|
|
WANITA seringkali dikaitkan dengan kehebatan dan kepakaran di dapur. Di zaman yang serba canggih ini, dunia masakan bukan sahaja hanya fokus kepada wanita malah, kini turut terokai di kalangan lelaki juga.
Namun, apa terjadi apabila seseorang yang sepatutnya bekerjaya sebagai seorang arkitek mula meminati bidang masakan tetapi mendapat tentangan hebat daripada ayahnya?.
Begitu kisah yang bakal melatari drama Dapur yang bersiaran di TV2 setiap Isnin pukul 12 tengah malam.
Siri menarik arahan Zamani Ibrahim ini dijayakan oleh barisan pelakon Zizan Nin, Sharifah Nadia, Abu Bakar Juah, Kartina Aziz, Atie AF, Shahronizam dan Ruminah Sidek.
Kisah bermula apabila Rahman mula meminati bidang masakan sehingga berlaku percanggahan pendapat dengan ayahnya, Abdullah yang merupakan bekas seorang jurutera.
Impian Abdullah, agar Rahman memegang jawatan arkitek yang dianggap sesuatu kerjaya yang boleh dibanggakan malah dianggap sebagai simbol kejayaan hidup.
Tambah membuatkan Abdullah berang dan kecewa ialah pada hari pencennya, dia dihadiahkan sebuah dapur oleh Rahman.
Aminah isterinya yang setia juga menerima tempias kebencian Abdullah sehingga dia sanggup menghalau Aminah keluar dari rumah.
Bagi Abdullah, kerjaya tukang masak langsung tiada keistimewaan.
Malah pegangan hidupnya, memasak adalah tanggungjawab dan bukannya perniagaan. Lebih-lebih lagi dapur adalah tempat dan hak mutlak orang perempuan.
Tanpa Abdullah sedari, kebolehannya memasak nasi beriani yang menjadi kegemaran masyarakat setempat telah menjadi inspirasi kepada anak-anaknya untuk mendalami bidang masakan.
Bermula dengan anak kesayangannya, Rahman dan secara perlahan minat tersebut dituruti oleh seorang lagi anaknya, Hassan.
Minat Rahman terhadap masakan juga menyebabkan isterinya, Azizah berasa terasing dan tersisih malah, merasakan kemahiran Rahman menutup ruang untuknya memenangi hati suaminya.
Tanggungjawab menyediakan makan minum semuanya diambil oleh Rahman sehingga Azizah tidak pernah berpeluang untuk memasak.
Kekosongan yang ditinggalkan Azizah diisi oleh Siti, pembantu Rahman di Cafe Sinar Jiwa.
Tugas dan minat yang sama menerbitkan bunga-bunga cinta dan akhirnya disaksikan sendiri oleh Azizah.
Adakah Azizah akan mengalah atau mempertahankan cintanya dan adakah Abdullah dapat menerima hakikat bahawa segala yang dirancang hanya bisa ditentukan oleh Tuhan?
Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan siri Dapur yang bersiaran setiap Isnin pukul 12 tengah malam hanya di TV2.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: