Thursday, November 19, 2009

Nadia promosi album di Belanda


Nadia


KEBANYAKAN peserta program realiti televisyen (TV) Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ramai yang seakan-akan hilang begitu sahaja atau kurang mendapat publisiti selepas pertandingan itu berakhir dua tahun lalu.

Bagi salah seorang finalis AF6, Nadia dengan berakhirnya program itu bukan bermakna dia turut mengikuti jejak langkah rakan-rakannya yang kurang bernasib baik, sebaliknya terus mengorak langkah mencipta nama sebagai penyanyi.

Penyanyi berusia 19 tahun itu telah mencuba mencari pelbagai peluang, antaranya dengan menerbitkan sendiri album singlenya dan mempromosikannya di Belanda sewaktu dia berkunjung ke negara itu, baru-baru ini.

Menurut Nadia atau nama sebenarnya Nadia Haswani Hasnan, peluang tersebut diperolehinya apabila dia diundang mengadakan satu persembahan di ibu negara itu, Amsterdam oleh Kedutaan Besar Malaysia pada minggu lalu.

"Ini adalah kali kedua saya berkunjung dan mengadakan persembahan di Kedutaan Malaysia di Amsterdam. Kali pertama ialah pada 8 Disember tahun lalu. Saya mengadakan persembahan itu sempena majlis makan malam.

"Persembahan itu akan disaksikan oleh kakitangan Kedutaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang tinggal atau bekerja di sana. Melalui persembahan itu, saya menyanyikan pelbagai lagu termasuklah yang berjudul Kita Sama.

"Lagu itu dipetik daripada album single terbaru saya. Secara tidak langsung, ini adalah peluang terbaik saya mempromosikan album itu di sana," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nadia yang berada di Amsterdam dari 9 hingga 17 November lalu yakin album singlenya itu mampu diterima ramai pendengar di sana kerana ia berkonsepkan muzik urban walaupun dinyanyikan dalam bahasa Melayu.

Apatah lagi kata penyanyi bersuara lantang ini, Belanda bukan sahaja mempunyai ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di sana, malah ia turut didiami oleh masyarakat Indonesia yang turut memahami bahasa Melayu.

"Selain menyanyikan lagu-lagu yang dipetik daripada album single saya itu, saya juga menyanyikan lagu-lagu tradisional sebagai salah satu cara untuk membantu mempromosikan lagi nama serta budaya negara kita.

"Pada persembahan seperti itu, saya juga menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi lain seperti Unbreak My Heart nyanyian Toni Brixton dan lain-lain lagu dalam bahasa Inggeris untuk hiburan para penonton bukan Melayu," ujarnya.

Jelas Nadia, dia bertuah kerana diberi peluang mengadakan persembahan di Amsterdam biarpun namanya belum segah penyanyi-penyanyi lain yang lebih popular dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu.

Menceritakan tentang peluang itu, kata pemilik syarikat rakaman Nadia Cribs Entertainment ini, segala-galanya bermula apabila dia ditawarkan mengadakan persembahan tersebut oleh jiran yang kebetulan tinggal berdekatan rumahnya.

"Saya tidak tahu rupa-rupanya jiran saya, Datuk Dr. Fauziah Mohd. Taib yang tinggal di kondominium Menara Seri Jati di Kuala Lumpur itu adalah Duta Besar Malaysia di Belanda. Saya juga tinggal di bangunan yang sama tetapi berlainan tingkat.

"Selepas beliau mengetahui saya merupakan seorang penyanyi dan finalis AF6, saya ditawarkan mengadakan persembahan di Kedutaan Besar Malaysia di Amsterdam pada tahun lalu.

"Sambutan yang amat menggalakkan pada tahun lalu menyebabkan saya dijemput mengadakan persembahan sekali lagi pada tahun ini. Semua peluang itu saya dapat secara kebetulan, memang rezeki saya," tuturnya ceria.

Sebagai memikul tanggungjawab sebagai penyanyi yang mewakili nama negara di Belanda, Nadia juga bersyukur kerana pengalamannya belajar menyanyi dalam AF6 sedikit sebanyak telah memberi keyakinan kepada dirinya.

Malah, dia yang kini popular menerusi lagu Aku, Dia & Kamu bersama kumpulan rock Indonesia, Red Peanut juga mengakui telah mula menyanyi di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur ketika berusia 16 tahun lagi.

"Sebenarnya, saya sudah mula menyanyi di kelab-kelab malam sewaktu saya baru berusia 16 tahun bersama kumpulan Lord Justice yang diketuai oleh bekas gitaris kumpulan Ella & The Boys iaitu abang Lord.

"Pengalaman itu banyak membantu saya apabila mengadakan persembahan pentas termasuklah sewaktu berada di luar negara. Tahun lalu, saya juga mengadakan persembahan di Bandung, Indonesia.

"Apatah lagi ketika berada di Bandung, saya mengadakan persembahan bersama Red Peanut yang cukup terkenal kerana telah lama mengadakan persembahan di kelab-kelab malam di sana," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: