Tuesday, November 3, 2009

Pakistan terus diserang


ANGGOTA polis Pakistan melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bangunan yang menjadi sasaran pengebom berani mati di Rawalpindi.


RAWALPINDI - Seorang pengebom berani mati disyaki anggota Taliban meletupkan dirinya di sini menyebabkan lebih 24 orang terbunuh ketika kerajaan Pakistan menawarkan ganjaran bagi penangkapan ketua kumpulan berkenaan, kata beberapa pegawai.

Taliban kini menjadikan kawasan bandar di Pakistan sebagai sasaran utama selepas kubu-kubu kuat mereka di sempadan Afghanistan jatuh ke tangan kerajaan dalam siri operasi besar-besaran pihak tentera.

Operasi tersebut dipantau rapi oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa lain di Afghanistan berikutan kawasan sempadan menjadi tempat perlindungan kumpulan-kumpulan penentang dari kedua-dua negara selain militan asing termasuk rangkaian Al-Qaeda.

"Ia adalah serangan berani mati. Setakat ini, 24 orang disahkan terbunuh," kata pegawai pentadbir Rawalpindi, Imdadullah Bosa.

Beberapa pegawai memberitahu, kebanyakan mangsa merupakan warga tua yang berada di sebuah bank untuk mengeluarkan wang pencen mereka.

Stesen-stesen televisyen di Pakistan menunjukkan beberapa ambulans dan kenderaan polis berkejar ke tempat kejadian sambil membunyikan siren.

Sementara itu, kerajaan Pakistan mengumumkan ganjaran sebanyak AS$5 juta (RM17.1 juta) kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya ketua Taliban Pakistan, Hakimullah Mehsud dan lebih 12 orang ketua kumpulan itu, sama ada hidup atau mati.

Pengumuman mengenainya dibuat menerusi iklan di akhbar-akhbar tempatan ketika pasukan keselamatan bersiap sedia untuk menggempur kumpulan Tehrik-e-Taliban Pakistan yang dipimpin Hakimullah di Waziristan Selatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: