
SEBELUM pertandingan Miss World Malaysia 2009 berlangsung, pihak penganjur berdepan dengan saat yang sukar bagi menentukan beberapa perkara penting.
Antaranya ialah acara dan aktiviti yang perlu diadakan sepanjang musim pemilihan peserta.
Turut diketengahkan ialah tajaan pakaian, aksesori, lokasi, makanan, gimnasium dan sebagainya. Pada masa yang sama, pihak penganjur Miss World Malaysia (MWM) harus mempertimbangkan keperluan lain seperti busana anggun kepada seorang pemenang.
Pereka fesyen yang terpilih juga bukan sebarangan. Individu itu mempunyai kepakaran dalam menghasilkan pakaian rasmi yang berkonsep 1Malaysia. Baik dari segi seleksi fabrik, warna mahu pun potongan baju.
Apabila Nazleen Noor didekati oleh pihak penganjur dua bulan lalu, tanpa berfikir panjang beliau terus bersetuju.
Katanya: "Saya tidak sangka akan ditawarkan peluang sebegini.
"Saya cukup berbesar hati dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberi walaupun sebelum ini saya terlibat dalam pengeluaran pakaian secara pukal. Pengalaman ini adalah satu kenangan manis yang sukar dilupakan."
Ketika ditemui baru-baru ini, Nazleen tampil dalam persalinan hitam putih. Beliau kelihatan menonjol di sisi peserta-peserta Miss World Malaysia 2009 yang tinggi lampai. Apa yang menjadi bualan dan pujian semua hadirin ialah busana tersebut disarung oleh ratu cantik Malaysia yang dinobatkan baru-baru ini, Thanuja Ananthan.
Thanuja, 23, dengan ketinggian 180 sentimeter (cm), cukup menyerlah dengan gaun rekaan Nazleen.

Lembut, beralun dan meleret gaun berwarna kuning cair dan sedikit warna coklat, Nazleen sengaja merekanya mengikut konsep matahari dan ombak.
Motif ombak
Matahari jelas kelihatan pada seleksi warna manakala motif ombak dihidupkan melalui potongan dan lilitan kain sepanjang 15 meter.
"Saya gunakan 15 meter kain sifon kerana baru dapat aplikasikan teknik jerut kain di bahagian depan gaun dan kain meleret sejauh tiga meter di bahagian belakang," ujarnya yang menonjolkan potongan ringkas dan seksi.
Dengan ikatan sangkut leher, busana anggun yang dinamakan Sunrise oleh Nazleen mempunyai dua teknik pembuatan batik. Salah satunya ialah proses ikat dan celup serta percikan.
Busana tersebut lebih menyerlah dengan sepasang anting-anting besar.
"Anting-anting itu pun buatan Malaysia. Saya mendapat bantuan seseorang untuk mereka motif yang unik. Saya tidak menggalakkan Thanuja memakai terlalu banyak aksesori lain seperti rantai dan gelang kerana ia boleh menenggelamkan subjek," jelasnya.
Pada 2006 Nazleen diberi tanggungjawab mereka koleksi busana gadis litar Formula Satu. Nazleen menerapkan motif batik pada pario rona hijau lembut yang dipadankan dengan kebaya pendek putih bersulam.
Nazleen berasa puas dan gembira dengan kemampuan Thanuja mengangkat personaliti wanita moden yang chic dalam persalinan tradisional dan kasual.
![]() |
| PEMENANG tempat kedua pertandingan ratu cantik Malaysia 2009, Stefanie Chua (kanan) dan pemenang tempat ketiga, Christy Yeoh menggayakan rekaan gaun Nazleen Noor. |
Mengapa kasual? Kajian dan penyelidikan Nazleen berhubung pertandingan ratu cantik sebelum ini mendapati, lazimnya ramai wakil ratu cantik negara seperti dari negara Indonesia, Filipina dan Thailand gemar memakai gaun yang bertatahkan manik atau kain berlapis.
Seperti pereka tersohor dunia, Gianni Versace, Nazleen pula lebih cenderung menyerlahkan kehalusan dan kreativiti jalinan kain berlapis. Proses pembuatan yang digunakan juga meninggalkan fokus dan efek yang menarik dari atas hingga ke hujung kain.
Sekiranya hanya bergantung pada fabrik organza sama ada menggunakan secara penuh atau hanya sebahagian, besar kemungkinan ia sama seperti rekaan dari luar.
Sebaliknya, Nazleen lebih suka mencuba sesuatu yang berbeza. "Songket pun cantik dan agak mahal tetapi kita perlu fikirkan tentang kualiti pakaian yang siap dijahit.
"Tidak kecuali juga tahap kesesuaiannya apabila dibawa ke mana-mana, " ujar Nazleen bahawa warna kulit Thanuja banyak memudahkan kerjanya kerana boleh disesuaikan dengan sebarang tona warna.
Warna lembut
Beliau juga tidak menggalakkan penggunaan warna-warna garang, sebaliknya kali ini Nazleen lebih kepada warna pastel, muda dan lembut.
Selain gaun tersebut, Nazleen mereka dua lagi gaun berwarna gandaria dan jingga lembut buat Thanuja. Setiap gaun menggunakan lapan meter fabrik sifon dan berpotongan bentuk 'A'.
![]() |
| LEMBUT, beralun dan meleret antara kriteria gaun hasil ciptaan Nazleen Noor. |
Helaian keempatnya ialah kebaya putih bermotifkan bunga raya hitam. Meskipun tanpa kerongsang namun ia dihiasi sulaman dan kerawang kecil pada bahagian tengah baju.
Dalam pada itu, Thanuja yang sudah pun berangkat untuk menyertai pertandingan Miss World 2009 di Johannesburg, Afrika Selatan, memerlukan sekurang-kurangnya 60 pakaian bagi menghadiri 60 acara penting sepanjang program berlangsung. Acara kemuncak Miss World dijangka berlangsung pada 12 Disember ini.
"Saya nasihatkan Thanuja supaya tidak mewarnakan rambutnya agar bertepatan dengan skim warna yang ditentukan. Solekan pun biar berpada-pada," ujar Nazleen yang mengharapkan Thanuja muncul di tangga teratas.
Sementara itu, baru-baru ini restoran Sakae Sushi di Sunway Pyramid menjadi hos makan petang kepada Thanuja sebelum dia meninggalkan tanah air. Turut hadir ialah Nazleen dan peserta-peserta Miss World Malaysia 2009 yang tampil bergaya dalam tujuh gaun rekaan Nazleen dalam rona berlainan. Hampir sama dengan Sunrise tetapi ia hanya separas lutut.
Pada majlis itu, Thanuja turut menerima cenderamata dalam bentuk buku ucapan yang ditandatangan oleh para hadirin.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: