Saturday, November 14, 2009

Masih sedih hilang anak


Busu menatap gambar anaknya, Bakarudin yang kini tinggal kenangan ketika ditemui di rumahnya di Taman Indera, Kangar.


KUALA LUMPUR - "Saya tiada sebab untuk memaafkan mereka yang terbukti membunuh anak saya."

Demikian luahan Busu Ibrahim, 76, bapa kepada pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin yang dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dijumpai separuh rentung di dalam longkang di Jalan SS19/6, Subang Jaya dekat sini.

Busu yang dihubungi Kosmo! semalam menyifatkan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati terhadap dua tertuduh yang membunuh anaknya adalah munasabah.

"Adil atau tidak hukuman mati itu bukan saya yang tentukan tetapi hukuman itu mungkin balasan daripada Allah atas kekejaman yang mereka lakukan terhadap anak saya," kata warga emas itu lagi.

Busu yang tinggal di Kangar, Perlis berkata, dia tidak dapat hadir ke mahkamah semalam kerana baru menjalani pembedahan mata manakala isterinya, Anis Mohamad, 69, pula lumpuh.

Sejak kematian Bakarudin tujuh tahun lalu, dia dan isteri masih terkenangkan anak ketiga daripada lapan adik-beradik itu kerana arwah merupakan harapan keluarga.

"Arwah semasa hayat mempunyai cita-cita besar dan kami sekeluarga turut menaruh harapan tinggi kepadanya.

"Tetapi, tragedi itu telah mengubah hidup kami sama sekali," ujarnya sedih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: