![]() |
| NORA mendakwa produksi Global Station sebelum ini berjanji mengikut permintaannya untuk tidak mempertemukan dia dan Fasha di lokasi Spa Qistina. |
NAMPAKNYA isu penarikan diri pelakon jelita Nora Danish daripada drama bersiri Spa Qistina semakin parah. Ikutkan tuan punya badan dia semahunya berdiam diri dan enggan memberikan sebarang komen tentang isu penarikan dirinya kerana bimbang ia akan menjadi semakin besar.
Namun, perkara yang dibimbangkan itu menjadi kenyataan lantas dia harus bersuara menceritakan hal sebenar kerana ada pihak yang cuba menangguk di air keruh.
Pertemuan bersama Nora ketika majlis pelancaran filem terbarunya Jangan Pandang Belakang Congkak 2 baru-baru ini menjadi tempat Nora meluahkan rasa kecewanya terhadap pihak produksi yang dianggap cuai dan telah melanggar perjanjian.
"Saya tahu ramai yang kata saya tidak profesional dalam bekerja tetapi ramai yang tidak tahu sejak awal lagi memang saya sudah menekankan mengenai perkara itu kerana meminta untuk tidak ada babak langsung bersama Fasha Sandha. Saya memang tidak profesional sejak awal tetapi mengapa ketika itu mereka bersetuju dengan permintaan tersebut?
"Saya beritahu agar kami tidak bertembung di lokasi dan pihak produksi berjaya meyakinkan saya perkara itu tidak akan terjadi. Sebab itu saya setuju untuk terlibat dalam Spa Qistina," ujarnya.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan Nora tidak menjadi kenyataan, sebaliknya pertembungan antara dia dan Fasha di lokasi penggambaran di Lot 10, Bukit Bintang baru-baru ini mencetuskan rasa tidak puas hati Nora kerana merasakan pihak produksi mengabaikan apa yang dipintanya sebelum ini.
"Pada peringkat awal saya rasa saya boleh laluinya tanpa sebarang masalah, tetapi apabila pertembungan itu berlaku walaupun kami tidak bertegur dan dia berada 200 meter daripada saya, saya rasa seperti tidak dihargai.
"Saat itu saya sedar, perasaan saya lebih penting dan mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Spa Qistina, malah saya telah pun memulangkan cek pendahuluan," katanya yang masih belum menandatangani kontrak bersama produksi Spa Qistina.
Tegas Nora, semua permasalahan itu bukannya disebabkan oleh Fasha seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini kerana bagi Nora, Fasha tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Bagi saya pihak produksi harus memberitahu Fasha yang adegan saya belum lagi dirakamkan walaupun saya telah datang seawal pukul 1 petang.
"Fasha seperti biasa akan datang mengikut jadual dan waktu penggambarannya adalah pukul 4 petang. Jadi tolong jangan membabitkan Fasha bila saya tarik diri. Ia tidak ada kena mengena dengannya, cuma saya rasa kecewa dengan pihak produksi," luahnya jujur.
Selepas apa yang berlaku, Nora sedar reputasinya sebagai pelakon profesional telah tercalar dan mengaku bahawa dia menyesal menerima tawaran berlakon dalam drama itu.
"Saya menyesal kerana terima tawaran Spa Qistina setelah apa yang berlaku. Kalau saya tahu saya tidak akan terima. Saya juga bimbang reputasi akan terjejas sebab itu saya beranikan diri untuk buat kenyataan ini," katanya.
Hanya salah faham
Mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh penerbit drama Spa Qistina, Datin Zaiton Mohd Jiwa (Kak Ton) yang menyelar Nora sebagai seorang pelakon yang tidak profesional kerana boleh bergandingan bersama Fasha dalam Malaysia International Fashion Week 2009 (MIFA) tetapi tidak dalam drama tersebut, Nora mempertahankan prinsip pegangannya.
"Ingin saya jelaskan gandingan dalam sebuah majlis dan lakonan di dalam drama suatu perkara yang berbeza. Kalau nak ikutkan selepas setahun lebih saya bercerai sudah banyak kali saya bertembung dengan Fasha di majlis-majlis anugerah.
"Tetapi lakonan dalam drama berbeza. Ikutkan dalam perbincangan awal kami tidak akan digandingan dan saya juga tidak akan bertembung dengan Fasha di lokasi penggambaran.
"Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya tidak tahu apa niat mereka kerana bila melihat skrip ada babak kami bersama dan apabila saya tanyakan pada mereka (produksi), mereka katakan babak itu tidak akan dibuat. Saya keliru dan daripada berlarutan lebih baik saya menarik diri," katanya.
Menjawab pertanyaan kononnya Nora tidak menjawab panggilan yang dibuat oleh Kak Ton, Nora menjelaskan itu adalah tidak benar
"Saya telah menghubungi Kak Ton dan yang menjawabnya adalah anak Kak Ton, Adila yang juga Penerbit Eksekutif Global Station. Sejak awal lagi saya sudah beritahu tidak mahu bertembung dengan Fasha di lokasi kerana bimbang akan menjadi kontroversi.
"Sebenarnya ketika saya memberitahu hasrat untuk menarik diri, Kak Ton memahami saya dan hubungan kami juga seperti biasa.
"Saya hormati Kak Ton, mungkin kenyataannya yang emosional disebabkan dia berfikir sebagai seorang ahli perniagaan. Saya rasa dia faham apa yang saya rasai ketika ini," tuturnya.
Disoal andai selepas ini Nora ditawarkan untuk berlakon dalam produksi yang sama adakah dia akan menerimanya?
"Saya akan terima dan sudi bekerjasama dengan produksi Kak Ton, cuma selepas ini diharap tiada lagi gandingan antara saya dan Fasha.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: