Thursday, November 19, 2009

Album merosot punca Mawi jadi penerbit?


MAWI menyerahkan cenderamata kepada Razali Ibrahim selepas pelancaran Mawi World Entertainment di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.


SECARA tidak langsung, Akademi Fantasia (AF) merupakan sebuah program realiti televisyen (TV) yang cuba melahirkan artis-artis yang serba boleh seperti menyanyi dan berlakon.

Justeru, tidak hairanlah ramai peserta AF yang keluar daripada program realiti TV itu bukan setakat menjadi penyanyi atau pelakon, malah mencuba juga bidang-bidang yang lain.

Juara AF3, Mawi sebagai contohnya, bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian dan lakonan tetapi beliau juga cuba mengembangkan bakatnya sebagai penerbit program TV.

Perkembangan penyanyi lagu Aduh Saliha itu dapat dilihat apabila dia kini sibuk menerbitkan rancangan-rancangan TV menerusi syarikat miliknya, Mawi World Entertainment Sdn. Bhd.

Menurut Mawi, keputusannya menceburi bidang penerbitan selepas mendapati tidak mampu bergantung atas jualan album-albumnya yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

"Saya memang sudah bersedia untuk menjadi penerbit secara lebih serius. Saya dapati sudah sampailah masanya saya menjadi seorang penerbit dan bergerak sendiri dalam bidang ini.

"Kata orang sediakan payung sebelum hujan. Apatah lagi, saya sendiri menyedari tentang hakikat jualan album yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini kerana banyak faktor.

"Antaranya senario muat turun lagu di Internet dan masalah cetak rompak. Senario itu berlaku di seluruh dunia," katanya pada sidang media di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Majlis itu diadakan selepas pelancaran syarikatnya sendiri iaitu Mawi World Entertainment Sdn. Bhd. (MWESB) oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Jelas Mawi, MWESB yang ditubuhkan dengan modal mencecah RM1 juta itu buat masa ini lebih kepada penerbitan program-program TV dan drama untuk siaran stesen-stesen TV tempatan.

program terbaru

Langkah Mawi 2 merupakan program terbaru syarikat itu yang menampilkan Mawi dan isterinya, Ekin sebagai pengacara di mana ia akan ditayangkan di Astro Ria mulai 25 November ini.

Menerusi program yang berkonsepkan santai itu, program musim kedua itu lebih ceria kerana menampilkan banyak elemen baru termasuklah elemen-elemen bulan madu di dalamnya.

"Dalam setiap episod musim kedua ini ditampilkan elemen-elemen bulan madu yang saya lakonkan bersama Ekin. Kalau musim pertama dulu, saya mengacarakannya seorang diri.

"Tetapi kali ini saya bukan sahaja menampilkan program yang mempromosikan tempat-tempat orang tetapi juga dengan elemen-elemen ilmu di sebaliknya bersama-sama Ekin.

"Walaupun ada penampilan Ekin tetapi program ini merupakan program saya. Nama pun Langkah Mawi, bukannya Langkah Ekin. Semua elemen itu sesuai dengan status saya sekarang," ujarnya.

Tambah Mawi, dia juga berasa selesa digandingkan bersama Ekin menerusi Langkah Mawi 2 yang menampilkan tempat-tempat menarik di Sri Langka, Australia dan Hong Kong.

Dengan bajet sekitar RM100,000 program musim kedua itu turut mendapat kerjasama daripada badan-badan pelancongan di negara-negara terbabit.

Mawi tidak menafikan kemunculan Ekin dalam Langkah Mawi 2 seakan-akan memberi ilham kepadanya untuk menerbitkan program-program yang sesuai untuk isterinya pada masa depan.

"Saya memang selesa bersama Ekin dalam program itu tetapi dia (Ekin) mungkin boleh muncul dalam program lain yang sesuai dengannya seperti berkaitan fesyen dan kecantikan.

perangsang

"Bekerja dengan isteri sendiri lebih senang kerana dia memahami diri saya. Selain Ekin, ramai juga kawan-kawan di sekeliling saya yang memberi perangsang kepada saya sebagai penerbit.

"Misalnya, Man Bangla dan Rahila Ali yang menggalakkan saya agar menceburi bidang ini," jelasnya yang masih mempunyai kontrak dua tahun bersama Astro Entertainment Sdn. Bhd.

Langkah Mawi 2 yang menjalani penggambaran selama 14 hari di Melbourne, Australia, Sri Langka (tujuh hari) dan Hong Kong (tujuh hari) diterbitkan sepenuhnya di bawah MWESB.

Selain program TV itu, MWESB juga kini sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah telemovie berjudul Jiwa Kacau yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

"Skrip telemovie itu ditulis oleh AD Samad dan bakal diarahkan oleh Rahila Ali di mana ia merupakan projek terbaru MWESB. Selain itu, saya juga mahu menerbitkan filem.

"Walau bagaimanapun, perancangan menerbitkan filem mungkin dalam masa lima tahun akan datang," katanya yang mempunyai enam pekerja di bawah MWESB.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, saluran itu mengalu-alukan pembekalan produk-produk rancangan daripada syarikat milik Mawi itu.

Sambil menyifatkan produk terbitan MWESB seperti Langkah Mawi 2 menepati spesifikasi dan piawaian mutu yang telah ditetapkan oleh stesen TV berbayar itu.

"Kami dapati rancangan terbitan Mawi menepati mutu yang kami mahukan di mana sasaran kami adalah kepada para penonton yang berusia dari 15 tahun hingga 35 tahun.

"Malah, kami juga memberi kebebasan kepada Mawi untuk menerbitkan atau memilih konsep rancangan yang ingin diterbitkannya. Kami dapati dia ada idea dan konsep tersendiri.

"Walaupun dia masih baru dalam bidang ini tetapi kami memberi sepenuh kepercayaan kepada Mawi dalam penerbitan Langkah Mawi 2 di mana Langkah Mawi 1 diterbitkan oleh Astro," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: