Tuesday, November 10, 2009

Budget 2010 katalis industri perfileman negara?


Babak menarik daripada filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula yang mendapat sambutan hangat daripada peminat filem tempatan.


Bajet 2010 telah menyediakan dana sebanyak RM200 juta untuk dana pembangunan industri kreatif yang melibatkan pembangunan filem, drama, muzik, produksi animasi dan pengiklanan. Jumlah ini merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan budget 2010 sebanyak RM191.5 billion.

Dana ini tentulah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk menggerakkan modal ekonomi baru yang berasaskan kreativiti dan inovasi untuk menghadapi cabaran masa depan. Industri filem, televisyen, portal internet dan hiburan adalah industri masa depan yang berkembang selaras dengan perkembangan teknologi komputer dan telekomunikasi.

Hal ini bertepatan dengan analisis pakar ekonomi dunia bahawa untuk tahun-tahun mendatang industri kreatif dunia akan menyumbangkan pendapatan yang mencecah sehingga RM8 trillion. Potensi industri ini sangat besar dengan jangkaan pertumbuhan antara 5 - 20 peratus setahun yang pastinya menyediakan pulangan ekonomi yang amat besar.

Di kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia mempunyai kedudukan yang agak lemah sebenarnya. Thailand, Singapura dan Vietnam telah menunjukkan kemajuan yang tinggi. Malah, industri kreatif Vietnam mencatatkan perkembangan yang menggalakkan sebanyak 15% setahun.

Sungguhpun industri perfileman Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang agak menarik, tetapi industri ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan industri perfileman negara Thailand yang telah memperlihatkan bukan sahaja kemajuan dari segi isi kandungan filem-filemnya, malah Bangkok telah berjaya meletakkan namanya antara destinasi pasca produksi perfileman yang penting di Asia.

Pada tahun 2008 pendapatan jualan tiket untuk filem tempatan adalah sekitar RM42.59 juta yang meningkat hampir sekali ganda daripada kutipan tahun 2007 sebanyak RM26.62 juta. Tahun 2008 juga memperlihatkan pertambahan penonton sebanyak 5.13 juta orang.

Sebaliknya industri muzik tempatan memperlihatkan kemerosotan yang agak ketara bukan sahaja dari segi rakaman album tempatan malah pendapatan industri muzik tempatan pada 2008 hanya sekitar RM70 juta. Bayangkan jumlah pendapatan industri muzik sekitar 10-15 tahun lalu yang boleh mencecah sehingga RM200 juta. Pastilah keadaan ini lebih merisaukan kerana cabaran untuk tahun-tahun mendatang lebih kompleks.

Pasaran muzik masa akan datang akan berubah daripada jualan berbentuk fizikal kepada jualan dalam bentuk digital dengan peranan Internet yang lebih dominan. Pasaran muzik muat turun pada tahun 2008 sahaja telah memberikan pulangan sebanyak RM20 juta dan jumlah ini pasti akan meningkat di tahun-tahun mendatang.

Walau bagaimanapun pasaran iklan di Malaysia telah meningkat sebanyak 13% pada 2008 berbanding tahun sebelumnya dengan memberikan pendapatan sebanyak RM6.2 billion. Daripada jumlah ini iklan di media cetak menguasai sebanyak 54% iaitu sebanyak RM3.3 billion. Media televisyen menguasai 35% iaitu sebanyak RM2.2 billion. Radio sebanyak 5% iaitu RM292 juta dan iklan dalam media lainnya seperti billboard, majalah dan Internet sebanyak 6% iaitu RM372 juta.

Kerajaan bukan sahaja menyedari bahawa industri masa depan adalah industri kreatif, malah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju, ia sangat bergantung kepada keupayaan modal kreatif dalam menggerakkan industri kreatifnya.

Di United Kingdom, industri kreatif telah mengalahkan industri automobile dari segi pendapatan. Seni perfileman sebenarnya mempunyai implikasi yang banyak dalam hubungannya dengan pembangunan teknologi digital, pemasaran dan pembangunan modal kreatif.

Untuk menghasilkan sebuah filem ia bukan hanya melibatkan seorang atau dua orang tetapi melibatkan ratusan orang, daripada tenaga kreatif hingga kepada para professional teknologi dan pakar strategi pemasaran. Oleh itu penerbitan filem bukan hanya sebuah karya seni tetapi juga produk industri, yang mana filem bukan hanya medium para artis dan seniman tetapi juga para teknologis dan pakar pemasaran meningkatkan keupayaan mereka yang sebenar. Di sini kita dapat melihat betapa pentingnya peranan perfileman dan industri kreatif dalam pembangunan negara.

Zaman di mana industri perfileman digerakkan oleh para seniman yang hanya bersandarkan pengalaman daripada bangsawan sepertimana dunia perfileman Melayu Jalan Ampas di Singapura sudah lama berlalu. Hari ini pelbagai institusi pengajian tinggi telah melahirkan para graduan yang mengkhusus dalam bidang seni persembahan, animasi digital dan juga teknologi yang berkaitan dengan dunia hiburan. Industri kreatif, multimedia dan hiburan memerlukan para intelektual kreatif ini. Membawa masuk pelabur dan tenaga kreatif luar boleh sahaja meningkatkan standard produksi kreatif negara ini tetapi jauh lebih penting adalah meningkatkan keupayaan tenaga kreatif tempatan.

Tidak dinafikan yang kerajaan memang bersungguh dalam memajukan industri ini dengan menyediakan keperluan supaya kehendak teknologi dan daya kreativiti dapat dipenuhi. FINAS umpamanya telah merasmikanstudio digital mixstage berharga RM53 juta yang akan memberikan kemudahan terkini proses produksi perfileman.

Malah sebelum ini kerajaan turut menyediakan dana khas sebanyak RM15 juta bagi membantu menyediakan modal dalam menerbitkan filem-filem berunsur kenegaraan, sejarah dan patriotik. Dana ini adalah tambahan daripada dana perfileman sebanyak RM50 juta yan

Tidak lama lagi KRU bakal mempunyai sebuah studio perfileman serba canggih di Cyberjaya yang bakal menyediakan kemudahan perkhidmatan pasca produksi dan kemudahan teknologi digital dalam penerbitan perfileman.

Tetapi industri kreatif tidak dimajukan berdasarkan peruntukan dana dan penyediaan infrastruktur sahaja. Industri kreatif seperti industri filem memerlukan gabungan antara kreativiti seni dan keupayaan teknologi serta strategi pasaran yang kompeten. Industri filem kita memerlukan kekuatan kandungan, aspek yang hanya boleh diisi oleh para seniman dan sasterawan sahaja. Skrip atau naratif yang menarik dan segar menjadi krisis utama industri filem kita. Adakah jalan mudah untuk menyelesaikan masalah ini?

Pelbagai kursus dan bengkel telah diadakan untuk meningkatkan penyediaan kandungan perfileman tempatan. Hasilnya? Adakah dengan menggalakkan adaptasi daripada karya sastera tempatan akan dapat membantu menyelesaikan masalah ini? Cabaran sebenar yang lebih besar adalah terletak pada modal insan kreatif. Di sebalik peruntukan dana industri kreatif dalam budget 2010, kita juga memerlukan penulis, pelakon dan pengarah yang mampu menghasilkan karya yang segar dan menarik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: