
BANGKOK - Ribuan pengikut 'baju kuning' yang menyokong pemerintah Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej mengadakan tunjuk perasaan di sini semalam bagi membantah bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra melawat Kemboja minggu lalu.
Kumpulan tersebut mengadakan perhimpunan itu bagi melahirkan kemarahan ekoran tindakan negara jiran Thailand tersebut melantik Thaksin sebagai penasihat ekonomi kerajaan.
Mereka yang membentuk Pakatan Demokrasi Rakyat (PAD) itu juga membantah keengganan Phnom Penh mengekstradisi Thaksin semasa beliau berada selama empat hari di Kemboja.
Polis menganggarkan sejumlah 17,000 orang berhimpun di sebuah kawasan lapang di pinggir Bangkok untuk mendengar ucapan pemimpin-pemimpin PAD yang mengkritik Thaksin.
Pergerakan 'baju kuning' pernah menganjurkan bantahan besar-besaran menentang Thaksin sebelum beliau digulingkan pihak tentera pada 2006 dalam satu rampasan kuasa tentera secara aman.
"Tugas kami mempertahankan maruah negara dan institusi beraja.
"Kemboja ingkar perjanjian ekstradisi dan membenarkan seorang individu yang disabitkan kesalahan sebagai penasihat," kata pemimpin PAD, Somsak Kosaisuk.
Thaksin meninggalkan Kemboja kelmarin menuju ke Dubai, tempat beliau menetap sejak mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya kerana kesalahan rasuah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: