria FM di Kota Kinabalu juga berpeluang untuk memenangi dua tiket setiap seorang ke konsert ini menerusi segmen Suria Pagi KK bersama deejay Suria di Sabah, deejay Othoe di frekuensi 105.9 fm," jelasnya.
Bagi Pengarah Contagious Concepts (M) Sdn. Bhd., Surej Kumar yang bertindak selaku penganjur Stompin' Sabah, sepanjang pesta berlangsung, peminat bakal menyaksikan muzik moden dan ritma tribal yang digabungkan secara langsung di satu pentas pentas.
"Stompin' Sabah akan menonjolkan persembahan-persembahan istimewa deejay Nas-T dan deejay Lil' John sambil diiringi pemuzik-pemuzik seperti White Percussion (Malaysia), Rhythm Masala (Singapura) dan Kadangyan (Filipina).
"Tidak dilupakan terdapat pementasan daripada Monsopiad Tribal Village Troupe. Kemuncak pesta ini adalah pertempuran drum daripada kumpulan Projek Pistol yang terdiri daripada Edrie Hashim, Lola, Zam dan Moq.
Untuk menyertai Stompin' Sabah akan diadakan pada 31 Disember ini bermula pukul 9 malam, peminat boleh mendapatkan tiket yang dijual pada harga RM30 dan RM130.
Tiket-tiket boleh didapati di pintu masuk Jesselton Point bermula 21 Disember hingga 31 Disember mulai pukul 11 pagi hingga 8 malam.
Untuk tempahan tiket atau pertanyaan lanjut, sila hubungi penganjur rasmi di talian 03-5636 3835 bercakap dengan Pengurus Pemasaran Contagious Concepts, Julie Maureen Chow.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: