Tuesday, November 10, 2009

Mawi-Ekin terus dilamun cinta


MAWI dan Ekin bersama ahli keluarga masing-masing.


TANGGAL 20 Disember ini, genaplah setahun usia perkahwinan penyanyi lelaki paling popular, Mawi dan isteri tercintanya, Ekin.

Baik sebelum mahupun selepas bergelar suami isteri, Mawi dan Ekin sememangnya tidak henti diuji dengan pelbagai ujian hebat.

Malah, akui Mawi sehingga ke hari ini pun dia dan Ekin masih lagi mendapat surat layang yang mengandungi kata-kata kesat dan lucah.

Tidak melihat perkara itu sebagai satu yang serius dan menganggap ia sebagai perkara normal, apa yang penting bagi Mawi dan Ekin adalah untuk terus memelihara kerukunan rumah tangga mereka.

Mungkin ada segelintir yang akan mencebik dan mencemuh membaca artikel ini tetapi kebahagiaan yang dikecapi oleh Mawi dan Ekin seharusnya tidak perlu dipertikaikan.

Sering bercanda, bergurau mesra dan berjenaka membuatkan ramai yang melihat mereka tidak ubah seperti sahabat dan bukannya suami isteri.

"Itu juga yang dikatakan oleh kawan-kawan kami dan mereka yang berada di sekeliling kami.

"Kata mereka, kami ini tidak seperti pasangan suami isteri tetapi macam kawan.

"Kami akui sehingga ke saat ini pun kami masih lagi di alam percintaan dan seperti pasangan kekasih yang baru mengecapi nikmat cinta," luah Ekin atau nama sebenarnya, Nora'Asikin Rahmat sambil memandang suami tersayang yang berada di sisinya ketika itu.

Pasangan bahagia ini ditemui pada majlis tahlil dan sambutan ulang tahun kelahiran Ekin ke-30 di kediaman mewah mereka yang terletak di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Berpakaian sedondon dalam rona ungu kebiruan, baik Mawi dan Ekin menjelaskan, mereka menjadi begitu rapat selepas berkahwin dan sedaya upaya mencari masa untuk menghabiskan masa bersama meskipun Mawi sibuk dengan kariernya.

"Dulu masa bujang, saya tiada langsung masa senggang kerana begitu sibuk dengan kerjaya tetapi kini semua berubah.

"Sekarang, kami boleh pergi bersiar bersama-sama dan melakukan perkara yang tidak berkesempatan saya lakukan ketika bujang dulu," kata juara Akademi Fantasia musim ketiga ini yang gemar menonton wayang bersama-sama Ekin sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Menyambung bicara, pemilik nama penuh Asmawi Ani ini memberitahu sepanjang tempoh mendirikan rumah tangga, ia juga adalah sebagai proses untuk mengenali hati budi isterinya yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.

Rahsia besar yang baru diketahui Mawi sepanjang berkahwin adalah minat dan kekaguman Ekin terhadap primadona filem Melayu, Erra Fazira.

Malah, penyanyi lagu Angan dan Sedar serta Aduh Saliha ini sendiri seperti tidak percaya apabila isterinya itu merupakan pengikut setia rancangan Gugu Gaga Erra yang pernah ditayangkan di Astro Ria tidak berapa lama dulu.

"Dia memang tidak akan melepaskan peluang untuk menonton rancangan itu sehinggakan saya tidak berpeluang untuk menonton rancangan kegemaran saya (ketawa).

"Sehinggakan, saya kena beli set televisyen baru untuk diletakkan di ruang yang lain semata-mata untuk menonton rancangan kegemaran saya," katanya sambil mengusik Ekin di sebelahnya.

Kerana tahu minat Ekin yang mendalam terhadap Erra, Mawi telah membuat kejutan untuk Ekin pada majlis sambutan hari jadinya tempoh hari.

Kehadiran Erra pada majlis hari jadinya itu ternyata mengejutkan Ekin sehingga wanita itu hilang kata-kata dan menggigil.

"Patutlah bila saya hantar SMS dan menelefon Erra, dia tidak membalas mahupun menjawab panggilan saya. Rupa-rupanya, sudah berpakat dengan Mawi untuk mengejutkan saya.

"Tiada lain yang saya harapkan cuma kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke akhir hayat dan dikurniakan dengan cahaya mata," kata bekas pelakon drama bersiri Kawan itu sambil ketawa yang turut menyambut hari jadi bersama kembarnya, Aen.

Majlis tahlil dan sambutan hari lahir Ekin yang diusahakan dan dirancang oleh Mawi itu diadakan buat pertama kali selepas mendiami rumah itu sejak setahun setengah yang lalu.

Malah, pasangan ini turut menjemput anak-anak yatim bagi menyempurnakan majlis tahlil dan doa selamat yang diadakan di sebelah petangnya.

Majlis itu juga menandakan secara rasmi dan buat pertama kalinya, Mawi menjemput pihak media bertandang ke kediamannya yang bernilai RM1.8 juta itu.

Cerita Mawi, dia cukup tertarik dengan kawasan perumahan tersebut yang sunyi dan tenang.

Tambahan pula, tuan rumah sebelum ini mahu menjual rumah tersebut dengan harga yang disifatkannya cukup murah dan kerana itu, Mawi tidak teragak-agak membelinya.

Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini turut menjelaskan bukanlah dia mahu merahsiakan atau melarang pihak media untuk membuat sesi fotografi sebelum ini.

Tetapi, katanya, ketika itu dia masih belum bersedia dan keadaan rumahnya yang belum sempurna serta membuat sedikit ubah suai untuk mengemaskan lagi kediamannya.

Mawi sempat berkongsi cerita tentang dekorasi rumahnya yang mengalami perubahan sebanyak 70 peratus dan semuanya itu banyak dibantu oleh Ekin.

"Kami tidak ada konsep tertentu untuk rumah ini. Semuanya adalah berdasarkan cita rasa dan idea kami berdua.

"Tapi saya tidak membeli rumah ini secara tunai pun seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Saya tak mampu dan belum sampai ke tahap itu," jelas Mawi yang turut dihadiahkan dengan sebuah piano besar oleh tuan rumah yang diletakkan di sudut ruang rehat.

Mawi juga tidak lokek berbelanja sebanyak RM5,000 untuk sebuah meja snuker kerana begitu meminati permainan tersebut selain mahu mengisi masa terluang bersama rakan-rakannya.

Selain itu, Mawi sempat berkongsi cerita bagaimana rumahnya pernah dimasuki pencuri sewaktu awal dia berpindah ke rumah yang mempunyai enam bilik tidur itu.

Ketika itu hanya dia dan temannya Ali sahaja berada di rumah dan sangkaannya adalah kucing yang membuat bising di tingkat atas.

Tetapi selepas melihat botol air milik Ali serta pengecas telefon bimbitnya tiba-tiba hilang, Mawi merasakan sesuatu yang tidak kena.

"Bila kami memeriksa bilik tersebut, barang-barang yang hilang itu ada di situ dan pencuri itu berada di bilik itu semalaman.

"Pencuri itu juga sempat melarikan tabung milik saya," ceritanya panjang lebar.

Di sebalik kebahagiaan yang dikecapi mereka, Mawi tiba-tiba meluahkan kesedihannya apabila isterinya itu mengalami keguguran buat kali kedua sekitar menjelang bulan Ramadan baru-baru ini.

Kali pertama, Ekin mengalami keguguran adalah pada Mac lalu selepas pulang dari Korea untuk berbulan madu.

"Sesiapa sahaja yang berkahwin, pastinya akan mengimpikan cahaya mata untuk melengkapkan dan menyempurnakan lagi kehidupan mereka.

"Saya reda dan sedar mungkin belum tiba rezeki untuk kami menimang cahaya mata tetapi itu bukan bermakna kami tidak akan terus mencuba," ujar Mawi tenang.

Dalam perkembangan lain, Mawi memberitahu kerjaya seninya masih lagi berjalan lancar dan di dalam proses untuk menyiapkan album terbarunya, Idola.

Dalam masa yang sama, pria berusia 29 tahun ini juga mahu aktif menerbitkan telemovie di bawah syarikatnya, MW Entertainment.

Sehingga kini, dia sudah menerbitkan telemovie Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya yang disiarkan di Astro Prima pada Aidilfitri lalu dan Langkah Mawi musim kedua.

"Saya ada perancangan untuk menerbitkan dua buah telemovie lagi selepas ini dan sudah pasti, saya mahu meluaskan lagi produksi saya ini serta bekerjasama dengan semua stesen televisyen.

"Tetapi, saya perlu lakukannya secara perlahan-lahan," kata pelakon filem Jin Notti ini yang baru muncul dengan single terbaru, Penyembuh Rindu yang dinyanyikan secara duet dengan aktres, Diana Danielle.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: